Friday, October 23, 2009


Bukan kecil tanda tanya pada seluruh masyarakat Usukan..Bukan main juga persoalan yang bersarang di kepala masyarakat Kota Belud..APA sudah jadi dengan Wakil Rakyat Usukan? Di mana sudah YB Japlin? Kenapa tidak kelihatan dalam majlis pemimpin bersama rakyat di kawasan Usukan..? Apakah faktor yang menyebabkan wakil rakyat ini 'membisu seribu bahasa'..malahan jarang kenampakan di daerah ini? Apakah masyarakat di usukan terus-terusan dibiarakan tanpa pembelaan dan perhatian dari wakil rakyatnya?


Sebagai seorang pemimpin dan wakil rakyat yang dilantik dan dimahkotakan sebagai pemimpin, YB Datuk Japlin seharusnya bersikap lebih gentelmen dan berkesungguhan dalam membela nasib dan pembangunan masyarakat di Usukan.. semua orang tahu bahawa, YB Japlin menghadapi beberapa masalah peribadi ,namun tidak harus dijadikan alasan untuk tidak mempedulikan lagi hasrat dan kehendak masyarakat Usukan. Soal peribadi soal lain, tetapi tanggungjawab adalah 'hak' yang diberikan oleh rakyat. Tambahan lagi YB Japlin belum pun diputuskan oleh mahkamah bahawa beliau bersalah, jadi adalah lebih baik jika Wakil Rakyat ini tidak sangat mempedulikan hal-hal yang berkaitan dengan isu SPRM ini.


Wakil rakyat Tempasuk lebih berjaya dan mendekati masyarakat akar Umbi, apakah YB Japlin juga tidak berkesempatan berbuat demikian.? Sedangkan dalam beberapa majlis rasmi YB Usukan dan YB Tempasuk ini kelihatan bersama..seakan-akan mereka mempunyai pertalian 'persahabatan' yang akrab. Masa kan YB Japlin tidak boleh berbincang secara hati ke hati dengan YB Tempasuk ini..Pilihanraya ke -13 masih jauh lagi..Dalam politik penuh dengan misteri yang tak terungkap..segala-galanya mungkin dan kemungkinan itu yang seharusnya difikirkan oleh YB Japlin.


Dengar-dengar khabar juga, YB Japlin sudah tidak mempedulikan hal dan perihal UMNO Bahagian KB. Termasuk juga YB Tempasuk ,Datuk Musbah Jamli. Kerana mungkin tidak wujud kesaksamaan kepimpinan di peringkat bahagian ,maka hal ini berlaku. Sepatutnya perlu hadir ketulusan memikirkan perihal rakyat yang seharusnya dibela dan diutamakan. Mungkin dengan mengambil semangat bahawa UMNO seluruhnya perlu berubah dan berusaha mendekati masyarakat dengan mengutamakan kepentingan parti dan rakyat, maka ketidaksepakatan para pemimpin di KB ini boleh dilangsaikan seadanya.


Sebagai anak watan KB juga pendukung kepada para pemimpin sedia ada, saya berpendirian bahawa para pemimpin harus duduk bersama membincangkan halatuju pembangunan masyarakat di KB. Ambil iktibar kepada apa yang berlaku dalam MCA, bila dua harimau akhirnya duduk semeja dan bertolak ansur. Tea Kiat dan Chua memendamkan perasaan tidak puas hati sebaliknya memikirkan keutuhan parti mereka. Kaum Cina bertindak memikirkan kepentingan kaum mereka di semenanjung. Apakah iktibar ini tidak relevan difikirkan pada peringkat UMNO KB..?


Tidak ada siapa yang dapat mengubah paradigma pemimpin kita di Kb ini kecuali mereka yang mengambil inisiatif memikirkannya. Berkorbanlah atas kepentingan generasi akan datang. Kalau bukan sekarang bila lagi..? Dan buat YB Japlin..'mendiamkan' diri tidak akan menyelesaikan segala kemelut yang berlaku..dedahkan kembali kepimpinan, libatkan diri dalam gerakan kemasyarakatan di Usukan, setidak-tidaknya, USUKAN akan mengingati YB Japlin, pada ketika mereka perlu mengingati anda. Dan ingatlah bahawa seseungguhnya "Bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat".

