Sunday, December 20, 2009




Apabila Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengambil keputusan untuk mewujudkan AJK Penyelaras Perkasa untuk Negeri Sabah, maka perlancarannya telah disempurnakan oleh Mantan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden USBO, Datuk Salleh Tun Said pada 12 Disember yang lalu. Menyaksikan bahawa satu lagi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan bergerak memperjuangkan nasib dan hak pribumi di Negeri di Bawah Bayu ini. Meskipun sebelum ini PERKASA begitu sinonim dengan kelantangan dan kepetahan berpidato Presiden nya Dato Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan (BEBAS),namun nyata Pertubuhan ini begitu tegas membela maruah Orang Melayu dan Pribumi di Negara ini.


Bagi sesetengah ahli Politik, PERKASA dikatakan diwujudkan untuk tujuan provokasi kepada kerajaan supaya lebih berhati-hati menangani kes yang melibatkan kepentingan Pribumi yang sedia termaktub dalam perlembagaan Negara. Kerana itu apabila PERKASA melebarkan sayapnya di Sabah, ia bagaikan satu rahmat buat bumiputera dan Pribumi di negeri ini. Bagaimanakah PERKASA SABAH menangani permasalahan rakyat yang banyak pertentangan dengan ahli politik di negeri ini.? Bagaimanakah perjuangan ini boleh menjadi ‘penebus’ kepada kehampaan pribumi Sabah yang selama ini ditekan dan dipermainkan atas nama kepentingan politik golongan tertentu..? MUNGKIN MASA AWAL KERANA PERKASA DI SABAH BARU LAHIR BEBERAPA HARI


Selama ini, Pribumi yang bergelumang dengan pelbagai karenah birokrasi politik yang rakus terpaksa mengharapkan hujan rahmat dari ahli politik juga untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Biarpun adanya badan bebas seperti SPRM,SUHAKAM,CASH dan bermacam-macam lagi media alternative namun, badan Suruhanjaya ini tampak gagal menangani permasalahan itu.Misalnya kes pengambilan tanah yang diusahakan oleh penduduk (pribumi) bagi penanaman Kelapa sawit yang dikaitkan dengan Proksi Ketua Menteri Musa Aman, di sepanjang Pantai Timur sabah, dari Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan semporna telah gagal diselesaikan bairpun telah melibatkan badan bebas ini, termasuklah campurtangan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Afdal. Isu ini berlaku 5 tahun yang lepas dan hingga kini pribumi yang terlibat langsung tidak diberikan pampasan mahupun kebenaran mengambil hasil tanaman mereka.


Inilah antara contoh kes pribumi yang agak meruncing,di samping beberapa kes tuntutan tanah adat dan hak ke atas tanah yang digazetkan oleh kerajaan. Selebihnya adalah kes-kes besar yang melibatkan kebanjiran Pendatang Tanpa izin di sabah, tuntutan 20 perkara yang terkandung dalam perjanjian ketika Sabah merdeka melalui penyertaan ke dalam gagasan Malaysia. Isu ini memerlukan perhatian dari PERKASA agar hak dan kedaulatan Pribumi di Sabah tidak terus diperkotakkatikan selain daripada beberapa sentiment kesukuan yang melampau dalam arus politik negeri sehingga lahir istilah-istilah “racist” dan cauvenis yang melampau.


Bagi kes terpencil seperti yang berlaku di Kota Belud, umpamanya pengambilalihan tanah untuk projek Jalan raya Bypass Kudat-Kota Belud yang dikatakan belum diselesaikan dengan sesempurnanya, harus juga dipertimbangkan. Sesungguhnya bukan mudah bagi PERKASA melabuhkan layarnya di negeri yang mempunyai lebih 40 suku dan etnik yang tentunya mempunyai adat resam dan pandangan minda yang berbeza.


KOTA KINABALU 12 Dis. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap pihak tertentu yang sengaja melakukan provokasi berhubung perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan negara.


Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan provokasi dengan membangkitkan isu sensitif yang tidak harus dibincang atau dipersoal di peringkat umum boleh membahayakan negara.
Beliau berkata, tindakan mempertikai hak-hak kesultanan, bahasa Melayu, agama Islam dan pribumi adalah menyalahi undang-undang.


“Perkasa hari ini mendesak kerajaan supaya bertindak tegas sebab amaran demi amaran yang dibuat kerajaan nampaknya tidak diendahkan oleh mereka.
“Perbuatan ini perlu dihalang bagi menjamin kelangsungan demokrasi dan kehidupan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Peristiwa 13 Mei 1969 perlu dijadikan iktibar dan mereka harus ingat bahawa rakyat negara ini mahu hidup aman damai,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmi Seminar ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan Sekadar Retorik’? di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.
Seminar berkenaan dianjurkan Perkasa bersama dengan Pertubuhan Bajau Bersatu (USBO), Persatuan Sama Sabah (PSS) dan Persatuan Murut Sabah (PMS).


Kelmarin, Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya meminda perlembagaan bagi menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.
Ibrahim berkata, umum mengetahui perkara asas itu telah termaktub dalam perlembagaan negara, namun masih ada pihak yang cuba ‘bermain api’ dengan melakukan provokasi.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, sejak akhir-akhir ini, banyak perkara dibangkitkan termasuk isu pembinaan masjid yang begitu mengguris hati orang Islam.
Beliau juga mengesa masyarakat pribumi agar bersatu untuk menjaga dan mempertahan hak mereka daripada diganggu-gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

11 ulasan :

CT Farhana Wee said...

Apa lagi Datuk Seri, Perkasakanlah ekonomi rakyat tertindas kesan pembangunan ilhammu.

Unknown said...

salam Kelapa Mawar,

terima kasih kerana paparan tentang NGO yg saya ketuai di Sabah "Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau PERKASA".

Perkasa didaftarkan pada September 2008. Perkasa Kedah adalah cawangan pertama yg dilancarkan Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim pada Januari 2009.

Selepas itu WP, Negeri Sembilan, Sabah (12hb Disember) Sarawak (13hb Disember) kelmarin 19hb pelancaran di Perak, Pulau Pinang dan Perlis. Saya bermalam di Kangar.

Petang tadi rombongan ke Baling, Kedah. Dalam majlis ini saya diberi peluang berucap se belum Dato Ibrahim Ali kerana mereka ingin mendengar pengalaman politik org Sabah.

Perjumpaan di Baling mendapat sambutan hangat.

Perkasa sebenarnya hanya sebuah NGO yg memperkuatkan kedudukan politik pribumi di Malaysia. Perkasa tidak mengambil-alih peranan parti parti politik Melayu seperti UMNO sebaliknya Perkasa membantu peranan itu.

Penjelasan lanjut mengenai Perkasa adalah dalam blog Perkasa Sabah.

salam MIO

Unknown said...

sambungan..

hari sabtu bertolak dari KL jam 6am dengan rombongan Dato Ibrahim ali..jam 10 perasmian Perkasa Perak. Jam 4 perasmian Perkasa Pulau Pinang dan malam jam 9pm perasmian Perkasa Perlis.

Saya bermalam di Perlis. selepas itu bertolak semula ke Kedah. malam ini saya bermalam di SP Inn Sungai Petani dalam keadaan badan yang amat letih sekali.

salam perjuangan dari MO

watasikadi said...

