Wednesday, March 6, 2013

Selepas tiga minggu bertolak ansur dengan pengganas Sulu dari selatan Filipina, pasukan keselamatan semalam melancarkan serangan besar-besaran menerusi Ops Daulat terhadap mereka yang berkubu di Kampung Tanduo, di sini semalam.

Serangan tiga peringkat bermula dengan pengeboman lokasi pengganas menggunakan tiga pesawat pejuang F-18D Hornet dan lima Hawk Mk-208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 10 minit bermula jam 7 pagi yang terbang dari pangkalan TUDM di Labuan.

Ia diikuti serangan menggunakan mortar 81mm sebelum menghantar anggota masuk untuk mengesan pengganas.


Serangan peringkat ketiga ialah operasi ‘menggeledah dan membersih’ yang disertai kira-kira 1,000 pegawai dan anggota 21 Grup Gerak Khas, pasukan atur cepat 10 Briged Para serta Komando VAT69 dengan bantuan kereta perisai APC Condor.


Operasi membabitkan zon penampan kawasan selamat seluas 10 kilometer (km) persegi dari lokasi sasaran serta zon operasi pengeboman seluas empat kilometer persegi.Bagaimanapun, sehingga jam 9 malam tadi, pasukan keselamatan belum mengumumkan bilangan pengganas yang terbunuh atau ditawan.


Namun, menurut sumber 20 hingga 30 mayat telah ditemui. Sambil menyifatkan Ops Daulat mencapai matlamat awal, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera atau terkorban dalam serangan itu.


"Operasi menggeledah dan memburu saki baki pengganas masih diteruskan. Saya yakin musuh masih berada di kawasan sasaran kerana polis dan tentera mendapat tentangan dalam bentuk tembakan yang dilepaskan kumpulan pengganas."Oleh itu, pergerakan pasukan keselamatan agak perlahan ketika ini (petang) kerana keutamaan adalah keselamatan anggota kita," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di sini, semalam.


Kira-kira 200 pengganas yang mendakwa Tentera Kesultanan Sulu mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu dan dikepung pihak keselamatan negara.


Pelbagai usaha kerajaan, termasuk berunding supaya mereka pulang secara sukarela menemui jalan buntu.


Malah, mereka bertindak ganas apabila membunuh dua anggota polis di kampung itu, Jumaat lalu, diikuti serangan hendap terhadap pasukan risikan polis di Kampung Simunul, Semporna, sehari kemudian dan membunuh enam lagi anggota.Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Ismail berkata, sejurus selepas serangan udara, tentera dan polis melancarkan serangan mortar kira-kira 10 minit untuk memudahkan pergerakan pasukan keselamatan memasuki zon operasi.


Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai operasi itu, khususnya mengenai jumlah kematian atau kecederaan kerana berita yang tidak tepat ini boleh menjejaskan operasi.


“Saya minta orang ramai tak perlu bimbang kerana operasi ini hanya dilancarkan di Kampung Tanduo... saya minta orang ramai tidak masuk ke zon operasi," katanya.Sementara itu, Zulkifeli berkata, serangan udara hanya dilancarkan selepas pihaknya pasti tiada orang awam di zon operasi berkenaan.


Ditanya senjata dan kelengkapan digunakan dalam operasi itu, beliau berkata:


"Oleh kerana operasi masih berterusan, sistem yang kami gunakan tak boleh dedahkan, tapi kita ada gunakan letupan tertentu untuk memastikan keselamatan pasukan terjamin sebelum masuk ke zon operasi"

Ketua pengganas yang membunuh tujuh anggota polis iaitu Raja Muda Raja Azzumudie telah terbunuh dalam serangan udara pagi tadi. Laporan mengenai kematian Azzimudie itu dinafikan media Filipina yang memetik kenyataan jurucakap kesultanan Sulu.

Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang semalam.

Lapan buah pesawat tentera Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiada anggota keselamatan yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif terhadap pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah awal hari ini."Alhamdulillah jelas tiada kecederaan langsung (di pihak anggota keselamatan).

*Pengecaman Lengkap masih dijalankan.

Angka Kematian Tentera Suluk :

“Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang" Malaysiakini

0 ulasan :