Thursday, October 22, 2009


Tidak ada siapa yang dapat menggambarkan bagaimana ‘nasib’ bumiputera Islam di Sabah, apakala Usno dibubarkan. Juga tidak ada yang melukiskan keghairahan jiwa para pemimpin dan politikus di negeri bawah bayu ini apabila UMNO hidup di atas batu nisan USNO. Rakyat tidak ada lain harapan hanyasanya nasib dan kehidupan mereka terus terbela. Para pemimpin politik pula, terbahagi kepada beberapa kelompok. Ada yang menerima UMNO seluruhnya, ada yang masih cuba meniupkan roh USNO,ada yang berbekalkan semangat BERJAYA, tidak kurang juga yang meninggalkan PBS, atas banyak faktor selain terpesona dengan ganjaran dan perlindungan politik yang bakal di perolehi.

Setelah 18 tahun UMNO di Sabah, tidak sangat nampak, betapa signifikannya UMNO di negeri ini kalau dilihat dari persepsi orang kampung.ketidakstabilan politik Sabah, nyata menjadi ‘tuba’ buat UMNO. Dalam era Dr. Mahathir, UMNO terpaksa mententeramkan gelora politik itu dengan memperkenalkan “penggiliran ketua Menteri” yang disifatkan sebagai “marry-go-round”.Biarpun ramai yang mempertikaikan kemujaraban dasar yang tidak pernah difikirkan oleh rakyat dan pemimpin Sabah. Di sepanjang tempoh pemerintahan Tun Mahathir, Umno di Sabah hanya bersikap “meredakan dan mententeram” politik. Biarpun pembangunan berjalan rancak, tetapi banyak tuntutan yang pernah disuarakan oleh PBS yang dikatakan sebagai ‘hak’ Sabah ketika menyertai Persekutuan Malaysia, nyata didiamkan.

Kemudiannya apabila Pak Lah menjadi PM, UMNO di sabah juga masih seperti zaman Tun Mahathir.Pak Lah juga nampak lebih mengutamakan negeri-negeri di semenanjung daripada mendengar rintihan dan tuntutan rakyat sabah terutama berkaitan dengan Pendatang Tanpa Izin (PATI), yang begitu menjadi duri dalam daging . Kemenangan dalam PRU 2004, menyaksikan kemenangan besar UMNO dan BN, sehingga ‘kebajikan’ rakyat sabah masih belum jelas pada kaca mata UMNO.Dan pak Lah diangkat sebagai ‘hero’ bagi Umno dan BN, Sehinggalah PRU 12, bila mana UMNO dimalukan oleh orang melayu di semenanjung, sehingga satu-satunya penyelamat ialah UMNO dan Rakyat Sabah dan sarawak. Maka berlaku peralihan kuasa..Pak Lah ‘diturunkan’ atas kesilapan besar itu..Dan Pak Najib akhirnya ditabalkan menjadi PM yang baru..

Atas kesilapan,tidak mengendahkan suara beberapa pemimpin di sabah seperti PBS dan SAPP, maka Pak Najib melihat bahawa Sabah perlu diberikan ruang dan peluang untuk sama-sama berada pada satu perahu biarpun sudah 18 tahun berada pada kapal perjuangan yang sama. Sabah adalah ‘fixed deposit’ bagi UMNO dan BN. Kerana itu, pemimpin Sabah diberikan peluang..Datuk Shafie Afdal merupakan satu-satu pemimpin dari Sabah yang berkesempatan merasa manisnya kerusi Naib Presiden UMNO, parti yang sudah menjangkau lebih 60 tahun jangkahayatnya itu. UMNO Pusat turut memberikan portfolio Kementerian Pembangunan Luar bandar dan wilayah sebagai peluang untuk membangunkan sabah yang jauh ketinggalan. Namun persoalan yang hingga kini bermain dan bersarang dalam majoriti penduduk Sabah ialah, adakah Datuk Shafie di berikan ruang untuk menjadi Tim. Presiden Umno..? Nyata besar sekali jawapan yang bakal kita dengar..

