Showing posts with label USBO. Show all posts
Showing posts with label USBO. Show all posts

Monday, March 22, 2010




Memang benar, politik itu adalah penuh dengan kemungkinan yang sukar diramalkan. Dan memang benar juga politik itu tiada kawan dan tiada lawan yang berpanjangan. Barangkali ada juga kebenarannya kalau, ‘masa’ adalah hakim kepada kemungkinan dalam politik. Kerana, hanya masa yang menentukan sama ada kemungkinan politik itu suatu kenyataan atau sebaliknya.




Sejurus selepas PRU 12 yang lalu, politik di Sabah dilanda ‘kemungkinan’ yang mendebarkan. Kerana bila nakhoda baru mengemudi bahtera Kerajaan Sabah, ramai yang disingkirkan untuk menjamin keutuhan kuasa yang dimiliki. Di daerah Kota Belud…sehingga kini, walaupun sudah 2 tahun berlalu, ‘pengguguran’ pemimpin utama di daerah ini begitu menghiris hati. Apatah lagi bila DSSK dan TSP tidak diberikan apa-apa kedudukan dalam politik di Sabah.




Bila tercetusnya idea pengambilalihan NGO USBO oleh kedua pemimpin ini, ramai yang tidak bersetuju. Dari pemimpin masyarakat ‘kelas pertengahan’ sehinggalah kepada ‘golongan muda’ yang baru bertunas. Apatah lagi bila kedua-dua pemimpin , DSSK dan TSP memasuki fasa baru dalam politik mereka, iaitulah “fasa penyatuan”. Kerana sebelum ini, kedua pemimpin ini, walaupun dikeluarkan oleh satu daerah, namun banyak wujud ketidakserasian antara mereka. Dan Ini bukan retorika politik, tetapi perkara yang banyak diketahui oleh orang ramai.





Oleh itu bila adanya fasa penyatuan politik kedua pemimpin ini , di bawah USBO, walaupun dinafikan sekeras-kerasnya, bahawa USBO berwadahkan politik, tetapi ramai yang masih meninjau kewujudan USBO adalah membawa manfaat kepada penyatuan politik dua harimau kota belud ini. Maka ramailah penyokong kedua pemimpin ini mula ‘berbaik-baik’ dan saling ‘menerima’ antara satu dengan yang lain. Itulah lumrahnya yang berlaku di peringkat akar umbi, penyokong mereka. Walaupun ada yang masih ‘berdegil’, namun itu amatlah sedikit bilangannya.





Apabila DSSK dilantik sebagai Tim.Ketua perhubungan Umno negeri, ‘hubungan’ politik DSSK dan TSP masih dilihat sebagai ‘intim’, Buktinya ialah apabila kedua pemimpin ini bergabung dalam pemilihan Umno KB, sehingga Berjaya menyingkirkan penyandang asal, Datuk Musbah dan DSSK mengetuai kembali Umno KB.




Perlantikan DSSK sebagai penasihat Sains kepada Ketua Menteri ,Datuk Musa Aman telah menyebabkan DSSK begitu sibuk dan ini diakui sendiri oleh beliau sepertimana yang tertera dalam blognya.Ramai pemmerhati politik di daerah KB, melihat disinilah bermulanya detik kerenganggan politik antara dua pemimpin ini. Malahan USBO sudah semakin terpinggir. Dan ketika pertemuan dengan beberapa AJK USBO baru-baru ini,…DSSK mengakui sendiri bahawa USBO semakin kurang programnya. Apakah sebab kepada wujudnya situasi ini ? Di manakah TSP dalam posisi perencanaan USBO ? Apakah sudah dapat gading bertuah, tanduk sudah tidak berguna lagi ?...Atau apakah ‘hubungan ‘ politik DSSK dan TSP semakin ‘utuh’ menghadapi PRU 13 akan datang ? Kalau TSP dan DSSK masih wujud ikatan politik yang kukuh, bagaimana pula DSSK dengan Datuk Amir Kahar? ..Apa yang nyata, USBO makin tidak kedengaran.

Thursday, January 28, 2010



Sedari awal lagi, keputusan Datuk Salleh, Tan Sri Pandikar dan Datuk Amir Kahar, mengikat naluri politik mereka atas wadah perjuangan NGO, iaitu USBO begitu mencurigakan kebanyakkan penganalisis politik tanah air. Bukan kerana disebabkan oleh kebangkitan 3 pemimpin berpengaruh ini, tetapi kerana nyata perjuangan itu tidak akan kemana justeru diasaskan oleh pegangan politik yang sangat tipis percaturannya. USBO dan logonya dijaja dipelusuk tempat, sebagai wacana kepada pegangan politik rumpun majority.



