Monday, April 1, 2013




PARTI Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) yang bertapak di Sabah pada 15 September 1989 sudah dibubarkan pada hari Ahad, 20 Mei 2001. Hayat parti itu hanya bertahan kira-kira selama 11 tahun, lapan bulan dan lima hari.Ahli-ahlinya memohon menyertai UMNO secara beramai-ramai. Malah buat pertama kali UMNO akan menerima kaum Cina menyertainya bagi memberi tempat kepada ahli parti yang dibubarkan itu.

Sebenarnya pada perhimpunan agung parti Presiden Akar, Datuk Pandikar Amin Mulia diberi mandat oleh perwakilan parti sama ada membubarkan parti itu atau membenarkannya kekal. presiden parti itu berkata politik adalah seni kepada segala kemungkinan. ``Kita perlu kaji semula perjuangan kita. Kita perlu tahu hala tuju kita,''

Pandikar Amin menerima tekanan bagi memutuskan nasib parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam keserasiannya dalam politik Sabah berikutan prestasinya yang kerap dipersoalkan. Sebelum ini pun beliau dilihat memihak untuk membubarkan parti itu. Sebagai ahli politik, beliau melontarkan kembali buah dadu kepada 36 anggota Majlis Tertinggi Akar untuk membuat keputusan muktamad.

Jelas kini pemimpin Akar dan telah dipersetujui oleh majoriti 30,000 ahlinya membubarkan parti mereka dan menyertai kapal yang lebih besar bersama UMNO untuk menghadapi gelombang dan ribut dalam politik Sabah.

Tindakan membubarkan parti oleh Akar dilihat mengambil pengajaran daripada parti USNO. USNO sebuah parti yang paling tua dan berpengaruh di Sabah akhirnya dibubarkan setelah tidak bermaya dan kebanyakan ahlinya juga menyertai UMNO yang masuk ke Negeri di Bawah Bayu pada 1991.

Mengimbau sejarah, penubuhan Akar telah dicetuskan oleh bekas pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS). Antara mereka termasuklah Kalakau Untol, Pandikar Amin, George Mikil, Hendry Wen Koting, John Sedomon, Rosley Asantie dan Raymond Boin Tombung. Datuk Mark Koding, orang di belakang tabir penubuhan parti itu menyertai Akar pada November 1989 semasa pertemuan di Kundasang dan kemudian dilantik sebagai presiden penaja parti, mengambil tempat Kalakau Untol. Pandikar Amin pula dilantik sebagai setiausaha agung penaja.

Sebelum penubuhan Akar, Mark Koding adalah Timbalan Presiden PBS merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pembangunan dan Perindustrian Negeri.

Kalakau Untol memegang jawatan Timbalan Menteri Buruh Persekutuan manakala Pandikar Amin pula dilantik sebagai senator dan memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Sejarah kemunculan Akar berkait rapat dengan pergolakan dalam PBS. Pergolakan itu berpunca daripada perbalahan peribadi pemimpin utamanya, iaitu Datuk Joseph Pairin Kitingan selaku Presiden PBS merangkap Ketua Menteri Sabah dengan Mark Koding.

Bibit perbalahan antara mereka berdua itu bermula sejak awal pemerintahan PBS. Parti pimpinan Pairin berjaya menewaskan parti pemerintah sebelumnya, Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dalam pilihan raya umum kelima Sabah pada April 1985. Punca sebenar perbalahan kedua-dua pemimpin itu tidak dapat dipastikan. Tetapi yang jelas, Mark Koding tidak puas hati dengan tindakan Pairin yang telah membelakangkannya dalam kebanyakan urusan penting kerajaan.

Persengketaan juga dikaitkan dengan isu lama iaitu identiti suku kaum Dusun -Kadazan. Golongan yang mahu mempertahankan Dusun sebagai identitinya telah bergabung di bawah Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA). Sementara satu lagi mahu dikenali sebagai Kadazan bergabung pula dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan (KCA). Jelas bahawa setiap pertubuhan mahu mempertahankan identiti masing-masing. Mark Koding (Dusun) dan Pairin (Kadazan) tegas dengan matlamat perjuangan pertubuhan mereka.

Kemuncak perbalahan ini ialah Pairin memecat Koding daripada jawatan kabinet pada 22 Ogos 1989 dengan alasan Koding dan beberapa orang ahli PBS tidak menyokong parti itu. Turut terlibat ialah Kalakau Untol dan Pandikar Amin. Ketiga-tiga mereka digantung keahliannya dalam parti. Ekoran itu mereka bertindak keluar daripada PBS. Selepas itu barulah wujud Akar.