UMNO mula insaf dan sedar akan kesilapanya di sabah. Tidak cukup dengan menebus dosa itu, beberapa pemimpin di Sabah juga dilantik sebagai menteri penuh dan timb. Menteri, termasuklah Ketua Puteri Umno yang dilantik sebagai tim. Menteri. Pak Najib mula memberi tumpuan kepada UMNO Sabah, dengan menyedari bahawa jika sebaliknya, DSAI dan PAS tentu akan berpeluang memancing para pemimpin di sabah yang banyak disinonimkan dengan budaya ‘Lompat si katak lompat”.

Terbaru ialah apabila Pak Najib bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa peringkat kabinet tentang kepentingan bumiputera Sabah dan sarawak. Jawatankuasa itu dipengerusikan sendiri oleh Pak Najib yang menekankan perihal pencapaian dan pembangunan kaum bumiputera ini. Perhatian terus dan berkala ini akan memberikan kesan besar keatas rakyat Sabah. Terutama dalam menyalurkan bantuan dan peruntukan pembangunan di kawasan-kawasan pedalaman selain daripada beberapa isu hak milik tanah dan taraf kewarganegaran yang selama ini menjadi masalah masyarakat bumiputera di sabah.

Adalah sesuatu yang mengejutkan bagi rakyat sabah, apabila Pak Najib, akhirnya mengumumkan cuti umum pada 16 Sept. Setiap Tahun sebagai ‘menghormati’ hari Malaysia yang menyaksikan Sabah menyertai Malaysia. Tuntutan mengisytiharkan 16 Sept.sebagai “hari Malaysia’ sudah lama dikumandangkan, tetapi UMNO Pusat masih ‘mengutamakan” 31 Ogos sebagai hari kemerdekaan bagi Malaya. Keputusan mengiktiraf tarikh 16 sept. Ini membuktikan bahawa UMNO semakin Insaf dan Sedar akan ketepatan tarikh yang demikian. 1 Malaysia mungkin besar bagi gagasan pemimpin, tetapi lebih bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia, apabila hak-hak sepatutnya dianugerahkan kembali kepada yang empunya haknya.Dan UMNO hari ini semakin dewasa menghadapi badai politik pembangkang. Apakah sedikit masa lagi, akan ada pengumuman tentang PATI di Sabah yang dianggarkan sudah mencecah 600 ribu orang..?

Sunday, October 18, 2009


IKRAR SUMPAH MELAYU

KAMI, umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan berhasad dengki, khianat dan Iri hati, bertelagah dan berbalah sesame sendiri.

KAMI, berjanji akan bersatu padu dan patuh menengakkan agama Islam.

KAMI, juga berjanji akan berkerja kuat untuk menyara diri dan keluarga kami.

KAMI, sedia bersaing sesame umat Melayu dankaum-kaum lain dengan jujur dan terhormat.

KAMI, umat Melayu Islam bersumpah setia untuk:

Mempertahankan kepentingan dan hak melayu;

Mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu;

Memperjuangkan iktisad dan pelajaran bangsa Melayu; dan

Mempertahankan maruah Negara supaya aman sejahtera.

(batu pahat:10.feb.1946)


Begitu antara ikrar dan sumpah umat melayu, tatkala perjuangan UMNO mula dilayarkan dengan bernakhodakan Dato Onn Jaafar sebagai pelopor pejuang Melayu pada waktu itu. Maka oleh yang demikian,setelah hampir dan lebih 60 tahun UMNO subur dalam persada politik Negara, maka pelbagai ranjau yang ditempuh..sehingga menyaksikan beberapa kali sumpah keramat ini dilanggar dan waktu itu juga Umat Melayu menerima ‘tulah’ berpanjangan sehingga umat melayu berpecah belah dan berkelompok, sehingga sekarang. Apakah ‘badi’ kepada sumpah keramat itu masih menghantui UMNO di alaf mencabar ini..? Bagaimanakah pindaan perlembagaan UMNO yang memperlihatkan pendemokrasian terbesar dalam sejarah UMNO itu sendiri mengambil kira inti dan pati sumpah keturunan umat Melayu ini..?