Apabila bulan USBO mula purnama, maka ramai juga yang menjangkakan bahawa pemimpin NGO ini akan memperolehi bulan tatkala jatuh ke riba. Pertubuhan USBO menjadi landasan kepada kebenaran ini. TSP yang dilantik sebagai Speaker DR bukanlah atas factor keahliannya dalam USBO sebagai Tim. Presiden, kata mereka, tetapi kerana budi dan pertimbangannya yang begitu tinggi merealisasikan penyatuan UMNO Sabah, sekalipun ‘,membunuh’ ibu pertiwinya AKAR bersatu.



Hanya yang ‘gerhana’ dalam bacaan ritual politik Sabah ialah Datuk Salleh Tun said dan Datuk Amir Kahar, yang juga pemimpin sandaran USBO. “kegerhanaannya” mereka ini begitu menguris hati penyokongnya..kerana itu apabila DSSK dilantik sebagai ‘tuan penasihat 25 percen” yang diistilahkan oleh kebanyakkan penganlisis politik laksana Filem 3 Abdul arahan Tan Sri P. Ramlee, maka para penyokongnya bertempik gembira…hinggakan dikhabarkan bahawa laungan “hidup Datuk salleh” begitu bergemuruh sekali. Kata mereka DSSK akan kembali dalam politik dan kerajaan atas sebab bahawa roda politik yang berputar akan berhenti tatkala DSSK menjadi CM.



Ketangkasan, dan kehebatan DSSK dalam politik tidak ada tolok bandingnya, walaupun nasib rakyat yang pernah diwakilinya tidak terbela. Tetapi kerana taksub yang keterlaluan, maka kewajaran sumbangan DSSK kepada rakyat Usukan dan rakyat Kota Belud, tidak diendahkan. Biarlah Kota Belud menjadi daerah termiskin, biarlah daerah tanah tumpah UMNO ini, masih berhabuk jalan rayanya, biarlah masih ramai lagi yang tidak menikmati bekalan elektrik, bergelap gulita dengan lampu minyak tanah, biarlah bawah kolong rumah mereka berbocoran lantai dan atap rumbianya. Biarlah rakyat Kota Belud menderita dengan penyakit batu karang dan pundi kencing yang teruk lantaran terpaksa meminum air tidak terawat..biarkan ! biarkan! Dan biarkanlah Si luncai terjun dengan labu-labunya.



Maka yang ketingallan dan masih gerhana ialah Datuk Amir Kahar, yang disifatkan sebagai ‘singa berantai’ dalam politik Sabah. Ada juga orang USBO yang mengutarakan lewat beberapa perbincangan tidak formal bahawa selepas ini Datuk Amir Kahar pula akan menyusul mendapat tempat dekat dengan CM.Sama ada akan dilantik seperti DSSK ataupun tidak masih ditunggu. Seolah-olah gambaran bahawa semua pemimpin USBO yang pernah digugurkan itu adalah berdarah pemimpin dan pembela rakyat yang menyaksikan kawasan mereka ketika menjadi wakil rakyat telah mencatat pembangunan dan pencapaian yang cukup tinggi dalam pengurangan bilangan rakyat termiskin.



Sedangkan di sebalik kegembiraan itu, ada rumpun USBO yang masih harus dibela. Beberapa siri bencana alam dan kebakaran yang berlaku di daerah kuat USBO ini, justeru pemimpin mereka tidak kelihatan. Kebakaran dan banjir besar melanda kota Belud, belum ada yang sanggup turun atas factor rumpun sebangsa USBO, bairpun ketika berucap dalam perhimpunan NGO di ibu kota memperkatakan bagaimana harus Rumpun ini dibela dan diperjuangkan.



Adalah menghairankan bagaimana ahli UMNO KB begitu terpesona sehingga memberikan tempat buat pemimpin yang tidak mempedulikan kesusahan dan kegusaran rakyat bawahan yang ditimpa malapetaka di bawah kawal sedar mereka. Mungkin dalam USBO ada pejuang yang boleh dikedepankan…dan mungkin juga ramai petualang yang boleh dinyahkan, demi rumpun, demi bangsa dan demi ummah. Bangkitlah!.

