Sunday, February 28, 2010

politik dihodohkan oleh tangan-tangan yang opportunist

Kalau dulu ‘heboh’ dengan gelagat wakil-wakil rakyat yang ‘lompat’ parti sehingga ada gelaran “YB Katak”. Kini lain pula isunya, Wakil rakyat atau YB bertindak keluar parti menjadi Wakil Rakyat atau YB BEBAS. Walaupun ada yang masih dalam parti yang diwakilinya seperti MP SAPP yang bertindak menjadi ‘BEBAS” tetapi masih ahli SAPP ,lantaran kerana SAPP keluar daripada BN.



Ada juga calon BEBAS yang menggunakan logo parti lain, misalnya Ibrahim Ali MP Kota Bahru adalah calon BEBAS tetapi menggunakan logo PAS ketika bertanding dalam PRU. Beberapa ahli politik PR juga bertindak keluar dari parti mereka dan menjadi YB BEBAS. Di Perak, keputusan 3 YB Pakatan Rakyat bertindak meninggalkan barisan Pembangkang dan menjadi wakil Rakyat BEBAS tetapi menyatakan sokongan kepada BN telah menyebabkan kerajaan pilihan rakyat di Perak telah tumbang. Demam PKR pula apabila beberapa wakil rakyatnya seperti MP Bayan Baru dan MP Nibong Tebal juga bertindak keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat BEBAS.



Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah kenapa fenomena politik ini berlaku ? Sejauhmana berkesannya Wakil Rakyat BEBAS membela nasib rakyat di kawasan yang diwakili mereka. Sedangkan mandate yang diberikan oleh rakyat ialah menyokong mereka berdasarkan parti yang diwakili. Setakat ini belum ada wakil rakyat BN yang bertindak keluar parti untuk menjadi wakil rakyat BEBAS, terkecuali SAPP.



Ada beberapa andaian yang mungkin boleh dipertimbangkan iaitu, wakil Rakyat Pembangkang yang bertindak keluar parti adalah antara yang mempunyai masalah peribadi. Sama ada masalah itu dengan pucuk pimpinan ataupun sebab rekod sedia ada mereka yang tidak membenarkan supaya lebih lama dalam PR. Sebab itu, bila saja mengumumkan hasrat keluar parti ,mereka akan terus menjadi wakil rakyat BEBAS dan tidak pula bertindak menjadi ahli UMNO atau parti komponen BN yang lain. Kenapa?



Kalaupun ada yang masuk UMNO seperti Fairuz Khairuddin tetapi bukan sudah bergelar wakil rakyat atau YB. Ada pula yang masih BEBAS tetapi enggan masuk UMNO, seperti Datuk Ibrahim Ali. Kenapa?



Nampak sangat politik di Negara kita bertambah ‘hodoh’ sehingga membelakangkan keperluan dan ketulusan hati rakyat yang memberikan mereka peluang dan kuasa. Amat malang sekali apabila rakyat senang diperjudikan. Amat sedih kalau para pemimpin politik di Negara kita terlalu memikirkan ‘kuasa’ sehingga lalai, sehingga menjadi takbur, sehingga menjadi lupa diri, sehingga menjadi opportunis, sehingga menjadi pak turut, sehingga sanggup memperjudikan ‘amanah’ dan kepercayaan mereka.



Bermacam-macam tipu helah dilakukan untuk menjatuhkan pihak lawan hatta sampai mengaibkan dan menabur fitnah. Hinggakan sudah sampai pada tahap menggadai maruah bangsa dan agama serta Negara semata-mata untuk mencapai motif politik peribadi. Terlalu banyak isu yang sudah ‘dihalalkan’ dalam politik di Negara ini.



Hentikanlah!..renung dan muhasabah kembali pegangan dan perjuangan kita. Kembali istiqamah. Kembali menyahuti suara rakyat . Kerana ‘kuasa’ yang menjadi rebutan adalah dugaan dari yang maha besar. Firaun dan Namrud telah menemui tuhannya dalam keadaan hina kerana semasa hayat, mereka terlalu gilakan ‘kuasa’. Kembalilah kepada fitrah.




Keputusan Datuk kalakau Untol (DKU) menyertai PKR, begitu besar bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kerana sejurus selepas pengumuman Datuk Kalakau Untol untuk meninggalkan UPKO dan BN, DSAI memaparkannya dalam blognya . Memberikan imej kepada Datuk Kalakau Untol sebagai mantan menteri Persekutuan kononnya. Namun bagi ramai orang yang mengenali DKU, siapa beliau dan bagaimana prestasi politik dalam PBS, AKAR,dan UPKO, tidak banyak ‘kelebihan’ yang boleh dibawa oleh tokoh politik daerah Tuaran dan Tamparuli ini.



Kunjungan Datin Wan Azizah ke Sabah awal beberapa hari sebelum DSAI dilihat sebagai ‘penyiasatan’awal kepada kesahihan berita PKR dari Sabah selain daripada meraih simpati kepada kes Liwat DSAI.Pendirian para pemimpin PKR Sabah ditagih untuk memastikan keyakinan dan ketelusan kes berkenaan terus bergoyah. DSAI yang mengadakan lawatan pada 28 Feb iaitu (kelmarin ) dilaporkan mendapat sambutan yang menggalakkan, walaupun ada yang menyatakan kunjungan DSAI itu hambar dan terasing kerana diadakan di perkarangan tempat kediaman DKU.



