Wednesday, October 9, 2013



Kerajaan Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini akan memberi elaun berjumlah RM8,620 dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Khalid berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

Beliau berkata, kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Datuk Menteri Besar pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan," katanya.

Ketua Pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang berjumlah RM8,620 sebulan.

Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parliem (Saraan) 1980.

"Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat," katanya. – 10 Oktober, 2013.

0 ulasan :