Ketika penyokong-penyokong tegar UMNO dan BN sibuk membisikkan tentang perihal PAS 'bakal' menggugurkan DSAI dari kerusi pembangkang dan berhasrat 'memperdaya' KU LI untuk menduduki kerusi itu, UMNO lupa bahawa dalam parti teras BN itu juga sudah ada gerakan untuk mendesak Najib berundur selepas PRU 13 nanti. Inilah yang telah didedahkan oleh Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali. Menurut Mustafa sudah terdapat satu gelombang gerakan yang serius dalam UMNO untuk mendesak Najib dan Rosmah berundur kerana kedua-dua mereka dilabel sebagai 'liabiliti' kepada UMNO.
Meminta pemimpin untuk berundur, bukanlah perkara baru dalam UMNO, kerana sebelum ini sewaktu era pemerintah Pak Lah dan selepas tragedi 2008, Gerakan seperti yang didakwa oleh Mustafa itu memang berlaku. Antara yang begitu lantang mengkritik dan meminta Pak Lah berundur ialah Mantan PM Tun Mahathir ketika itu yang kemudiannya disambut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Akhirnya tidak tahan dengan desakan demi desakan Pak Lah melepaskan Jawatan PM dan menyerahkannya kepada timbalannya, iaitu Najib pada waktu itu. Peralihan kuasa berjalan dengan baik dan UMNO mendapat suntikan semangat baru apabila Najib mengambilalih tampuk pemerintahan.
Bukan sahaja UMNO mengalami perubahan dan transformasi seperti mengubah dan menghapuskan beberapa fasal perlembangaannya terutama yang berkaitan dengan kouta pemilihan dalam parti, KERAJAAN juga diperkenalkan dengan konsep NKRA dan KPI. Perubahan yang dilakukan oleh Najib dalam ekonomi juga tampak lebih baik dari era Pak Lah. Namun begitu yang mengusarkan banyak pihak dalam UMNO ialah peranan Datin Rosmah Mansor dalam percaturan dan pertimbangan politik Najib. Belanjawan lepas yang diumumkan oleh Najib bukan sahaja memperuntukkan jutaan ringgit untuk Program Rosmah iaitu PERMATA, tetapi juga program lawatan Rosmah di beberapa negara Eropah dan Mesir turut dipersoalkan. Kerana itu barangkali dalam UMNO Gerakan meminta Najib berundur itu mula meletus.
Jika benar seperti yang didedahkan oleh Mustafa itu menjadi kenyataan, maka Malaysia akan sekali lagi menerima PM yang baru. Siapalah yang bakal menggantikan Najib? Dan adakah Najib akan rela melepaskan jawatanya seperti Pak Lah? Atau apakah tindakan Najib untuk mengatasi gerakan itu? Masih terlalu samar kerana politik itu penuh dengan kesamaran.
0 ulasan :
Post a Comment