Thursday, July 19, 2018



Kerajaan Sabah menyambut dengan penuh gembira pengumuman kerajaan persekutuan akan menunaikan janji memberi bayaran royalti 20% kepada semua negeri pengeluar petroleum di negara ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal berkata perkara itu menunjukkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad prihatin tentang hak Sabah dan pengumuman itu merupakan berita amat dialu-alukan semua rakyat Sabah.

“Kami berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kami amat bersyukur. Ia berita baik bagi kami di Sabah. Ia merupakan janji yang ditunaikan dalam masa 100 hari dan suatu langkah sangat positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafie berkata, usaha mendapatkan bayaran royalti minyak 20% adalah sebahagian manifesto Parti Warisan Sabah (Warisan), serta antara janji pilihan raya yang dibuat bersama rakannya dalam Pakatan Harapan (PH).

Presiden Warisan itu berkata, bayaran royalti itu menunjukkan kerajaan baru di Malaysia serta Sabah serius dalam memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.

“Kerajaan Sabah yang diterajui Warisan akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi mendapatkan lebih banyak autonomi bagi Sabah, sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya berani memberi jaminan kepada rakyat segala usaha akan dilakukan bagi memastikan hasil tambahan itu digunakan untuk manfaat rakyat di Sabah.”

Berbeza dengan kerajaan sebelum ini, katanya, pentadbiran diterajui Warisan komited membawa Sabah ke tahap kejayaan lebih tinggi, bukannya untuk mengkayakan diri.

Katanya, Sabah sudah memohon royalti minyak dinaikkan daripada 5 kepada 20% sejak beberapa tahun lalu, tetapi tidak berhasil.

Shafie berkata, kerajaan persekutuan baru di bawah PH akhirnya menjadikan perkara itu kenyataan dan rakyat Sabah sudah tentu menyambutnya dengan gembira.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri.

“Ini sungguh mengembirakan kerana inilah sebenarnya apa dihasratkan dan diharapkan rakyat Sabah sejak lama dulu. Pendapatan tambahan itu akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah dan ia merupakan petanda baik bagi rakyat negeri ini.”

Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Dr Mahathir memberi jaminan kerajaan akan berpegang kepada janji dalam manifesto PH semasa pilihan raya umum ke-14 dan komited menunaikannya.

Menurutnya, ini termasuk memenuhi janji untuk memberi royalti 20% kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.

3 ulasan :

MASBAK RUMASHID ABD RAHMAN said...

Skadar mngiyakan tapi pelaksanaan brgkali pru ke 15

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
MASBAK RUMASHID ABD RAHMAN said...

Keras komen bro ini. Agak emosi bro. Tapi bro tidk simpan nama. Klu simpan nama bro baru muzarab doa doa bro kpd Muhyiddin dan Tun M.