Umumnya perjuangan Akar adalah untuk membela nasib rakyat Sabah. Parti itu mahu menyelamatkan Sabah daripada rasuah, pilih kasih dan kepentingan diri para pemimpin yang tidak jujur. Matlamat itu hanya boleh dicapai menerusi kuasa politik melalui pilihan raya umum.

Akar menghadapi ujian pertama dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Ranau berikutan peletakan jawatan wakilnya, Mark Koding. Bagaimanapun calon Akar, Mark Koding sendiri gagal mengekalkan kerusinya setelah tewas kepada calon PBS. Koding hanya memperoleh 40 peratus sahaja undi.

Prestasi Akar pada pilihan raya negeri 1990 mengecewakan. Ia hanya mendapat empat peratus sahaja daripada undi keseluruhan. Kesemua 37 calonnya termasuk Mark Koding, Pandikar Amin dan Kalakau tewas. Begitu juga prestasi bagi kerusi Parlimen pada tahun yang sama, apabila Akar gagal menunjukkan sebarang impak.

Pada pilihan raya negeri 1994, parti itu hanya mampu memenangi satu kerusi daripada tujuh kerusi yang diberi oleh pemimpin BN untuk ditandinginya.

Sejak 11 tahun kewujudannya, Akar hanya pernah menang satu kerusi DUN iaitu Tempasuk pada pilihan raya negeri 1994. Pandikar Amin yang menang di Tempasuk kemudian dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri.

Beliau tidak bertanding di Tempasuk pada pilihan raya negeri 1999 kerana memberi laluan kepada calon UMNO. Pemerhati melihat pengorbanan Pandikar Amin itu kemudian dibalas dengan beliau dilantik sebagai senator untuk membuka tempat dalam Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Adat dalam kepimpinan mana-mana parti pasti ada peralihan kepimpinan. Akar memperlihatkan perubahan pertama dalam kepimpinannya sewaktu mesyuarat agungnya pada 1992. Pandikar Amin dipilih sebagai timbalan presiden dan Ronald Kiandee dan Datuk Filino Hee masing-masing dilantik sebagai setiausaha agung dan bendahari agung. Kalakau digantung keahliannya pada awal tahun 1992. Beliau akhirnya meninggalkan parti untuk menyertai Parti Demokratik Sabah (PDS).

Selepas kerajaan PBS tumbang pada 1994, beberapa ahli PBS menyertai Akar. Antara mereka termasuk pemimpin seperti Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Kadoh Agundong, Datuk Monggoh Orow, George Sangkin, Datuk Markus Majihi, Piting Ali, Jahid Jahim dan Martin Idang. Bagaimanapun banyak yang kembali melompat ke parti lain dan meninggalkan Agundong, Majihi dan Sangkin.

Pada 1 November 1997, Presiden Akar, Mark Koding melepaskan semua jawatannya dalam parti dan memberi laluan kepada Pandikar Amin menjadi presiden ketiga Akar.

Pandikar Amin dilihat membuat perubahan besar dalam barisan majlis tertinggi partinya. Beliau juga mengubah bendera, logo dan nama parti daripada Akar Bersatu kepada Akar.

Dalam catatan sejarah, selepas USNO, Akar merupakan anggota komponen BN Sabah yang paling lama. Akar diterima masuk ke dalam BN Sabah pada 1991. Pada Mei 1998, parti itu dikatakan mempunyai 60,000 ahli yang mewakili 862 cawangan daripada 37 bahagian yang aktif di seluruh Sabah. Tetapi kini ketidak tentuan masa depan politik parti itu, sewaktu dibubarkan kelmarin, ahli Akar tinggal 30,000 orang.

Akar tidak mempunyai perwakilan yang dilantik sama ada di negeri atau Parlimen malah persaingan mencari penyokong menyebabkan ia hilang arah tuju. Ini diperlihatkan apabila beberapa pemimpin kuatnya meninggalkan parti itu. Misalnya Timbalan Presiden, Datuk George Sangkin meninggalkan Akar untuk menyertai Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), sebuah lagi anggota BN.

Idea pembubaran Akar pernah dicadang pada tahun 1995. Parti itu digesa bergabung dengan dua parti komponen BN Sabah lain yang majoriti ahlinya adalah kaum Kadazandusun bagi membentuk sebuah parti baru. Ini berikutan semua calon Akar dan dua lagi parti terbabit iaitu PDS ketika itu pimpinan Bernard Dompok dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), pimpinan Datuk Joseph Kurop tewas dalam pilihan raya negeri. Tetapi Akar menolak penggabungan itu.

Pembubaran Akar, tidak ada kena mengena dengan tawar-menawar dalam politik. Apa yang penting ialah keutuhan parti. Pada peringkat ini, nampaknya pembubaran Akar mewarnai politik Sabah yang terkenal dengan keunikan dan ketidaktentuannya.

0 ulasan :