Sunday, August 16, 2015



Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya segera bertemu dengan penyedia platform media sosial – Facebook (FB), Google dan Twitter — bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam mengekang penyebaran maklumat palsu dan khabar angin di Malaysia.

Salleh berkata, sungguhpun mereka memberi kerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa Malaysia dalam usaha itu, namun tahap kerjasama itu perlu dipertingkatkan lagi.

“Terdapat undang-undang di Malaysia yang mentadbir penyebaran maklumat palsu dan belum disahkan, dan adalah salah di sisi undang-undang jika maklumat itu dimuat naik dan disebarkan kepada umum.

“Pada masa ini, meskipun pihak berkuasa boleh menyekat akses atau menghalang aplikasi seperti itu, mereka tidak akan berbuat demikian memandangkan majoriti pengguna media sosial menggunakan aplikasi berkenaan secara positif dan bukan bagi tujuan negatif atau untuk mencela,” katanya menerusi catatan terkini blog beliau.

Salleh bagaimanapun mengingatkan oang ramai bahawa ini tidak bermakna mereka boleh memuatkan maklumat tidak disahkan tanpa menghormati atau mematuhi undang-undang.

Beliau berkata isu maklumat palsu baru-baru ini mendapat tumpuan dalam media, terutamanya portal berita dalam talian.

Justeru, Salleh menggesa orang ramai memahami bahawa persekitaran dalam talian bukanlah suatu ruang tanpa undang-undang dan tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang didapati melanggar undang-undang, tidak terkecuali di ruang dalam talian.

Beliau berkata penerbitan atau memuat naik maklumat sensitif atau belum disahkan mungkin boleh mencetuskan keadaan tidak diingini yang menjejaskan keselamatan awam.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, menjadi suatu kewajipan untuk melindungi warga negara ini daripada bahaya, termasuk ancaman yang dibawa menerusi bahan yang dimuatkan dalam media sosial dan internet.

“Oleh itu, kerjasama lebih rapat daripada penyedia media sosial adalah mustahak demi kepentingan awam bagi membantu pihak berkuasa mendukung undang-undang dan melindungi rakyat di negara ini daripada bahaya,” katanya.

Memetik contoh, Salleh berkata pada 2014, dianggarkan 78 peratus daripada permohonan SKMM untuk pengeluaran bahan kandungan telahpun dilaksanakan oleh penyedia media sosial, dengan pelaksanaan oleh FB merangkumi 81 peratus daripada permohonan .

“Perangkaan terkini setakat akhir Julai 2015 menunjukkan 49 peratus daripada permohonan SKMM mendapat tindakan sewajarnya, 33 peratus oleh YouTube dan 42 peratus oleh FB.

“Sungguhpun penyedia media sosial memberi kerjasama, kami meminta mereka supaya lebih sensitif dengan persekitaran di tempat kita,” katanya.

0 ulasan :