WARKAH TAHUN BARU BUAT PEMIMPIN KOTA BELUD..
Yang Berhormat Datuk-Datuk Dan Tan Sri,
Pertama sekali izinkan Kelapa Mawar memohon ribuaan kemaafan atas warkah terbuka yang saya dedikasikan buat Datuk-Datuk Dan Tan Sri yang budiman sebagai mewakili puluhan ribu suara rakyat yang jauh di bawah sana, yang masih terkedu, masih terharu, masih berlagu dengan lagu derita yang perlukan pembelaan berterusan dari Datuk-Datuk Sekalian. Kami rakyat di serta ceruk kampung masih berada di pondok usang yang terbiar. Longgarkanlah lutut-lutut Datuk-Datuk sekalian menjenguk kami di hujung persempadanan daerah jajahan Kota Belud dan Kota Marudu, dipersempadanan daerah Kota Belud dan Ranau, di pinggir Bandar Kota Belud dengan Tuaran. Lihatlah keadaan kami, kalau perlu pembelaan dari Datuk-Datuk sekalian, bantulah janganlah kami digula-gulakan dengan janji yang kapan bila terlaksana.
Yang Berhormat Datuk-Datuk Dan Tan Sri,
Tidak ada apa yang dapat kami berikan sebagai imbalan buat Datuk Sekalian, kerana sudah menjadi dasar kerajaan, kami rakyat hanya dapat membantu 5 tahun sekali, itupun hanya berbekalkan sebatang pensel dengan memangkah dua garisan bersilang. Sekadar itu. Kalaupun kami bergotong-royong mengumpul hasil tanaman buat ‘buah tangan’ kepada Datuk-Datuk untuk di bawa pulang, apalah sangat, kerana Orang Gaji Datuk tak cukup tangan dan kaki ke pasar membawa bekalan makanan buat santapan datuk dan keluarga. Jikapun kami bersengkang mata dilaut dalam menangkap ikan segar berupa ikan Kayu, Ikan Tamban, Ikan Tenggiri buat pemberian kepada Datuk untuk dijamah, apalah sangat jika dibanding dengan daging Payau, seladang, lembu dan ayam yang Datuk hampir mual menjamah hampir setiap malam. Kalaupun kami, mengumpul hasil padi untuk dijadikan hidangan malam, apalah sangat kerana padi kami tidak seharum padi Malinja,Beras Bario, apatah lagi beras Taj mahal yang dikatakan kurang kolestrol buat kesihatan Datuk-Datuk sekalian.
Yang Berhormat Datuk..
Hidup kami berubah agak perlahan, keperluan asas kami begitu mendesak, terutama jalan raya buat perhubungan membeli barang keperluan di pekan Kota Belud,kepayahan ini tidak seperti Datuk-Datuk dalam pejabat yang berhawa dingin…kaki kami lenguh berjalan atas batu kelikir atas salut lumpur tanah merah, tangan kami kebas mengangkat beban buat penyambung kehidupan yang lepas.
Buat Datuk Rahman,
Janganlah impikan pembangunan mengunung langit buat Kota Belud, merancang koridor rakyat yang berjuta ringgit. Pelabuhan, pembangunan gas dan kemudahan sukan. Hanya kotakanlah janji dan tekad Datuk, selesaikan bekalan air bersih yang kami minum saban hari. Masyarakat kami di kg. Kesapang masih minum air berlumpur berwarna kecoklatan. Sudah hampir 50 tahun kami mengalami keadaan yang sama..malahan lebih kerana hanya ‘hak’ sekecil kami gunakan 5 tahun sekali. Masih banyak lagi kampung-kampun kami yang jalanrayanya teruk. Kg, Dudar, Sarang, Pandasan dan hampir ke ulu kukut, kami hanya merasa dingin embun pagi di perbukitan. Jenguk-jenguklah kami Datuk!.