Kerana yang realitinya ialah bukan Sistem yang patut dipersalahkan tetapi manusia yang mendukung system tersebut. Bagaimanakah kata-kata Dato Onn Jaafar pada Sept.1947 ini diterjemahkan oleh ahli UMNO pada hari ini:


“Pekerjaan PEKEMBER ( UMNO ) yang lebih besar lagi, ialah berikhtiar mengubah tabiat dan penghidupan orang-orang Melayu. Perubahan itu tidak dapat disempurnakan dalamsetahun, bahkan berpuluh-puluh tahun.Masing-masing bermuafakat danberikhtiar, mustahaknya bukan sahaja dengan sokongan cakapan, melainkan daripada hatinya sendiri”



Kerana diselubungi ketakutan akan menjadi seperti parti LDP di Jepun, parti Kongres di India, juga dibayangi keruntuhan empayar Glokar di Indonesia, maka Presiden UMNO menurut gerak hati atas dasar perjuangan yang mula tersasar, atas nama pengabdian perjuangan yang mula menampakkan kegusaran di peringkat rakyat…dan atas kesedaran bahawa UMNO mungkin seperti rakan parti lain peringkat Global, justeru ‘gerak hati’ itu diterjemah atas kesanggupan “memudahlenturkan” naluri perjuangan UMNO supaya selari dan bertambah dekat pada hati rakyat.


Maka berkata oleh timbalan presiden..bahawasanya, penuntutan perubahan itu asalnya melalui satu “pain period” yang sakit dan tenat.Kerana itu UMNO sudah “alah bisa tegal biasa” dengan musim-musim perjuangan yang merudum dari sokongan rakyat. Apakah selepas “iddah” ketenatan itu, UMNO bisa mengumpul tenaga dalaman hingga fill mazmumah dapat dikikis , terutama pada diri ketua-ketua bahagian yang selama ini gah dengan gelaran “warlord’nya. Jika selama ini telinga ketua-ketua bahagian dibisukan oleh pekikan suara peringkat akar umbi, jika selama ini, mata mereka dibutakan oleh sergahan perwakilan yang membawa sokongan, dan jika selama ini jasad dan roh mereka dikongkong oleh ketakutan kehilangan pangkat dan kedudukan…maka perlu diwar-warkan bahawa atas semangat perubahan yang berlandas segar atas kesatuan fikrah dan minda…ketakutan itu akan datang menyapa mereka, jika perubahan ini gagal diterjemahkan di peringkat bahagian.


Justeru 3 orang naib presiden ‘ membongkar inti perubahan itu, satu pihak hendakkan pemutihan senarai ahli UMNO, di sebelah pihak, mendukung karisma pemimpin pencetus perubahan itu, sedang di demensi ketiga,mahukan barisan dirapatkan semula. Maka yang demikian, manakah lagi ‘pincang’ nya UMNO..? kalau bukan pada sikap dan nilai ahlinya. Cananglah apa juga idealisme, lontarkan apa juga kritikan membina…semua akan gagal jika ahli enggan turut sama mengubah sikap dan minda.


Sesungguhnya UMNO tidak harus bahkan amat perlu dijauhkan dari golongan yang mengekslusifkan parti, menjaja saban waktu kroni dan pimpinan yang dipuji. UMNO harus bertambah jauh dari sikap tidak mendengar denyut nadi rakyat akar umbi. Bahkan tidak ada nilai biar sesen pun di mata rakyat jika perubahan perlembagaan itu tidak mengubah persepsi ahli UMNO kepada partinya.