Monday, December 21, 2009


Bila Datuk Shafie memenangi Jawatan Naib Presiden UMNO, Pemimpin politik Sabah "bagai kera mendapat bunga" Pemimpin politik di semenanjung umpama "menang sorak,kampung tergadai". Ada yang melihat kemenangan itu adalah "umpan" yang mengena buat rakyat Sabah. Namun ada yang menuturkan bahawa kemenangan dan Jawatan Naib itu sebenarnya ada perancangan politik yang licik, kerana belum terjadi dalam sejarahnya UMNO pemimpin bukan dari Semenanjung akan menjadi nakhoda, kerananya pun UMNO sebelum ini hanya 'milik ekslusif' orang Melayu. Atas kebijakan politik golongan tertentu dalam UMNO, justeru Datuk shafie Afdal dimenangkan dalam jawatan "naib". Tetapi bersamanya ialah ahli keluarga Presiden UMNO, dan Datuk Zahid Hamidi. Jika seseungguhnya berlaku sekali lagi pemilihan UMNO..tuntaskah jika sekiranya Datuk Shafie Afdal diberikan ruang untuk menduduki "kerusi" nombor dua. Maka firasat politik , Orang UMNO semenanjung hanya seikhlasnya memberikan Naib dan tidak akan sejujur mana menawarkan kerusi Tim,Presiden..Kenapa? ...Kerana sejarah orang Melayu..pemimpin yang menonjol, tidak sangat mendapat tempat..Bukan retorik orang Melayu mensasarkan senjata fitnah dan tipu helah dalam UMNO..Kerana itu, dalam tempoh 50 Tahun, orang Melayu sukar mendapatkan pemimpin yang jiwa dan raganya untuk orang Melayu.

Sebaiknya apabila Datuk Shafie dimahkotakan sebagai Naib Persiden UMNO, satu sejarah yang cukup hebat, ramai orang Semporna dan pantai Timur tergelak apabila Presiden UMNO mengumumkan Datuk Shafie sebagai "Bajau Laut"...Kalau di daerah pantai timur ia merujuk kepada bangsa Pala'u...Penerimaan ini sayugia disedari..kerana khabarnya Perayaan Regata Lepa-lepa yang dipromosikan sehingga ke peringkat antarabangsa itu pun adalah budaya Pala'u.. Dan itulah rumpun USBO yang harus dibela, didekati dan dibangunkan minda dan kehidupan mereka..

Walau yang begitu, adakah USBO boleh menjanjikan perubahan yang lumayan buat bangsa serumpunnya. Jika Datuk Shafie hanya selaku penasihat, bolehkah menasihati bangsa pala'u ini sebagaimana boleh menasihati Datuk Salleh dan Tan Sri Pandikar..?

Jika kita berseloka dengan rumpun bangsa USBO ini, kehidupan mereka langsung tidak mengendahkan pertubuhan USBO.Kerana bagi mereka..USBO tidak ada agenda buat mereka. Namun persoalan yang boleh difikirkan ialah,dimana kah posisi rumpun USBO pada PRU-13 akan datang..? Bolehkah DSSK dan TSP benar-benar berdiri atas rumpun USBO..?

Sedangkan demi suvival politik Datuk Musa Aman, langsung tidak memikirkan rumpun USBO ini, bahkan semakin menguatkan sokongannya kepada pemimpin KDM..Pemberian layanan kepada PBS dan Pairin tidak banyak bezanya jika diberikan kepada DSSK dan TSP..kerana mereka juga mewakili rumpun majoriti..Namun kerana pada MUSA AMAN rumpun USBO tidaklah sekuat mana, bahkan mereka saling tak tumpah ibarat "anjing dengan kucing" dan ada yang seperti cerita "anjing dengan bayang-bayang" terlalu tamak kuasa hingga akhirnya rugi sehingga membawa rumpunnya tenggelam dan tak bersinar.

Begitulah lumrahnya suku dan rumpun bumiputera Islam dalam berpolitik, kerana itu adalah tidak menghairankan jika rumpun ini terus dipersenda dan digula-gulakan kerana para pemimpinnya ibarat sebatang lidi yang boleh dipatah-patahkan..tergamakkah hati dan nurani Musa Aman tidak mengendahkan Datuk pairin Kitingan..? Berfikirlah bahawa di mana posisi USBO dan KDM dalam PRU yang mendatang?

Saturday, October 3, 2009


Sebilangan ramai pemerhati politik mengibaratkan politik sebagai satu ‘roda hidup’ yang sentiasa berputar ligat memungkinkan sesuatu yang diluar kemungkinan dan memberi nafas sambungan kepada kemungkinan politik yang tipis percaturannya. Apabila USNO di bubarkan pada februari 1991, roda politik bumiputera islam di sabah berada di posisi bawah, sekalipun cuba ‘diataskan’ oleh kehadiran politik Melayu, UMNO dari Kuala Lumpur. Sebaliknya politik bumiputera Bukan Islam yang kini hangat diperkatakan sebagai KDM berada dalam putaran atas roda politik di Sabah. Kebangkitan politik KDM jelas memberikan persepsi baru dikalangan pemerhati politik, kerana PBS dilihat telah dapat membaca ‘tune’ ahli-ahli politik sebelumnya termasuk legenda politik Sabah Tun Mohd. Fuad Stephens.

