Tuesday, October 8, 2013

Minggu lepas (02.10.2013) DKM Sabah bersama beberapa orang sahabat telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Mufti Sabah (Ust. Hj. Bungsu). Partama kali menjejakkan kaki ke pejabat beliau, kami disambut dengan penuh keramahan oleh beliau sendiri. Pertemuan yang berlangsung tanpa dirancang tetapi berjalan lancar meskipun Mufti sendiri sibuk dengan tugasan beliau, namun masih sanggup memperuntukkan sedikit masa beliau untuk melayani kunjungan kami.


Di awal perbualan kami sempat menanyakan adakah kami merupakan orang pertama yang datang bertemu beliau untuk bertanyakan berhubung kenyataan beliau pada "Simposium Mendepani Agenda Asing Melayu Dalam Krisis Kepimpinan". Ust. Bungsu menjawab telah ramai NGO Islam yang datang mengunjungi beliau dan bertanya apa perkara sebenar yang cuba disampaikan olehnya pada simposium berkenaan.


Berikut beberapa soalan yang sempat pihak DKM Sabah ajukan dalam masa yang agak terhad (Susunan soalan ini adalah mengikut kesesuaian kerana soalan yang dikemukakan pada ketika itu adalah tidak tersusun , spontan dan berdasarkan sedikit bacaan di saat-saat akhir):


1. Apakah maksud sebenar yang cuba disampai oleh mufti melalui konsep "Memelayukan rumpun Melayu". Adakah Mufti ingin orang-orang muslim mendahulukan agama daripada bangsa atau sebaliknya?.


"Bukan soal Islam dahulu atau bangsa dahulu. Ia dalam konteks kita di Malaysia ini, kaitan antara bangsa Melayu dengan Islam itu amat rapat. Malah jarang-jarang bangsa di dunia ini yang dikaitkan dengan Islam, secara bertulis. Takrifan Melayu dalam perlembagaan (1. Beragama Islam, 2. Bahasa Melayu, 3. Budaya Melayu)".


"Oleh kerana takrifan itu cantik, bila kita bercakap soal perpaduan umat pada simposium itu hasil daripada perbalahan politik dan akhir-akhir ini perbalahan fahaman akidah (sudah ada orang Melayu Syiah, sudah ada orang Melayu Kristian, sudah ada Melayu Liberal, plural) belum masuk lagi ajaran sesat dan lain-lain, jadi kacau bilau Melayu kita".


"Dari segi undang-undang Perlembagaan kita, kedudukannya cantik, ada kolerasi dengan Islam jadi bukan soal siapa dulu siapa kemudian".


"Dalam simposium itu saya sebut dari sudut syiasah syariah “kepintaran kita dalam menangani masalah perpaduan ini macam mana?". Perpaduan memang NAS yang jelas “Wajib” seorang Islam itu melaksanakan perpaduan".


(Seperti dalam Surah Ali Imran ayat 103)








Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamubercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu- padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat pertunjuk hidayahNya.




"Dalam konteks isu yang timbul ini (Memelayukan bangsa lain) tiada juga isu misal kata orang memahami ilmu antropoligi (Tahu asal usul bangsa), etnografi (tahu susur galur bangsa) danSejarah".


"Istilah yang saya timbulkan MEMELAYUKAN RUMPUN MELAYU etrinya, dari segi etnografi dan antropologi kita semua ini adalah rumpun Melayu yang berada di Malay Archipelago(Kepulauan Melayu) ini rumpun Melayu yang katanya lebih 200juta".


"Dalam konteks kita di Borneo ini, apapun suku bangsa mengikut sarjana bukan mengikut saya (Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar) adalah rumpun Melayu".


