Sunday, May 6, 2012


Berita yang disiarkan oleh Utusan Borneo ini amat memeranjatkan. Gara-gara pemberhentian guru sandaran di Sabah, sebuah sekolah di Kinabatangan terpaksa ditutup kerana ketiadaan guru. Siapa yang rugi?

KINABATANGAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Inarat yang terletak di pedalaman negeri Sabah telah ditutup hampir dua minggu ekoran ketiadaan guru di sekolah berkenaan.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin meminta Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Sabah supaya melihat pelantikan guru-guru yang berasal dari Kampung Inarat itu sendiri untuk berkhidmat.


“Kampung ini memang terpencil dan sekiranya menggunakan kenderaan melalui jalan darat, mengambil masa tujuh hingga lapan jam perjalanan untuk sampai ke sana,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah terbabit.


Beliau menambah kalau hujan sudah tentu kawasan itu sukar dilalui dan guru-guru tidak dapat sampai dan ekoran daripada ini SK Inarat telah ditutup hampir dua minggu.


“Guru-guru yang berkhidmat di kawasan itu sukar untuk sampai ke sana ekoran keadaan jalan yang teruk,” katanya.


Beliau yang turut melahirkan rasa kesal ekoran terdapat dua orang guru tempatan yang berkhidmat di situ telah diberhentikan perkhidmatannya kerana mereka ini adaalah guru sandaran.


“Ini telah mengakibatkan murid-murid di sekolah itu tidak dapat bersekolah dan sekolah terpaksa ditutup,” katanya.


Bung Moktar menjelaskan ini telah menafikan dasar Kementerian Pelajaran itu sendiri yang mana pihak kementerian telah memilih guru-guru dari luar yang kadang-kadang sukar untuk berkhidmat di situ.


“Kementerian perlu selesaikan masalah ini dengan segera kerana kita tidak mahu anak-anak di Kampung Inarat itu tidak dapat bersekolah dan tertinggal dari pelajaran mereka yang sepatutnya,” katanya.


Sementara dari itu dalam lawatan ke sebuah sekolah lagi, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata, demikian juga SK Balat yang mana sekolah itu masih melaksanakan pembelajaran mereka di bawah bangunan sekolah berkenaan.


“Ini dilihat adalah tidak amat sesuai dan pihak berwajib perlu melihat permasalahan yang dihadapi oleh sekolah ini untuk diselesaikan,” katanya.


Beliau berkata satu lagi masalah di SK Balat ini di mana sistem solar yang terdapat di sini tidak berfungsi sejak dipasang lima tahun lalu.


“Saya amat kesal dan ini amat menyukarkan pihak sekolah serta murid-murid yang mengharapkan sistem solar itu dapat dimanfaatkan tetapi tidak pernah beroperasi sejak dipasang,” katanya.


Beliau menegaskan sekiranya pihak kementerian tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan, lebih baik ia mencadangkan agar sistem solar yang ada itu ditutup kerana tidak berfungsi.


“Tiada satu manfaat yang diperolehi oleh pihak sekolah dan murid-murid di sini kerana tiada sebarang sumbangan selepas pembinaan projek solar berkenaan,” katanya. (Utusan Borneo)

7 ulasan :

Kris Jr said...

GSTT mungkin boleh membantu dalam hal tu. Pembehentian GSTT hanya merugikan.

Kris Jr said...

Pengambil guru2 tempatan boleh megatasi masalah seperti kekurangan guru.

mantera said...

guru sandaran penting dalam membantu selesaikan masalah kekurangan guru.

Anonymous said...

Masalahnya, kenapa berhentikan guru sandaran tersebut bila bilangan guru sendiri kurang sehinggakan sekolah tersebut terpaksa ditutup? Adakah yang beri arahan itu tidak peka dengan keadaan semasa?

Anonymous said...

Peranan guru sandaran sebaik-baiknya jangan dipandang remeh kerana di antara mereka ada yang lebih sesuai dijadikan guru tetap berbanding mereka yang sudah pegang jawatan tetap tetapi hasil kerja tidak seberapa.

hafinA A said...

Cadangan memberikan keutamaan kepada penduduk tempatan sendiri adalah yang terbaik bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan.

Sotong Kurita said...

malang sungguh bagi sekolah pedalaman yang tidak mendapat perhatian dari pihak yang berkenaan sehingga terpaksa ditutup.. masalah ini sepatutnya telah dikesan awal, dan sudah ada langkah2 penyelesaian diambil..