Apabila kita menyoroti putaran roda politik kekuasaan di negeri di bawah bayu ini, kita amati seawal merdeka lagi ‘pergolakan politik’ rumpun bangsa telah berlaku. Pilihanraya umum 1967, menyaksikan dua buah rumpun bangsa terbesar di Sabah memulai putaran roda dengan meniupkan sentimen rumpun bangsa sebagai tiket perjuangan politik mereka. Penglibatan Kuala Lumpur dalam memberikan kemenangan kepada USNO, membuatkan UPKO memikirkan kedudukannya dalam Sabah Alliance Party…Tidak tanduk Tun Fuad Stephens terhadap Kuala Lumpur amat-amat dicurigai ketika itu. Dalam pilihanraya ini USNO mendapat 14 kerusi, UPKO 12, SCA 5 dan seorang calon bebas Yap Pak Leong. Keputusan ini membolehkan USNO menubuhkan sebuah kerajaan apabila bergabung dengan SCA dan Tun Mustapha menjadi Ketua Menteri Sabah ketiga selepas Tun Fuad Stepehens dan Peter Lo.

Kemenangan USNO telah menjadinya Tun Mustapha sebagai ketua Menteri Sabah, justeru menimbulkan isu politik rumpun bangsa yang amat kritikal dalam putaran roda politik Sabah pada waktu itu. Kabinet negeri yang dibentuk turut menyingkirkan wakil UPKO..waktu inilah isu 20 perkara mula dipersoalkan oleh ahli politik Sabah antara yang paling lantang mengkritik Kuala Lumpur ialah seperti Peter Mojuntin dan beberapa orang lagi. Kalau kita perhatikan..isu 20 perkara ini juga menjadi isu terhangat ketika PBS mendapat mandate dalam kerajaan Sabah, sehingga atas alasan sedemikian PBS bertindak keluar dari BN pada oktober 1990. Inilah putaran roda politik KDM di Sabah, ulang tayang isu sentiasa berlaku..dan persepsi POLITIK suku KDM nyata kurang berubah sejak 30-40 tahun yang lepas.

Memikirkan bahawa isu rumpun sebangsa menjadi pertimbangan wajar dalam politik Sabah, maka Tun Mustapha (USNO ) telah menubuhkan USIA iaitu satu pertubuhan Islam seluruh Sabah yang mengambil inisiatif memulakan gerakan pengislaman ke atas bumiputera bukan Islam…dari sudut agama, perancangan ini agak Berjaya,apabila ribuan rakyat Sabah memeluk Islam..malahan gerakan pengislaman ini memberi satu ‘advantage’ kepada USIA dan bukan Islam…rakyat di kawasan perbukitan dan pedalaman lebih mengenali USIA dari ISLAM..malahan sehingga kini, ada yang memiliki sijil pengislaman yang tertera AGAMA : USIA.Kesan terbesar kepada pengislaman ini ialah apabila Tun fuad stephens, mengambil pertimbangan politiknya dengan memeluk Islam.

Zaman kegemilangan kuasa politik Bumiputera Islam di bawah USNO telah lama berakhir, sekurang-kurangnya apabila USNO di bubarkan. Kemasukkan UMNO nyata tidak mengembalikan kegemilangan itu, kerana dasar UMNO ialah semua rumpun Melayu tidak kira dari suku minority atau majority adalah mendapat hak sama rata dari segi peluang menjadi pemimpin. Tidak timbul sama ada pemimpin yang diatas lapis kepimpinan itu dari keluaran minority. Misalnya, suku Jawa, minang, Siam, Patanni dan Bugis serta lain-lain di semenanjung adalah dari rumpun Melayu yang diberikan ‘kebebasan mutlak” untuk menyumbang dan menyertai UMNO. Kerana prinsip kesamarataan inilah, UMNO menghadapi masalah etnik di Sabah. Sejarahnya, politik di Borneo ini sejak merdeka lagi..adalah atas rumpun bangsa dan keduanya adalah sentiment agama. UMNO SABAH tidak berapa memikirkan kuasa politik Bumiputera Islam…hujahnya ialah apabila Sistem penggiliran KM, dilaksanakan sebagai alternative perkongsian Kuasa politik rakyat sabah yang melibatkan 3 rumpun terbesar di Sabah. Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina.

Biarpun langkah penggiliran KM ini secara dalamannya di tolak oleh pemimpin UMNO SABAH,namun kerana kuasa veto atau kata putus adalah kemutlakkan Kuala Lumpur..lantas system itu diterima rela. Akibat terbesar ialah apabila terwujudnya kelompok tertentu dalam UMNO SABAH. Ada team yang masih berjiwa USNO dengan memikirkan ketuanan politik bumiputera Islam yang diwarisi dari perjuangan Tun Mustapha,Misalnya Datu Uso Sukam, ada team yang cenderung kepada Kuala Lumpur dengan menjalinkan hubungan politik peribadi seperti Datuk Shafie Afdal dan ada juga team yang mengikut 100% acuan UMNO Pusat. Kerana itu apabila prinsip UMNO pusat menerima ‘peremajaan kepimpinan’ maka peluang Musa Aman yang dikatakan bukan teras kepada rumpun bangsa terbesar di Sabah untuk menjadi KM, termakbul. Nyata dalam hal ini UMNO Pusat berhasrat mengubah landskap politik sabah yang terlalu keras sentiment kesukuan.