"Sebab itulah saya menyeru perpaduan Islam dalam konteks Sabah (oleh kerana orang Sabah, bukan semua suku bangsa mengaku dia Melayu tidak seperti di Semenanjung). Maka itulah saya mencadangkan, sebagai penyelesaian kepada perpaduan ini (mungkin ada juga cara lain), suku-suku yang rumpun Melayu ini mesti mereka menganggap mereka sebagai orang Melayu, bukannya menukar identiti (Kalau Dusun hilang sudah Dusunnya, tidak boleh sudah makan inava, tuhau), tukar nama jadi Melayu, cakap Melayu…,tidak, itu kekal sebab itu Allah S.W.T telah kurniakan dan ianya akan kekal".


"Tapi rumpun itu, biar dia berasa berada di bawah rumpun (payung) rumpun Melayu. Sebab itu fakta dan itu sebenarnya yang saya cuba ketengahkan".


"So bila yang Islam ini, etnik muslim ini tapi dia merasa dia ini Melayu berada di bawah rumpun Melayu. Suku dia kekal ("kalau Dusun, Dusun la ba…kalau Rungus, Rungus la ba… kalau Tidung, Tidung la…, kalau Bajau, Bajau la ba… tapi ada ikatan Melayu.... Itu saja").




2. Adakah pandangan Mufti ini berdasarkan pendekatan yang diambil oleh Nabi Muhammad SAW yang menyatukan Muhajirin dan Ansar?


"Secara langsungnya tidak, tetapi secara dasarnya “Apapun yang kita buat memang dasarnya adalah Islam”. Pertama kita mahu umat Islam bersatu, dasarnya apa…? (al-Quran dan Sunnah). Al-Quran suruh kita bersatu (Ayat dalam Surah Ali Imran ayat 103). Jadi caranya yang kita ada di sini, Melayu itu sudah ada tapak yang bagus dan ada kaitannya dengan Islam (dari segi kesusahteraan, istilah arab yang di Melayukan) sampai kepada budaya kita dia sudah jadi perkataan agama".


"Saya melihat potensi Melayu itu sudah rapat dengan Islam, jadi suku-suku yang ada, oleh kerana mereka itu memang rumpun Melayu “Why not we return back to the track” (kembali semula ke landasan yang umum/ asal yang global, iaitu kita ini rumpun Melayu, jadi cadangan itu timbul di situ".




3. Bagaimana pula pandangan Mufti bila ada pihak menganggap cadangan mufti ini sebagai usaha untuk menghapuskan etnik lain (Penghapusan Etnik)?



"Penghapusan etnik seperti di Bosnia?, jauhnya diorang berfikir. Macam mana saya mahu menghapuskan etnik, contohlah mahu menghapuskan etnik Dusun menjadi Melayu, Saya pun separuh Dusun (aina, macam mana saya mahu menghapuskan keDusunan yang ada dalam diri?...) saya bukan orang semenanjung saya orang Brunei campur Dusun, jadi macam mana saya mahu buang Dusun (dahulu, orang Brunei makan ambuyat) jadi macam mana saya mahu paksa diri saya jangan makan ambuyat dan makan nasi sahaja kerana orang Melayu makan nasi?. Ertinya budaya ini, Allah SWT sudah berikan dan tidak boleh dibuang. Maka tidak wujud etnik cleansing".




4. Bagaimana pula Mufti melihat konteks perpaduan di Sabah, adakah sama dengan suasana di semenanjung atau berbeza?


"Mungkin ada sedikit perbezaan tapi asas Melayu dan Islam itu mungkin ada relevannya. Saya bukan bermaksud jangan kamu mengaku Bajau, jangan kamu mengaku Dusun, jangan kamu mengaku Brunei.. mengaku kamu Melayu, IC pun ditukar, suku bangsa tiada suda, semua pun jadi Melayu….itu semua tidak betul, bukan itu maksudnya, dan kalaupun saya cadangkan itu, maksudnya saya sudah bingung".


"Saya sendiri separuh Brunei dan separuh Dusun"… orang Dusun bilang, adih-dih dia bilang, macam mana mau buang?".



"Jadi isu ini lebih Menjurus kepada Perpaduan Islam. Jadi akan datang, selagi usaha untuk berpadu itu masih ada dan umat Islam belum bersatu, kita akan terus bercakap mengenai perpaduan umat Islam".





