By: Musli Oli
Datuk Seri Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 4hb March 2003, mengambil-alih dari Tan Sri Chong Kah Kiat yang mewakili kaum Cina setelah tempohnya selama 2 tahun tamat mengikut sistem penggiliran ketua Menteri Sabah yang diperkenalkan BN pada 1994.
Semasa menjadi Ketua Menteri Sabah, Chong Kah Kiat adalah pelobi utama dan penyokong kuat Musa Aman untuk dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baru. Presiden LDP itu beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir meyakinkan PM bahawa Musa adalah calon yang paling layak menggantikan Datuk Osu Sukam.
Pada ketika itu kegiatan melobi jawatan pengerusi perhubungan begitu sengit. Terdapat satu kumpulan yang diketuai Datuk Karim Ghani, Ketua Penerangan UMNO ketika itu menemui Tun Mahathir dengan memorandum yang ditandatangani 16 daripada 25 ketua UMNO Sabah meminta bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik semula sebagai Pengerusi UMNO Sabah.
Saya masih ingat peristiwa yang berlaku awal tahun 2001, di Nexus Karambunai Resort, dalam satu majlis yang dihadiri Tun Mahathir, Datuk Rizalman Abdullah dan Datuk Sairin Karno dan beberapa orang lagi melobi dan meminta tandatangan daripada ketua-ketua bahagian UMNO untuk menyokong Salleh Said.
Chong Kah Kiat adalah seorang yang komited bila menyokong seseorang. Beliau telah melantik Musa kejawatan terkanan dalam kabinet sebagai Menteri Kewangan sebaik saja menjadi KM Sabah menggantikan Osu Sukam. Manakala Salleh dilantik sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Perlantikan Musa memperkuatkan lagi kedudukannya. Akhirnya Musa dipilih sebagai Pengerusi Perhubungan Sabah yang baru pada September 2001.
Setelah dilantik sebagai Ketua Menteri, Musa melantik Chong Kah Kiat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah. Manakala Salleh Said digugurkan daripada senarai calon DUN Sabah pada pilihan raya 2004. Salleh bertanding untuk kawasan parlimen Kota Belud selama satu penggal sahaja. Pada pilihan raya tahun 2008, Musa menggugurkan nama Salleh dan memilih Dato Rahman Dahlan sebagai calon parlimen Kota Belud.
Musa Aman adalah pemimpin politik yang amat bertuah dalam sejarah BN Sabah. KM sebelumnya, Tun Sakaran (8 bulan), Salleh Said (18 bulan), Yong Teck Lee (24 bulan), Tan Sri Bernard Dompok (8 bulan), Osu Sukam (24 bulan) dan Chong Kah Kiat (24 bulan).
Jika ditinjau semula, orang yang sebenarnya membawa tuah kepada Musa Aman ialah Tan Sri Chong Kah Kiat. Selain memberi sokongan peribadi yang padu kepada Musa Aman, Chong Kah Kiat sebagai Pengerusi BN Sabah telah membuat kerja-kerja politik yang memudahkan tugas Musa Aman setelah beliau menggantikannya.
Kejayaan terbesar Chong Kah Kiat ialah kejayaannya memujuk parti pembangkang, PBS untuk menyertai semula BN. Pada 15 Nov 2001, atas usaha Chong Kah Kiat, Majlis Tertinggi PBS yang diketuai Tan Sri Pairin menyerahkan permohonan masuk BN kepada Tun Mahathir. Pada 23 Januari 2002, secara rasminya PBS telah diterima sebagai anggota BN Sabah.
Dengan kemasukan semula PBS, Musa yang menjadi KM Sabah tidak lagi menghadapi cabaran politik. Cabaran Musa hanya untuk memperkuatkan kedudukan politiknya. Dan tuah terus menyebelahi Musa setelah berlaku perubahan kepimpinan di peringkat Pusat, Datuk Seri Abdullah Badawi menggantikan Tun Mahathir.
Dasar Penggiliran KM Sabah dimansuhkan atas dua alasan. Pertama, parti pembangkang tidak ujud di Sabah. Kedua, dasar itu adalah janji peribadi Tun Dr Mahathir dan bukannya dasar BN yang kekal. Sekali lagi TUAH memihak kepada Datuk Musa Aman.
Seperti di Sarawak, the mother of all issues di Sabah ialah Ketua Menteri, Datuk Musa Aman. Musa bakal mencipta sejarah kerana belum pernah ada KM Sabah melebihi 2 penggal.
Tun Mustapha(1967-1975 berundur sebelum PRU 1976), Tan Sri Harris Salleh (1976-1985, kalah pada penggal kedua), Tan Sri Pairin (1985-1994 letak jawatan selepas ADUN melompat).