Apabila menyedari hakikat bahawa UMNO Sabah, tidak membawa aspirasi bumiputera Islam terutama rumpun bangsa seperti yang diperjuangkan oleh Tun Mustapha, maka lahirlah satu lagi siri ulang tayang politik, apabila team-team atau kelompok dalam UMNO Sabah mahu disatukan kepada satu rumpun bangsa USBO.Pemikiran penyatuan ini diketuai oleh DSSK dan TSP serta Amir Kahar yang ‘dinasihati’ oleh Datuk shafie Afdal. Ada pihak yang berkeyakinan bahawa penyatuan rumpun USBO ini akan menjerumuskan UMNO SABAH dalam kancah perpecahan yang lebih dahsyat. Seakan memberi tekanan kepada pimpinan sedia ada, dan juga Kuala Lumpur yang selama ini ‘enggan’ ikut sama dalam isu penyatuan rumpun bangsa di sabah. Musa Aman menerima tekanan yang bukan kepalang melalui isu ini..sehingga membawa kepada pengguguran beberapa pemimpin USBO dalam PRU-12 yang lalu.

Penyatuan rumpun USBO ini tidak akan kemana, kerana isu ini hanya panas di peringkat pimpinan USBO, di peringkat masyarakat akar Umbi, masih suam-suam kuku..dan di peringkat pimpinan UMNO SABAH, ia Nampak sebagai “ancaman senyap”..manakala diperingkat Pusat ia mengembalikan ‘aura’ USNO yang telah berkubur dengan kemasukkan UMNO. Apakah UMNO akan rela melihat semangat USNO dihidupkan semula dalam UMNO..? Tentunya tidak…kerana dalam sejarah kepimpinan Tun Mustapha, beliau juga menghadapi beberapa siri krisis dengan kepimpinan Pusat..sehingga diakhir kerjaya politiknya..Tun Mustapha sendiri telah bertindak keluar dari UMNO, atas sebab yang sehingga kini sukar dipastikan..berkemungkinan berkaitan dengan layanan kepimpinan UMNO pusat terhadap beliau.

Kerana itu..isu penyatuan rumpun bangsa USBO ini akan tidak mendapat tempat pada PRU-13, akan datang..UMNO PUSAT tidak akan menyerah kepada apa yang dikatakan sebagai menghidupkan semangat USNO dalam UMNO Sabah. Jika kepimpinan UMNO Sabah ditolak ansurkan kepada penyelamatan Rumpun USBO, besar kemungkinan UMNO Sabah akan menghadapi permasalahan yang besar dan KDM sekali lagi akan mengambil peluang sehingga PBS akan kembali menjadi perhitungan politik terakhir kepada rakyat sabah. Bolehkah situasi ini direlakan oleh UMNO Pusat..? Terserah kepada anda memberikan response terhadap penulisan ini.

Tuesday, September 29, 2009


Ketika Allahyarham Tun Mustafa, “bapa kemerdekaan” sabah mengumumkan pembubaran USNO, pada Feb.1991, rakyat Sabah dilanda ‘histeria’ politik yang membingungkan. Ribuan penyokong setia USNO menyimbahi ‘pengumuman’ itu dengan linangan air mata. Seorang penyokong tegar USNO di Usukan, telah pernah membayangkan bahawa jika ditadah air mata yang mengalir itu bisa menambahkan kapasiti sungai Tempasuk. Banjir besar berkemungkinan melanda daerah-daerah di sabah di mana tinggalnya penyokong USNO. Begitu sampainya tamsilan keteragisan pembubaran parti tertua di Sabah. Namun apabila pemimpin agung pujaan ramai bumiputera Islam , Allahyarham Tun Mustafa, mengibaratkan bahawa pembubaran USNO seperti berpindah dari perahu kecil ke kapal yang besar..sedikit sebanyak meredakan ‘ketegangan’ politik itu. Sebahagian ramai rakyat sabah beragama Islam, menaruh harap bahawa UMNO akan menjadi seperti USNO, meminimumkan kuasa politik bumiputera bukan Islam yang pada saat itu dibuai Huguan Siau mereka..seakan-akan digambarkan bahawa Tun Fuad Stephens ‘kembali hidup’ dalam kepimpinan jiwa Pairin Kitingan.


