Sepuluh wakil rakyat Sabah, masing-masing lima Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), menandatangani akujanji Komitmen Kerjasama dan Sokongan Pencegahan Rasuah di negeri ini.
Anggota Parlimen yang menandatangani komitmen berkenaan ialah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Papar) yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk SapawinAhmad (Sipitang), Datuk Linda Tsen Thau Lin (Batu Sapi), Datuk Nasrun Mansur (Silam) dan Wong Sze Phin @ Jimmy (Kota Kinabalu).
Adun yang menzahirkan komitmen yang sama ialah Datuk Joniston Lumai @ Bangkuai (Kiulu), Datuk Ahmad Bujang (Sindumin), Datuk Seri Panglima Michael Asang (Labuk), Datuk Masiung Banah (Kuamut), dan Datuk Hamisa Samat (TanjongnBatu).
Akujanji komitmen itu, yang mengandungi enam perkara itu, ditandatangani kesemua 10 wakil rakyat berkenaan termasuk seorang daripada DAP dan selainnya Adun Barisan Nasional, sempena program menjalin kerjasama ahli-ahli politik anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Komitmen ini ditandatangani dengan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaffar pada program Majlis Makan Malam Bersama ‘Opinion Leaders’ Pemimpin Politik Berpengaruh.
Dalam ucapannya, Zakaria melahirkan harapan agar pemimpin-pemimpin politik akan terus bekerjasama dan membantu SPRM memerangi rasuah, bukannya mempolitikkan isu rasuah.
“Rasuah jangan dipolitikkan. Rasuah bukan isu politik, tetapi rasuah isu jenayah. Rasuah adalah satu isu yang kita semua perlu sama-sama tangani. Jadi, saya harap Yang Berhormat akan membantu SPRM dalam perkara ini,” katanya, lapor Bernama.
Zakaria juga menjelaskan mengenai beberapa syor untuk memperkasakan SPRM termasuklah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang mana kedua-dua ini memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Rosnah berkata, beliau akan meminta wakil rakyat BN yang lain untuk menandatangani Komitmen Kerjasama dan Sokongan Pencegahan Rasuah bagi membantu SPRM mencapai misinya.
“Saya yakin banyak lagi wakil rakyat yang berminat untuk menyatakan pendirian positif mereka, menerima ikrar Komitmen Kerjasama dan Sokongan Pencegahan Rasuah ini. Tetapi disebabkan faktor masa dan komitmen lain, kemungkinan mereka tidak dapat bersama dalam majlis hari ini.
“Saya berpandangan bahawa wakil rakyat perlu memainkan peranan penting dalam menjelaskan kepada rakyat tentang peranan SPRM dan sokongan yang perlu diberikan untuk memerangi rasuah,” katanya.
Wong Sze Phin dari DAP pula berkata, beliau akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan pelantikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM menjadi kenyataan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Hishammuddin Hashim berkata, SPRM Sabah akan mengambil tindakan susulan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat yang lain di Sabah menandatangani akujanji Komitmen Kerjasama dan Sokongan Pencegahan Rasuah.
“Walaupun 10 wakil rakyat menandatangani di peringkat kumpulan pertama ini, ini satu komitmen positif di mana pemimpin dari BN dan DAP hadir sama. SPRM hargai komitmen mereka. Kami yakin yang lain juga akan ikut sama, beberapa wakil rakyat lain turut melahirkan pendirian yang sama,” kata beliau.
0 ulasan :
Post a Comment