UMNO perlu responsif dengan kehendak rakyat. Jika golongan muda menjadi sasaran, maka apakah keperluan dan keinginan golongan ini sudah dikenalpasti sekaligus diresponsif. Jika golongan remaja dan belia dipaut kepada UMNO, sudahkan pemikiran dan krisis identity dan perjuangan golongan ini sudah disebatikan dengan pemimpin UMNO..? banyak persoalan yang akhirnya, akan terjawab oleh rakyat sendiri apabila mereka berhadapan dengan kertas undi pada PRU-13 yang akan datang. Percayalah, bahawa UMNO hanya akan Berjaya dalam tuntutan perubahannya bila rakyat menjadi rasa selamat, memangkah UMNO dan sekutunya. Selagi ketakutan, kebimbangan, kegusaran dan ketidakyakinan terhadap pendekatan, dasar dan perubahan Pemimpin dan ahli UMNO, selagi itu, UMNO hanya akan menjadi parti yang tergugat kedudukannya selepas apa yang berlaku kepada LDP, Kongres dan Glokar. UMNO bukan parti ekslusif tetapi perlu lebih responsif.

Saturday, October 17, 2009



Langkah UMNO membuat keputusan berani meminda beberapa pelembagan parti telah membawa satu Perubahan besar dalam sejarahnya sejak parti kelahiran sebelum merdeka itu menjadi nadi perjuangan umat melayu di Negara ini. Rasional di sebaliknya ialah berlakunya satu pentransformasian gergasi sehingga UMNO tidak lagi menjadi parti ekslusif ,bukan parti yang dilahirkan untuk sebarang legasi, bukan parti untuk golongan kepimpinan keturunan dan kenegerian..tetapi UMNO menjadi sebuah parti yang mendefinisikan kepimpinan itu berdasarkan pengertian sebenar Rumpun sebangsa Melayu. Sesungguhnya pendefinisian ini melangkaui segala bentuk pentafsiran sempit, yang melebarkan jurang antara Bumiputera di Sabah-sarawak juga umat Melayu di semenanjung Malaysia.


7 Usul yang diluluskan ,menyaksikan pindaan perlembagaan Parti melibatkan seluruh saf kepimpinan, kelas atasan, pertengahan juga akar umbi. Proses Rejuvinasi yang menyaksikan “peremajaan” kepimpinan menjadi saluran penting pengaliran arus perubahan itu. Penghapusan kouta pemilihan dalam jawatan tertinggi parti dalam UMNO, membuktikan bahawa UMNO membuka ruang seluasnya kepada sesiapa jua, dari lapisan mana,dari ceruk politik terpinggir hingga kepada yang ada di depan mata, UMNO memberikan harapan, bahawa mereka tidak terlepas dari pemerhatian parti dan kerajaan.


Mendengar dan mendekati rakyat, adalah manifestasi kepada kesanggupan ingin turut menyertai perubahan itu. Sikap, nilai,pendekatan juga daya fikir yang ditunjangi oleh daya juang yang bukan kepalang adalah inti kepada kehidupan UMNO pada masa akan datang. Kerana itu UMNO seluruh Negara, termasuk di Sabah, tidak diketepikan untuk turut menyahut cabaran perubahan itu.


Apakah semangat dan daya juang yang mula meluap itu turut dirasai oleh ahli dan pimpinan pertengahan dan atasan di Sabah? Apakah UMNO Sabah, ibarat “diluah mati emak, di telan mati bapa” perubahan yang dicanangkan itu..? Apakah UMNO Sabah bersedia dari segi meredakan pertelingkahan dalaman dengan mengambil keputusan meletakkan perubahan sebagai asas kekuatan parti?..Atau masihkah lagi wujud gerakan “mempopularkan “ pemimpin tertentu dengan member gambaran bahawa rakyat akar umbi masih memerlukan mereka..? Atau barangkali persoalan yang lebih besar iaitu, masih aka nada lagi gagasan penyatuan rumpun bangsa pesimis yang mendalangi penyatuan keseluruhannya UMNO Sabah..?