Kemasukan UMNO ke sabah..tidak banyak menyelamatkan kuasa politik bumiputera Islam..kerana ternyata UMNO gagal memahami banyak perkara tentang percaturan dan pertimbangan serta kehendak akar umbi rakyat sabah. Kebanyakkan keputusan politik dan pentabdiran dirujuk ke Pusat..dan rakyat Sabah terhakis autonomi politik mereka. Maka seperti juga di semenanjung, UMNO di Sabah ‘dipaksa’ menerima naluri politik melayu, sekalipun kita Bumiputera Islam dari pelbagai suku dan bangsa. UMNO pusat tidak banyak menimbulkan polemic suku, kerana di peringkat Pusat..suku Bugis, Jawa, minang dan pelbagai lagi bangsa minority di terima sebagai rumpun “MELAYU”. Berbeza di Sabah, kita masih bergerak atas nama suku dan bumiputera Islam. Atas pertimbangan ini, maka UMNO Sabah ketandusan idea dalam perjuangan memulihkan kuasa politik bumiputera Islam. Penggiliran KM ,misalnya bukan sahaja memberikan ‘ketegangan’ kepada UMNO Sabah tetapi juga mematikan matlamat asal membubarkan USNO. Pemimpin UMNO Sabah mula mencari platform baru untuk berjuang sekalipun enggan keluar dari parti UMNO. Dan bila berakhirnya PRU-12, ramai pemimpin politik rasa ‘kehilangan’ yang amat besar semangat USNO dalam UMNO. Menghidupkan USNO ibarat membuka lembaran lama, Menubuhkan parti baru, ibarat menentang arus politik semasa. Tersepit sungguh keadaannya. Waktu inilah idea menjadikan USBO sebagai landas kepada perjuangan politik dalam UMNO bagi kelompok bumiputera Islam.Kerana memikirkan bahawa rumpun bangsa USBO sebenarnya rumpun bangsa majoriti dan berpotensi menjadi pemerintah kepada rumpun lain di Sabah.


USBO bukan sahaja dikatakan sebagai wacana penyatuan bangsa bajau dan rumpunnya..tetapi juga menghimpunkan kembali beberapa pemimpin suku bumiputera Islam yang digugurkan semasa PRU-12. Semestinya DSSK dan TSP serta Datuk Amir Kahar anak kepada Tun Mustafa mengemudi bahtera USBO. Sebagai pergerakkan Sosial dan Budaya..USBO dilihat tidak jauh perjalanan politiknya..kerana dari pelbagai mata melihat, ia hanya sekadar menyelamatkan politik pemimpin tertentu. Tidak ada satu idelisme yang boleh diperjuangkan dalam USBO. Isu penyatuan rumpun sebangsa diibaratkan sebagai gimik murahan yang menutup kelemahan dan kepincangan UMNO Sabah. Golongan kelas pertengahan , masih enggan akur menerima bahawa USBO perlu dijadikan sebagai wadah perjuangan baru bagi bumiputera Islam di Sabah. Kerananya atas apa, sekalipun. USBO hanya meniupkan kembali semangat lampau politik suku terbesar di Sabah. Ada yang beranggapan bahawa USBO akan mengisi ruang yang ditinggalkan oleh Tun Mustafa. Sayugia isu ‘kelompangan” ini seharusnya dibangkithidupkan ketika ‘penggiliran’ KM, kerana pada waktu itu nyata, isu “kelompangan” kepimpinan bumiputera Islam masih kenampakkan. Namun setelah penggiliran itu ditamatkan, justeru kuasa politik di Sabah, terus-terusan dipegang oleh bumiputera Islam dan parti UMNO. Justeru apakah isu ‘kelompangan’ itu wajar dibangkitkan semula..?


USBO tidak harus dilihat sebagai ancaman dalaman ke atas UMNO Sabah…sekalipun bergerak pada landasan yang benar, kerana DSSK dan TSP merupakan pemimpin yang digugurkan dalam PRU-12, atas beberapa factor kepimpinan. Biarpun perkara ini dinafikan oleh ramai pihak, tetapi harus diakui sejujurnya bahawa percaturan politik kepimpinanlah punca kedua tokoh ini tidak diturunkan. Atas factor percantasan politik atau kerana sewaktu mereka berada di puncak, juga mereka terlibat dalam dilemma yang sama.Justeru apabila USBO “disenyawakan” dengan ideology politik,maka tidak Nampak benar bahawa ia akan Berjaya seperti USNO. Apa yang timbul ialah, perjuangan USBO menyatukan rumpun sebangsa adalah tepat dan mudah diterima oleh peringkat akar umbi..jika diberikan penekanan kepada perjalanan aktiviti dan agendanya tetapi akan tersasar dan gagal setotalnya jika disenyawakan dengan politik peribadi pemimpin tertentu. Kalaupun USBO kekal sebagai wadah penyatuan..tetapi aktiviti dan agendanya akan menjurus kepada perjaminan keutuhan politik peribadi. Mungkin jika USBO sebuah parti politik , lain ceritanya..kerana jelas berjuang untuk kepentingan politik.