Buat Datuk Musbah,
Projek Jelapang Padi sudah di mula..bangga kami atas bangga dengan kesudahannya. Namun janganlah alpa Datuk dengan keperluan yang lain. Jalan raya ke kampung kami, bekalan air bersih, juga elektrik. Tak ada gunanya datuk puluhan juta projek jelapang padi, tapi kampung kami masih ditakuk lama. Bekalan air Di DUN Tempasuk di kawasan Datuk juga teruk dan beracun. Datuk jenguklah ketika lapang di kampung Tamau dan Pintasan, Datuk lawatlah kami sekerap mungkin..
Buat Datuk Salleh Tun said..
Datuk,
Sudah-sudahlah memikir yang bukan-bukan, fikir di mana Datuk diletakkan, sudah kami berikan kemenangan buat Datuk selaku ketua bahagian, kenapa datuk masih cuba melupakan itu. Datuk Jalan raya Byass yang Datuk Ilhamkan telah menimbulkan kebencian yang mendalam kepada rakyat yang tidak terpeduli. Ramai yang masih belum mendapatkan pampasan atas tanah yang diambil untuk dibuat Jalan. Datuk harus gentleman menghadapinya. Turunlah seketika dari kasta politikmu datuk, temui mereka, dengar keluhan dan harapan mereka, kerana ‘hak’ yang ada pada mereka mungkin tidak akan diberikan kepada Datuk buat penyambung hidup politik Datuk di masa hadapan.
Buat Datuk Japlin..
Peluang telahpun kami berikan..Datuk dari seorang biasa kini bergelar “Datuk” oleh rakyat di Usukan. Selesaikanlah pelbagai kemelut sebelum kami ditinggalkan. Jalan raya menuju ke Kg Pantai Emas masih berhabuk waktu kemarau, masih berlumpur tatkala musim tengkujuh. Bekalan air juga elektrik masih seperti dulu. Berbaktilah kepada rakyat kerana rakyat adalah Datuk dan Datuk asalanya adalah rakyat biasa.
Tan Sri Pandikar Amin..
Suku Iranun sering mendambakan akan lahir pemimpin seperti Tan Sri..kata mereka kerana darah yang mengalir dalam tubuh Tan Sri adalah darah pahlawan berani,pantang berundur di medan tempur. Tapi kata mereka janganlah pula anak mereka menjadi seperti Tan Sri yang sering melupakan keperitan bangsanya. Ramai yang masih derita, biarpun Tan Sri sudah bertimbun aset di masa depan. Janganlah ditagih lagi janji kami pada Tan Sri kerana rasanya sudah cukup kami ikut sama merasa ngeri. Cukup-cukuplah Tan Sri..andai kami mahukan lebih dari apa yang ada, kami sudah tidak berdaya..restuilah niat kami, mahukan lebih baik dari Tan Sri.
Salam hormat
Kelapa Mawar.
16 ulasan :
salam KM..
Surat-surat sebegini sudah banyak kali dihantar kepada pemimpin...namun agak mendukacitakan kita jika ia tidak diambil perhatian kerana mungkin mereka menganggap sebagai sampah sahaja.
Alangkah baiknya jika dialog boleh dibuat..suapaya sdri dapat menyampaikannya dengan lebih terbuka..
apapun saya begitu terharu membaca surat sdri ini..mudah-mudahan akan mencapai matlamatnya.
KM,
Surat terbuka anda telah diterima dan dibaca. Walaupun ada beberapa perkara yang saya tidak berapa setuju dengan isi kandungan surat tersebut, tetapi saya memahami hasrat yang tersurat dan tersirat yang ingin disampaikan kepada kami.
Terima kasih atas peringatan dan salam tahun baru.
Salam, DARD
p/s: bercakap pasal tahun baru, bila lagi nak tukar lagu back ground blog anda?.. rasanya sempena tahun baru ini, elok ada lagu baru supaya ada perkembangan terbaru.
Salam perjuangan 2010 adindaku Kelapa Mawar... moga apa yang kita coretkan pada 2009 dilaksanakan dalam tahun 2010 dengan syarat ia menguntungkan rakyat... mendaulatkan ummah
Salam adinda Kelapa Mawar,
Ingin saya nyatakan di sini Roslan M yang membuat komen dalam blog saudari selama ini bukanlah saya(ROSLAN HAJI MANSHOR. Mungkin beliu menggunakan nama samaran yang serupa. Apapun apa sahaja pendapat yang beliau utarakan adalah pendapat individu berkenaan dan saya tidak terlibat secara langsung.