Di mana kita ahli UMNO Sabah di saat UMNO Nasional menuntut perubahan yang drastic..? Di mana posisi kita ketika mana UMNO Pusat membawa bahtera perjuangan yang terbentang luas..? Di mana kita di Sabah ini, yang mula mendapat gula-gula perjuangan berbentuk pengiktirafan sehingga rumpun kita menjadi naib presiden UMNO..? Kita Tanya para pemimpin kita..arah mana kita dibawa, Kita lemparkan persoalan kepada mereka, kiblat mana kita diletak..? Sanggupkah kita berubah sebagaimana kata Datuk seri Najib..bahawa semboyan perubahan telah berbunyi..? Cerita Presiden tentang perjuangan Afrika menumpaskan dasar Apertide dengan mengutamakan golongan muda dan pewaris daripada diri dan kepentingan suku sakat, meletakkan UMNO sebagai parti yang memberi kedudukkan terhadap golongan ini. Lantas berfikir kita, bagaimana senario UMNO di Sabah..? Tuntaskah idea itu dengan persekitaran politik di negeri bayu ini..?


UMNO Sabah..perlu berubah seluruhnya, jangan hanya sejuzuk sahaja, jangan hanya sekelumit yang mendendangkan lagu perubahan yang merdu. Dan Jangan..ada antara kita yang masih cuba-cuba mengambil kesempatan pada ruang yang terbentang luas. Lupakan persengketaan..lupakan perbezaan prinsip perjuangan yang menjadi beban dan karat pada besi perisai pertahanan Parti.Sebaliknya bersama membenteras gejala opportunis dalam parti dan perjuangan.ketepikan petualang-petualang yang bertempiaran ketika meredah arus perubahan. Dalam parti ada perbezaan tapi bukan bererti kelemahan yang berpanjangan.


Kepimpinan peringkat negeri dan bahagian bukan lagi harus bersifat Warlord yang mempamerkan kepahlawanan perang yang tinggi secara kukubesi arahan dan dukungannya. Peribadi dan perletakkan jiwa tidak seharusnya dipinggirkan dari aspirasi akar umbi yang sentiasa memperdebatkan isu-isu kepimpinan yang bersangkutan dengan idea percambahan dan kematangan. Seorang pemimpin bahagian harus secara insafnya, mengakui bahawa akarumbi perlu didekati dengan sepenuh jiwa dan raga, mendengar pemikiran minda kelas ketiga pemimpin yang mahukan pandangan mereka didengari dan dikupasi secara lebih halus dan ilmiah.Maka jika itulah yang berlaku..UMNO benar-benar telah mengubah persepsi rakyat terhadapnya di peringkat bahagian. Jika tidak , Perubahan itu hanya kan bersifat, sekali bah sekali pantai kan berubah.

Tuesday, October 13, 2009



Ramai yang menyatakan bahawa Datuk Musbah adalah pemimpin alternatif bagi masyarakat KB. Mereka menyandarkan 'harapan' keberjayaan projek Agropolitan. Biarpun bermacam-macam tekanan politik dan peribadi, Datuk Musbah masih 'keinginan' menjenguk serata ceruk rantau kawasan Tempasuk, mendengar dan merasai sendiri denyut nadi kepayahan masyarakat yang berusaha keras meletakkanya di kedudukan seperti sekarang. Hanya dengan coretan pena waktu pilihanraya, akhirnya Datuk Musbah diberikan mandat menjadi wakil rakyat mereka.