Kerna itu apabila saya memaparkan posting TYT SABAH SUATU BAYANGAN membuka satu ruang fikir kepada kita rakyat Sabah mengenai kemungkinan-kemungkinan politik yang akan berlaku pasca PRU-13. Tokoh-tokoh seperti TSP, DSSK MUSA AMAN, Dan SHAFIE AFDAL, adalah antara watak politik berbisa di Sabah. Percaturan sehingga membawa kepada jawatan pencen politik ini, akan turut memberi kesan kepada gagasan penyatuan rumpun sebangsa. Misalnya jika TYT benar diserahkan kepada TSP, maka secara lazimnya, USBO akan menjadi pincang. Begitu juga bila DSSK atau Shafie Afdal menjadi KM, maka akan relevankah lagi isu penyatuan ini..? Jika masih berkait, tentu perjalanan agendanya pun tentu berlainan kerana kuasa politik sudah dimiliki. Jika Musa Aman kekal dalam status KM juga memberikan Impak kepada perjuangan USBO..maka nya kemuncak kepada menghancurkan politik TSP dan DSSK ialah percaturan Jawatan yang diberikan. Bukan bermaksud sebagai sogokkan tetapi lebih kepada pelan jangka panjang..supaya isu penyatuan dan kerukunan bangsa serumpun menjadi tidak ketentuan.


Idea penulisan ini sekadar membangkitkan betapa, USBO tidak harus disalahgunakan. Apa yang sewajarnya berlaku ialah mengiktiraf hak sesama ahli dalam UMNO. Apakah hanya kerana pemimpin itu dilabelkan sebagai ‘tempelan’ politik Sabah, justeru perlu digulingkan. Bukankah pemimpin itu juga berada dalam satu kapal yang sama. Rasa syukur perlu menggunung tinggi kerana setelah penggiliran KM dihentikan UMNO kembali mendapat mutiara kuasanya. Dan kendatipun bumiputera bukan Islam punya pemimpin Huguan siau, namun tidak memungkinkan untuk menerajui kerajaan, selagi UMNO menjadi parti yang mendominsai BN di Sabah. Kenapa itu tidak harus dipelihara?


Generasi kelas pertengahan tidak lain melihat bahawa USBO adalah Wadah politik peribadi dan bukan wadah politik rumpun sebangsa. Seikhlasnya kita akui perkara ini. Oleh yang demikian apa yang wajar dikatakan ialah..melihat kembali kesilapan terbesar yang dilakukan oleh pemimpin USBO sehingga mereka tidak dicalonkan. Jika kesilapan itu berlaku..harus diperbaiki..bukannya menyemarakkan api pertentangan, dengan melihat bahawa tokoh dalam USBO inilah yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tun Mustafa.


Senario politik UMNO di semenanjung, isu suku dan bangsa minority atau majority tidak sangat mendapat tempat. Mantan PM Tun Mahathir juga dikatakan bukannya Melayu tulen,..tetapi diterima kepimpinannya, kerana konsep kemelayuan itu yang dilihat dalam konteks menyeluruh dan lebih terbuka. UMNO Sabah, masih perlu dianjak dalam hal ini..kerana pemimpin yang diterima dalam UMNO Sabah, masih dilihat sebagai bukan majority dan kerana itu gerakkan menyatukan Rumpun sebangsa berjalan dengan kadar yang senyap dan perlahan. Di luar pertimbangan politik yang matang..jika dalam satu organisasi siasah politik seperti UMNO masih mempersoalkan ‘kelayakkan’ ahlinya memimpin rumpun bangsa majority dalam parti. Maka mungkin itu sebabnya, UMNO Sabah sentiasa bergolak kerana ketidakpercayaan dan percaturan rumpun bangsa yang menyimpang. Justeru bila berlaku pengguguran peringkat kepimpinan atasan, kita rakyat Sabah melihat dengan penuh persoalan di dada. Kesetiaan sekadar dibibir, dalam hati mencatur pertimbangan luar batas kepartian.

Secara jujurnya juga kita mengakui bahawa pengguguran DSSK dan TSP, banyak memberi impak besar dalam politik Sabah. Sekalipun mendapat musibah sedemikian, namun kesetiaan mereka masih mendapat perhatian. Agak sukar kita menyalahkan siapa..tetapi apa yang jelas..budaya mencantas itu sudah lama diamalkan dalam UMNO Sabah..barangkali seawall UMNO mengembangkan sayapnya 18 tahun yang lalu. Maka yang demikian budaya ini harus dihentikan…kerana jika UMNO sabah sendiri bergolak..kita tidak Nampak harus bagaimana KDM tidak mengambil peluang yang terbentang luas.

