Monday, August 4, 2014



Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

"Insya-Allah, itu sikap saya dan saya harap seluruh pimpinan Pas akan bersama dengan keputusan ini walaupun ada pandangan berbeza.

"Saya telahpun dengar semua hujah, kumpulkan sebelum akhirnya saya dapati majoriti kalangan akar umbi Pas bersetuju Khalid Ibrahim dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya yang ditemui pemberita di rumahnya di Rusila di sini hari ini.

Menurut Abdul Hadi, hasil penelitian dan kaji selidik beliau sendiri melalui beberapa pihak sama ada dalam Pas mahupun pihak luar, didapati majoriti rakyat Selangor masih bersetuju Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar, namun bergantung kepada perkenan Sultan Selangor.

Katanya, kecemerlangan perkhidmatan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor hingga ke tahap yang lebih baik termasuk mempertahankan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak boleh dinafikan meskipun terdapat kecelaruan yang ditimbulkan dalam pakatan pembangkang.

Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat Rabu lepas menerima cadangan untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.





Abdul Hadi berkata, alasan pihak yang mahu menukar Menteri Besar Selangor adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Abdul Khalid tidak terlibat masalah besar.

"Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan-alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggal.

"Isunya adalah tunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Tan Sri Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau," tegasnya.

Anwar mungkin ada sebab kenapa beliau perlukan pengganti Khalid itu secepat yang mungkin. Biarlah itu diketahui olehnya sendiri walaupun ramai yang faham kenapa beliau tergesa-gesa untuk memberhentikan Khalid. Mungkin Khalid sendiri tahu sebabnya dan kita tidak layak untuk memberitahu sebab yang sebenarnya.

Tetapi jika Khalid memilih untuk memberitahu sebab-sebab sebenarnya itu adalah satu perkara yang agak baik untuk pengetahuan ahli-ahli parti dan rakyat Selangor. Ramai yang tertanya-tanya kenapa hendak diberhentikan Khalid dengan tergesa-gesa? Kenapa hendak gantikan selepas Aidilfitri? Kenapa tidak selepas Hari Raya Korban misalnya. Kenapa tidak selepas Hari Christmas atau selepas Deepavali September ini?

Semua persoalan ini biarlah berada dalam benak dan dalam diri Anwar sendiri. Tindakan tergesa-gesa ini tentu bersebab. Anwar tidak akan memberitahu sebab sebenarnya dalam usaha membersarakan Khalid sebagai Menteri Besar itu.


Tetapi ramai juga rakyat yang mempunyai pandangan yang sebab utamanya ialah kerana masalah yang beliau (Anwar) sedang hadapi sekarang.Ditanya sama ada keputusannya itu bakal melebarkan perpecahan dalam pakatan pembangkang, beliau berkata: "Itu perkara mendatang dan kita boleh berbincang dan berunding. PAS akan terus bersama pakatan dan pendapat berbeza itu sudah biasa sejak dahulu lagi".

Apabila diajukan soalan bahawa pendirian beliau itu menunjukkan Pas seolah-olah cuba menghalang apa yang didakwa sebagai jalan terakhir untuk Anwar ke Putrajaya, Abdul Hadi menyangkalnya sambil menyatakan perjuangan pakatan pembangkang bukannya perjuangan peribadi tetapi perjuangan untuk rakyat.

Ditanya adakah Pas berhasrat mengajak Abdul Khalid menyertai parti itu, beliau berkata, pihaknya tidak berhasrat berbuat sedemikian.

"Itu bukan cara kita dan sejak awal lagi walaupun kita (Pas) punyai 15 kerusi DUN, yang lebih daripada PKR, kita (PAS) beri kepada PKR (kerusi MB di Selangor) kerana kita sudah ada Kelantan (diperintah oleh PAS),' katanya sambil menyatakan kesihatannya kini semakin baik dan tetap mengikuti perkembangan politik semasa.

Abdul Hadi sebelum ini menjalani pemeriksaan perubatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas tahap kesihatannya dilaporkan terjejas semasa menghadiri satu persidangan di Turki bulan lepas.

Ketika ini Pas mempunyai 15 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor manakala PKR (14) dan DAP (15).

0 ulasan :