Tentunya rakyat tidak mengharapkan ‘balasan’ berupa wang ringgit dan harta menggunung untuk dijadikan imbalan, hanya rasanya sekadar memperolehi ‘wakil rakyat’ yang begitu perihatin terhadap kehidupan mereka. Dari sepintas lalu dan jika bersandarkan kepada maklumat dalam blog pemimpin Bajau dan kelahiran Taun Gusi ini , rakyat begitu mendambakan kehadirannya. Seorang yang begitu mementingkan kerja dan sentiasa turun ke peringkat akar umbi. Mengingatkan kita akan senario di Bagan Pinang, seorang pemimpin yang akrab dengan akar umbi, berjaya menebus maruah dan populariti UMNO dan BN di saat parti perikatan terbesar ini mengundang banyak ‘malapetaka’ terhadap sokongan rakyat.Apakah senario UMNO Sabah dan UMNO KB akan memikirkan bahawa, adalah sampai masa dan ketikanya ,pemimpin yang diperlukan oleh akar umbi, harus terus diberikan peluang..? Apakah sudah tiba masanya popular dalam parti Umno KB, tidak akan menjamin kemenangan berlipat ganda apabila pilihanraya nanti..?


Jika memikirkan bahawa akan ada sokongan yang melimpah kepada pemimpin yang rapat dengan akar umbi, justeru kita menantikan saat itu. Datuk Musbah dengan projek agropolitannya,mencanangkan jika perancangan ini berjaya, dianggarkan sebanyak RM 200 juta akan berlegar di kawasan Kota belud setiap tahun dengan mengambil kira hasil yang diperolehi dan juga peluang pekerjaan yang tersedia. Rasanya amat asing jika kita menyatakan bahawa pemimpin sebelum ini, bisa juga berbuat demikian. Datuk salleh ketika menjadi KM, telah membawa pembangunan dari segi perhubungan Jalan raya. Dikhabarkan lebuhraya Tuaran-Kota belud juga menelan perbelanjaan yang tinggi hampir RM 170 juta. Manakala TSP yang juga pernah menjawat beberapa kementerian ‘masih’ gagal dicari sumbangan besarnya kepada penduduk Kota belud, terutama dari segi pembangunan fizikal. Harus bagaimana kita memperkatakan hal ini..?


Paparan dalam blog Datuk Musbah, banyak berkisar tentang aktiviti kemasyarakatannya dan senario terkini percaturan politik dan gagasan pembangunan yang turut serta setiap kali beliau turun padang. Ramai blogger yang juga rata-rata adalah golongan berkemahiran dalam ICT dan berpendidikan tinggi, menyanjung tinggi keterbukaan Datuk Musbah ini. Berlainan dengan Datuk Salleh yang banyak memaparkan aktiviti bermusimnya, cerita perjalanannya, cerita kehidupan peribadinya dan bermacam lagi aktiviti yang dipaparkan hanya berperanan sebagai ‘santapan’ rohaninya. Paparan mengenai aktiviti kemasyarakatan yang dilakukannya di kawasan Kota belud tidak kelihatan. Biarpun beliau bukan, wakil rakyat, tetapi ternyata rakyat di KB masih mendambakan kepimpinannya. Mengapa situasi ini tidak dipertimbangkan oleh DSSK.Apalah salahnya jika aktiviti seumpamanya dipaparkan. Bukan bertujuan untuk mendabik dada, tetapi sebagai tanda ‘pemimpin’ dekat dengan hati rakyat.


Dalam bulan yang lepas, apabila berlaku musibah kepada penduduk tempatan iaitu kebakaran rumah mereka seperti yang berlaku di kg. Tamau dan Taun Gusi, hanya Datuk Rahman dan Datuk Musbah yang masih setia melawat dan turun padang, sedangkan Datuk Salleh dan TSP tidak kelihatan. Mungkin berita tidak sampai kepada mereka..tetapi sebagai pemimpin masyarakat, kedua-duanya ini tidak harus berlagak hanya sebagai pemimpin parti sahaja. Jiwa dan naluri mereka harus berada dekat dengan jiwa dan naluri rakyat. Apakah DSSK merasakan biarpun tidak turun padang, beliau akan tetap mendapat undi yang mencurah dalam Pilihanraya..? Atau kerana terpaksa menangkis dan mencatur perjalanan politik peribadinya, justeru hal sedemikian rupa terlepas pandang..?.Mungkin keadaan sudah berubah berbanding dahulu. Sebut saja nama pemimpin, rakyat akan berpusu-pusu untuk memangkahnya, sehingga ada yang ‘berbekal’ lambang BN ketika waktu mengundi. Sesungguhnya zaman telah berubah, pemimpin sudah mula diperhatikan dan dirobek fikrah kepimpinannya.Dan ini harus disedari oleh DSSK.


