Sunday, August 16, 2015



Polis telah menerima tiga laporan polis mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ada seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis akan menyiasat laporan tersebut di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"Kita telah menerima beberapa laporan polis berkenaan (kenyataan) timbalan perdana menteri bahawa ada percubaan untuk menggulingkan kerajaan.

"Jika kita mendapati ada unsur-unsur cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara bukan mengikut perlembagaan, kita akan ambil tindakan," kata Khalid dalam satu sidang media di Bukit Aman hari ini.

Apabila ditanya sama ada benar terdapat pemimpin Umno yang merancang menggulingkan kerajaan, Khalid enggan mengulas mengenainya.

"Itu kena tanya pemimpin umno, polis tidak akan mencampuri urusan dalaman parti, jadi jangan tanya saya pasal parti," katanya.

Katanya polis akan menyiasat tidak kira siapa yang terlibat dalam cubaan untuk jatuhkan kerajaan, termasuk pemimpin politik, individu atau NGO.

Zahid kelmarin mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" dengan sokongan ahli parlimen pembangkang.

Naib presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.