5. Bagaimana pula dengan respon mufti berhubung tindakan dan tuntutan segelintir pihak yang mendesak agar mufti minta maaf?


"Tidak timbul isu minta maaf, ini hanya untuk orang yang buat salah. Ini sebenarnya dorangmain radak (Hentam Kromok) saja ba ni".



"Istilah Memelayukan itu, kalau orang hadir di situ dia akan faham apa yang saya maksudkan.Memelayukan Rumpun Melayu. Saya pun "sebut" Rumpun Melayu, ertinya kita semua ini rumpun Melayu dan bukannya menukar etnik. (Macam mana mau tukar etnik?) apa lagi di Sabah. Saya faham ba tu, sebab saya bukan orang semenanjung, saya lahir di Sabah".




6. Harapan mufti berhubung isu ini “adakah Mufti berharap isu ini akan terhenti di sini ataupun mungkin ada perbincangan lain atau mufti sendiri akan membuat kenyataan akhbar agar isu ini tidak dimanipulasi”.


Manipulasi sukar dielak, “Mulut tempayan boleh ditutup, mulut tangki juga bleh ditutup tapi mulut orang walaupun lebih kecil daripada mulut tangki itu, susah kita mahu tutupapatah lagi sekarang komunikasi semakin canggih”.


"Harapan kita, oleh kerana tujuannya tadi untuk perpaduan Islam, selagi tidak berpadu selagi itu tidak terhenti. Memang kita kena berkerja untuk menjadikan orang Islam ini bersatu-padu dan dalam masa yang sama menghormati orang bukan Islam (kepercayaan masing-masing) apa yang saya lontarkan ini bukan isu politik, bukan juga isu agama".



"Sebenarnya orang bukan Islam tidak berapa kena bila dorang respon sebab saya fokus kepada suku-suku Islam, tapi kalau ada orang bukan Islam respon, dia ada hak untuk respon tapi macam tiada kena mengena la, (macam kita marah Obama, dia kenakan cukai berlebihan di US, biarla bah Negara dia juga, yang kita sibuk buat apa?….lebih kurang macam tu) tapi oleh kerana kita hidup ada juga kaitannya (kita hidup satu Negara), tapi pada saya ini Isu untuk orang Islam Sahaja, untuk menyatukan orang Islam".




7. Usaha/ Inisiatif Mufti untuk menyelesaikan isu ini?


"Isu ini biarla ba… macam kita ni budak-budak ba… kalau dia marah-marah kita dalam blog, biarkan saja, biarkan dorang keluarkan dorang punya pandangan, sebab susah kita mahu sekat…. Sebab bagi kita orang beriman yang ada pertimbangan rasional ini, nasihat saya yang pertama, tanya dulu yang betul, jumpa saya sebab saya terbuka (Tompinai apa ba kau sakap ini…) jadi saya boleh terangkan. Siapa-siapa pun boleh datang berjumpa saya tidak kira apa bangsa dan agama".





Sedikit info: bagi mereka yang melabel Mufti sebagai mufti UMNO. Jika tidak faham prosedur pelantikan seseorang mufti, sebaiknya jangan sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan. Pelantikan mufti tidak akan sama dengan politik. Seorang pemandu teksi pastinya boleh menjadi ahli politik/ YB walaupun tahap pendidikannya tidak setinggi mana, tetapi pelantikan mufti jauh berbeza. Info pelantikan Mufti >>>KLIK


Sekiranya ada kemusykilan, mohon berjumpa sendiri dengan mufti dan bertanya. Berjumpalah, dan bertanyalah, itu jauh lebih baik dari sekadar melemparkan tohmahan.

Aku cukup yakin dan pasti, jika anda semua bertemu mufti, pastinya anda semua akan tertarik dengan cara beliau mengolah ayat, buah fikiran dan cara beliau melayani pertanyaan tetamu beliau.

Sumber: D.K.M

0 ulasan :