Resolusi idea ini..membawa satu bentuk pemikiran supaya kita rakyat Sabah berada dalam politik harmoni yang terjalin sekian lama. Menghidupkan semangat yang sudah berkubur..seperti memberikan peluang kepada musuh sedia ada untuk kembali menyerang. Pertimbangan politik USBO harus memikirkan kepentingan seluruhnya rakyat Sabah, dan bukan sahaja terhad kepada rumpun sebangsa. Pertimbangan ini perlu untuk lebih berjiwa Sabah. Melakar bersama dengan idea genarasi politik akan datang akan lebih segar dan tampak bertenaga. USBO seharusnya lebih dilihat dari persepektif berbeza dan bukannya sehala Cuma.

Tuesday, August 11, 2009



Benarkah USBO tidak mendapat restu Musa Aman..? Benarkah USBO adalah bayangan sebuah parti baru di sabah..? Benarkah USBO adalah semangat yang lahir dari parti USNO..? Benarkah USBO digunakan untuk menakutkan Musa Aman..? Atau soalan terakhirnya, benarkah USBO hanya sebuah pertubuhan social dan budaya semata-mata..?


Itulah antara beberapa persoalan yang menjadi “buletin utama” di kampung-kampung atau desa seluruh Sabah. Dari cerita orang politik di Pantai Barat, hingga cerita orang Bajau di pantai Timur, juga menjadi ‘edisi khas’ orang Bugis di Tawau dan orang Timur di Sandakan dan keningau. Begitu kuatnya ‘dongengan politik’ini. Kalau di lihat dari saf kepimpinan USBO, maka tidak syak lagi, pemimpinnya ialah mereka-mereka yang tidak ‘tercalon’ pada PRU-12. Angkara siapa..? bukan lagi rahsia, bahkan semua orang sudah mengetahuinya…MUSA AMAN tidak memilih para pemimpin USBO ini untuk di selection sebagai ‘calon’ wakil rakyat di tempat masing-masing. Terkecuali Datuk Shafie Afdal..yang lebih dulu ‘afdhal’ di Semenanjung. Seorang tokoh yang dilihat mempunyai kaitan rapat dengan pimpinan Kuala Lumpur. Mahu atau tidak, suka atau sebaliknya, MUSA AMAN memilih Shafie Afdal menjadi calon di Parlimen Semporna.


Di Kota Belud, Parlimen nya diberikan kepada Datuk Rahman Dahlan, orang Tuaran yang sesetengah pendapat mengatakan bahawa Datuk Rahman ditolak dari kepimpinan Tuaran. Datuk Salleh tidak dipilih sebagai calon parlimen mahupun DUN. Begitu juga Tan Sri Pandikar turut tidak dicalonkan Dalam PRU-12 yang lalu. Apakah factor kepada ketidak pemilihan mereka ini?. Walhal seperti kata Halik Zaman, bahawa tokoh-tokoh inilah yang antara lain penyumbang kepada kemenangan bergaya UMNO/BN di Sabah pada PRU-12. Apakah kerana ‘kegagalan’ para pemimpin ini di kawasan yang mereka wakili sebelum ini..? atau ada sebab peribadi yang tersembunyi..? atau juga kerana pengaruh para pemimpin ini yang dilihat lebih sudu dari kuah..? begitulah resam politik, keputusan hari ini, belum tentu menjadi dasar besok hari… begitu juga Datuk Amir Kahar turut ‘dicatur’ politiknya..

Kini, apabila USBO digerakkan, oleh tokoh-tokoh dari golongan suku bumiputera Islam ini..MUSA AMAN mula duduk beralas kaca, bila-bila masa akan pecah..begitu kata orang politik. Betulkah? Atau dengan USBO, MUSA AMAN makin kenal musuh politiknya?..Sejak dulu lagi, dalam scenario politik Sabah, Bumiputera Kadazan Dusun Murut (KDM) dan Bumiputera Islam (Bajau dll ) yang kini disinonimkan dengan USBO mendominasi kepimpinan Sabah. Terkecuali Datuk Hariss Salleh dan MUSA AMAN yang diistilahkan oleh Halik Zaman sebagai menempel di Sibuga, Sandakan. Pemimpin Cina pun, hanya menjadi KM setelah berlakunya penggiliran jawatan itu. Maka, di manakah MUSA AMAN dalam kepimpinan USBO…? Kerana sebagai pertubuhan social ( Persatuan Bajau bersatu sabah ), sewajarnya USBO mendapat sokongan pemimpin negeri..Selebihnya saya serahkan kepada penilaian anda!!!