Wasalam Daripada Roslan Haji Manshor
Salam KM
Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik.Adalah diharapkan warkah seperti ini menjadi satu peringatan bahawa peringatan itu penting untuk mereka yang perlu beringat.
SALAM KM..
Surat yang dipaparkan ini memperlihatkan citarasa orang muda di KB yang inginkan pembaharuan dan pembelaan dalam soal keperluan asas kehidupan mereka. tahniah! teruskan. Semoga ia menjadi peringatan kepada mereka yang mahu mengingatinya.
salam km,
posting kali ini merupakan surat kepada yb2.setuju dengan bulan mengambang, penilaian yang adil bukanlah mudah..walaubagaimana kita cuba mengadilkan sesuatu pasti kita sedikit bias pada p;ilihan hati kita yang kadangkala benar dan kadangkala salah.seperti politik, kita pasti menyokong sesebuah parti dan sesebuah kumpulan dalam sesebuah parti itu..biginilah manusia..semoga di tahun baru ini anak muda kota belud mendapat lebih banyak manfaat berbanding penghinaan..salam..
Salam....
UNTUK KESEKIAN KALINYA CUBA KUKATAKAN
Keterbukaan menjana minda telah hapus oleh tangan2 pecah dan perintah
Kata2 ingin melahirkan modal insan kelas pertama lenyap tanpa hujah
Soal rasa ingin berjuang untuk bangsa telah tiada
Bersaing untuk menjadi no.1 sangat mudah tercipta
Apakah benar wadah kita adalah bangsa?
Naik setinggi kinabalu lupa tanam padi huma
KB sangat jauh merana
Prasarana daif masih berguna
YB2 berbicara banyak berbunga(bak pokok semalu)
Katanya anak muda pelapis kita(bukan pewaris/serah tugas kah?)
Anak muda masih di kampung tanam padi huma cari ikan haruan di sawah
Nah...bukan siapa berubah atau yang mengubah
Berjaya untuk diri sendiri bukan bermakna ada perubahan
Kejayaan membawa nama bangsa itulah kejayaan sebenar.
Anak2 muda KB
Ingat kita sangat jauh kebelakang(mundurlah ba itu)
YB2 banyak mencanang idea2 kebangkitan(dari tahun 1994-2008)
Apa sudah jadi bah..........?
Apakah benar kita sudah merdeka?,
diberi cuti sehari sepi berabad lama
Benarkah kita?,
bersuara tanpa bunyi...
sengaja berhujah
salam sdr Roslan M.
ma kasih atas pandangan dan saranan sdr dalam hal ini.Semoga di tahun baru daerah KB akan lebih membangun dari sebelumnya.
salam buat YB Datuk ahli parlimen..
ma kasih kerana turut memberi response katas surat ini. Saya amat menghargainya..lebih-lebih lagi apabila datuk menyatakan bahawa isinya Datuk telah fahami...semoga Datuk menjadi pemimpin pilihan ramai..
Salam tahun baru juga buat Datuk dan sekeluarga.
Salam kekandaku..Azrone..
selamat berjuang juga buat kekandaku..semoga tahun baru ini menjanjikan kemenangan dan kejayaan yang hakiki.
salam buat Anak Kota Belud..kekandaku Roslan Hj. Manshor..
Ma kasih atas penerangan sdr mengenai kekeliruan ini. semoga pengunjung blog KM ini memahaminya. Semoga sdr sukses.
salam bulanmengambang..
ma kasih atas perhatian dan pandangan sdr itu.selamat tahun baru 2010.
salam pak cik Amin..
ma kasih atas pandangan itu.
salam watasikadi..
semoga tahun baru ini anak Kb akan menjanjikan kebahgian dan kegemilangan yang dapat dicapai bersama.
Semoga sdr terus sukses.
salam sdr Anri..
ma kasih atas kunjungan ini saya berfikir panjnag mengenai hujah sdr yg penuh perlambangan itu.
Post a Comment