Membaca paparan sdr PALINGBERANI, seorang rakan blogger dari suku Bajau, saya merasa terpanggil untuk mengulas isu ini,apabila beliau melabelkan blog DSSK sebagai “buku teks” yang memaparkan maklumat sahaja tetapi tidak mewujudkan ruang percambahan pemikiran.seingat saya KELAPA MAWAR pernah juga memaparkan permasalahan ini. Kenapa gagasan yang dipaparkan tidak dapat dirungkai oleh para pembaca dan pelawat..? Sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman luas, adalah amat membimbangkan jika trend tidak suka berkongsi pandangan masih lagi berlaku dalam ‘kamus’ politik DSSK. Amat malang sekali bila pemimpin seperti DSSK terlalu takut membaca pandangan oranglain yang tidak sehaluan dengan beliau.Kenapa seharusnya, masih wujud rasa sangsi dan ragu dengan rakyat biasa. Bukankah rakyat inilah yang berhempas pulas memerdekakan DSSK dari percaturan musuh politiknya..? Rakyat tidak perlu diajar dengan sikap ‘opportunisme” dan ‘kegagalan minda’ .Rakyat bukan lagi seperti dulu, para pemimpin seharusnya berlapang dada dan membuka seluas-luasnya ruang untuk menyatakan suara hati rakyat yang mengangkat mereka sebagai pemimpin. Jika hanya berharapkan “Faecbook” dan “Twitter”, berapa ramai yang memiliki kemudahan sebegitu. Maka satu-satunya alternatif ialah melalui dunia blog yang percuma.Dan ini tidak dipergunakan oleh DSSK dengan sebaik-baiknya.Kenapa..?


Setelah digugurkan sebagai calon pada PRU-12 yang lalu, TSP semakin jauh dari suku Iranun, sebelumnya pun pemimpin yang berjaya politik peribadinya ini, menjadi kritikan bangsanya yang gagal memberikan apa yang sepatutnya diberikan ketika TSP berada dalam kerajaan dan parti. Tetapi nampaknya kegagalan itu tidak cuba ditebus dengan memperbanyakkan aktiviti turun padang dan menemui masyarakat Iranun. Politik di Sabah tidak sangat mencontohi politik di tanah besar semananjung,kerana di sana, bila pemimpin tidak dilantik memegang jawatan dalam kerajaan, mereka akan menumpukan kepada kawasan yang diwakili mereka. Kita di KB, sepatutnya bila TSP tidak tercalon , tidak ada jawatan dalam kerajaan ( hanya speaker Dewan rakyat) maka banyaklah aktiviti kemasyarakatan yang seharusnya dihadiri oleh pemimpin iranun ini. Bukan hanya soal yang bersangkutan dengan hal-hal yang mahu ‘dirasmikan’ tetapi lebih kepada hal-hal lain seperti kematian, perkahwinan, dan musibah atau malapetaka yang menimpa masyarakat. Rakyat bukan sangat mengharapkan sumbangan yang diberikan, kerana sebelum inipun berapa sangat sahaja sumbangan yang ada. Tetapi mereka mahukan ‘kehadiran’ pemimpin ini untuk memberikan mereka semangat dan kekuatan meneruskan kehidupan, Maklumlah pemimpin bila datang, akan membawa barakah yang tidak bisa diterangkan.Teringat saya kata-kata peribahasa ‘Ular tidak akan hilang bisanya jika menyusur pada akar”. Dimanakah hala tuju politik TSP jika keadaan ini tidak berubah..? Hanya beliau yang boleh menjawab persoalan ini.