salam KM,
apapun bakal berlaku dan sudah berlaku dalam kepimpinan PERKASA adalah perkara kedua, apa yang sangat penting ialah objektif PERKASA itu sendiri ditubuhkan ialah membela nasib pribumi. di sabah NGO seperti amat diperlukan.
Apa yang saya fikirkan ialah bagaimana PERKASA boleh membela nasib pribumi sabah amat penting untuk diperhalusi selain pengorbanan kepimpinan demi melaksanakan objektif PERKASA itu sendiri. Disini pengorbanan amatlah diperlukan termasuk menebal muka dan terpaksa menurunkan ego itu demi pribumi sabah kita ini. terlebih dahulu saya memohon ampun pada uncle musli kerana mungkin ulasan ini tidak kena dihati uncle pejuang bangsa kita ini. Dalam melangsungkan dan melancarkan perjalanan target sesebuah NGO itu, tidak dapat tidak ianya harus sejajar dengan seruan kerajaan. walaupun saya penyokong pembangkang namun dalam NGO apapun hubungan baik dengan kerajaan haruslah dijaga walaupun terpaksa kita menebal muka dan menjatuhkan airmuka kita jika kita pejuang anak bangsa kita. pengorbanan seperti ini harus ada dalam setiap kepimpinan PERKASA dan uncle Musli adalah diantaranya dan saya meminta barisan kepimpinan PERKASA harus belajar berkorban jika benar-benar mahu pribumi sabah terbela. TAKBIR!!

Unknown said...

salam untuk semua

PERKASA suatu nama yang berpaksikan perjuangan pendek kata perjuangan untuk semua. Saya selaku pemerhati parti politik dan juga Badan-badan NGO berpendirian lain daripada saudara-saudara semua. Mungkin pendapat dan pendirian saya ini kelak mendapat tentangan daripada semua termasuklah saudara MUSLI. Namun mohon diperhalusi ulasan saya terlebih dahulu.

Mungkin saudara-saudara di negeri dibawah bayu hanya melihat penubuhan PERKASA ini hanya bertujuan memperjuangkan hak dan kepentingan orang melayu dan pribumi, namun jika diselak dengan lembut sebenarnya tujuan utama penubuhan ini adalah untuk kepentingan peribadi didalam meneruskan survival politik mereka. lantaran itu, saya tidak terkejut apabila saudara MUSLI dengan lantang menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam PRU 13 nanti... PERKASA sebenarnya ibarat "KAPAL" yang bernahkodakan manusia yang berkepentingan. Harapan saya rakyat sabah amnya dan para blogger memikirkan perkara ini. Bukannya berfikiran negatif tetapi membawa saudara-saudara semua berfikir sejenak tentang realiti atau mungkin fantasi.


Salam Mesra

kelapa mawar said...

Salam Sdri Sitti..

Saya bersetuju juga dengan pandangan sdri..sudah tiba masanya Datuk Seri memperkasakan Ekonomi rakyat..jangan memperkasakan politik sahaja...Bila lagi Datuk seri?

kelapa mawar said...

Sdr Musli..

maklumat yg sdr paparkan amat berguna bagi blogger di KB..

apa yg diharapkan ialah sdr dapat memperjuangkan nasib pribumi di Sabah..lebarkan peranan PERKASA dalam semua aspek jangan dalam politik sahaja..

Selamat berjuangn juga buat sdr di perantauan.

kelapa mawar said...

Sdr Watasikadi..

makasih atas pandangan itu, dalam apa juga perjuangan pengorbanan adalan tuntutan dan kehendaknya..Dalam PERKASa membela permasalahan pribumi bukanlah satu cerita yang senang dan mudah bahkan memerlukan pengorbanan yg tinggi..

kita berharap agar perjuangan sdr Musli akan berpanjangan dan berkekalan.

kelapa mawar said...

Sdr Si Pengau..

jika seperti yg sdr katakanitu..kita berharap agar PERKASA tidak dipergunakan utk kepentingan politik dan kumpulan tertentu..kita akan memantau perkara ini..

makasih atas kunjungan sdr.

Pak Cik Amin said...

sdri KM..

PERKASA bukanlah peryubuhan yg berada ditengah-tengah perjuangan pribumi di negara ini, bahkan menyebelehi kerajaan..apakah jaminan bahawa setipalangkah penyeleseian akan lebih bersifat adil dan terhormat?

ramai ahli kepimpinan PERKASA adalah orang politik yg tidak mendapat tempat di parti UMNO dan Pembangkang..

Unknown said...

Masa untuk memperkasa ekonomi rakyat... sudah-sudahlah menindas rakyat tu!