Menurut Tun Dr Mahahtir dalam bukunya “A Doctor In The House” Ketua Menteri Sabah ada kecenderungan bertindak seperti pemerintah diktator setelah memasuki penggal kedua pemerintahannya.
Adakah Musa lebih baik dari Tun Mustapha, Harris dan Pairin?
Di Sabah, penganalisis berpendapat, 6 kerusi parlimen tidak selamat kepada BN ialah 5 kerusi bandar: (i) Kota Kinabalu (DAP), (ii) Sandakan (LDP), (iii) Tawau (SAPP), (iv) Sepanggar (SAPP) dan (v) Penampang (UPKO). Satu kerusi kawasan Pedalaman, Pensiangan (PBRS).
DUN Sabah masih boleh dipertahankan dengan kemenangan dua pertiga walaupun banyak isu tertangguh yang belum ditangani. Kebimbangan ialah pengundi akan mengundi BN diperingkat DUN tapi memangkah pembangkang diperingkat parlimen.
Cakap-cakap sedang bertiup kencang di Sabah berikutan janji PR memberi kuasa autonomi dan menambah royalti minyak kepada 20%. Perubahan ini hanya boleh dilakukan jika ada perubahan kerajaan di peringkat Pusat !
UMNO masuk Sabah pada 21 February 1991 dengan satu matlamat – mempertahankan kerusi BN setelah PBS menyertai APU.
Untuk memenangi hati rakyat Sabah yang berbilang kaum terutama kaum-kaum yang berebut jawatan KM Sabah, Tun Dr Mahathir memperkenalkan Dasar Penggiliran Ketua Menteri Sabah menjelang pilihan raya 1994.
Sepanjang system penggiliran, 6 Ketua Menteri Sabah dalam tempuh 9 tahun. Tun Sakaran (8 bulan 1994-1995), Datuk Salleh ( 18 bulan), Yong Teck Lee (2 tahun), Tan Sri Dompok (8 bulan 1999), Datuk Osu (2 tahun 1999-2001) dan Tan Sri Chong Kah Kiat (2 tahun 2001-2003).
Dr Mahathir kata, ‘Rotations system create lame duck chief minister’. Tapi macamana cara nak mansuhkan system gila ini?
Pada tahun 2000 saya mengetuai satu NGO menganjurkan satu seminar mengenai Dasar Penggiliran Ketua Menteri Sabah di Wisma Muis, KK Sabah. Resolusi menolak dasar itu, secara peribadi saya serahkan kepada PM semasa majlis berbuka puasa di PWTC.
Pada tahun berikutnya, 2001, saya dan tiga orang rakyat Sabah memohon injuksi menghalang perlantikan Tan Sri Chong Kah Kiat kerana perlantikan itu bercanggah dengan Sabah State Constitution (Perkara 6(1)
Permohonan ditolak Hakim Mahkamah atas alasan kami tiada locus standi, sungguhpun begitu tindakan saya telah memberi kesedaran kepada rakyat Sabah tentang kegagalan dan masalah yang timbul akibat system penggiliran tersebut.
Ironisnya, orang yang berusaha memansuhkan system itu ialah pemimpin yang menjadi KM Sabah kerana ujudnya system penggiliran tersebut: Tan Sri Chong Kah Kiat.
Semasa menjadi KM Sabah, Chong Kah Kiat memujuk Presiden PBS kembali ke pangkuan BN. Pada Januari 2002, PBS secara rasmi diterima semula sebagai anggota BN.
Secara kebetulan berlaku peralihan kuasa dan kepimpinan di peringkat Pusat beberapa bulan selepas Musa Aman dilantik menggantikan Chong Kah Kiat pada Mac 2003. Tun Mahahthir, pemimpin yang mengilhamkan dasar penggiliran telah bersara dan digantikan Tun Abdullah Badawi.
Hubungan baik Pak Lah dengan Musa Aman yang telah lama terjalin, juga penyumbang kepada keputusan Pak Lah memansuhkan dasar itu dengan segera.
PBS dan parti-parti komponen menyokong keputusan Pak Lah memansuhkan dasar penggiliran Ketua Menteri Sabah. Jawatan Musa Aman tidak akan digilirkan selepas tempuh yang sepatutnya berakhir pada 7 Mac 2005.
Dengan ketiadaan system penggiliran dan kemasukan semula PBS serta harapan kepada pemimpin baru, Pak Lah dan Musa Aman, BN Sabah menang dengan mudah pada PRU 2004.
Pada PRU 2008, keadaan agak berlainan. Musa Aman, yang melihat tiada cabaran kuat dari parti pembangkang telah memperkuat kedudukan politiknya dengan menggugrkan pemimpin-pemimpin berpengaruh UMNO.
Antara yang digugurkan termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said, Tan Sri Pandikar Amin dan Datuk (Datu) Amir Kahar Tun Mustapha.
0 ulasan :
Post a Comment