Apa yang menarik minat kita ialah ‘umpan’ DSAI yang begitu mengena kepada para pemimpin politik di Sabah. Kajian kembali kepada perkara 20 menjadi asas kepada mengaut sokongan dari pemimpin KDM di negeri ini.Pengiktirafan Deklarasi Tambunan, menjadikan Dr. Jefrry terus berminat dengan PKR. Masalah PATI, kelonggaran Imgiresen, Royalti 5% minyak dan beberapa isu lain termasuk keterbukaan dan keutamaan penduduk Sabah dalam sector awam menjadi antara alasan SAPP dan DKU untuk menyertai PKR. Keyakinan mereka begitu ,memuncak bahawa PR akan dapat menawan Putrajaya pada PRU 13 akan datang.



Namun kenyataan DKU bahawa apabila PR memerintah Negara ini, akan mengkaji semula peruntukan undang-undang mengenai agama rasmi di Negara ini dianggap cukup membahayakan bagi PKR. Isu sensitive ini seharusnya tidak menjadi inti kepada ucapan DKU yang dihadiri bersama oleh DSAI. Kerana ini akan membuatkan ramai di kalangan kita berfikir kembali untuk memberi sokongan kepada PKR Sabah.




Walaupun begitu, bagi sesetengah pemerhati politik Sabah,kenyataan DKU itu tidak kurang bezanya dengan sejarah lampau beliau yang dikatakan pernah kontravesi apabila adiknya mengambil keputusan memeluk Islam. Apakah kerana mengambil kira kepada masyarakat di Tuaran yang pelbagai suku dan majority adalah Dusun/Kadazan ,maka isu ini ditiupkan kembali..? Apakah DKU berkeyakinan bahawa sebagai hadiah balasan kepada kemasukkannya dalam PKR, maka beliau ditawarkan tempat untuk menjadi calon PKR dalam MP Tuaran akan datang?




Sesungguhnya di saat PKR Nampak begitu porak pranda,dengan menyaksikan ramai ahli dan pemimpinnya bertindak meninggalkan parti itu dan ketika PR semakin hilang kepercayaan rakyat , adakah wajar PKR Sabah meniupkan sentiment agama dan isu perlembagaan Negara? Amat bahaya pada hemat kita jika PR dapat memerintah Negara ini.



Tidak ada siapa yang dapat menyangkal bahawa disepanjang jalan politik BN menjadi parti pemerintah di Negara ini, tahun 2008 merupakan tahun paling mencabar, bukan kerana berlakulah peralihan tampuk kuasa dari Pak Lah kepada Najib, bukan juga kerana Najib menjadi PM. Tetapi kerana pada tahun itu, sejarah telah tercatat bahawa yang sesungguhnya BN memerintah dengan keadaan “simple Majoriti” yang belum pernah dialami oleh parti perikatan ini sejak lebih 50 tahun lampau. Banyak factor yang menjadi penyebab kepada fenomena tsunami ini. Ada yang menyatakan kerana factor UMNO selaku ‘teras’ dalam BN begitu goyah dan bercakaran. Ada yang menyatakan kerana factorPeribadi DSAI yang ‘dibebaskan’ dari penjara sg. Besi. Ada juga yang mengutarakan bahawa ‘rakyat’ telah bosan dan rimas dengan politik BN ,kerana itu memberi sokongan kepada PR, walaupun PR bukanlah gabungan parti politik yang utuh.



Tidak banyak yang melihat bahawa, strategi PR ‘ satu lawan satu’ di semenanjung telah menjadi ‘cabaran’ terbesar kepada keupayaan BN di peringkat nasional. Strategi ini tidak banyak memberi pilihan kepada rakyat selain daripada, memangkah PR jika calon BN begitu memuakkan mereka. Strategi ini juga telah menyebabkan focus isu kempen ketika PRU menjadi lebih relevan, kerana rakyat melihat dan mendengar bagaimana isu yang ditimbulkan oleh pembangkang boleh ditangkis oleh calon BN. Hujah dan kehebatan menangkis propaganda politik musuh menjadi begitu signifikan pada waktu ini. Kelembaban dalam Kepetahan berhujah dan kecederasan minda mempersoal tindak tanduk musuh politik telah menyebabkan BN ‘gagal’ mendapat sokongan daripada rakyat seperti sebelumnya.




Keadaan di Sabah dan Sarawak, memperlihatkan startegi ‘satu lawan satu’ ini ‘gagal’ diparktikan oleh pembangkang. Malahan tidak wujud kerjasama erat antara mereka, walaupun di peringkat nasional persetujuan telah dapat digapai. Di Sabah tidak kurang daripada 5 kerusi boleh diperolehi dengan mudah oleh pembangkang jika wujud kerjasama antara mereka. DAP dan PKR meletakkan calon mereka di beberapa kawasan yang sama, sehingga memberi kelebihan dan kemenangan kepada calon BN, terutama di kawasan yang majoritinya dalah orang Cina. Begitu juga di Sarawak.




Apabila DSAI mengumumkan bahawa PR akan menggunakan startegi yang sama pada PRU akan datang di Sabah dan Sarawak, ramai yang mempersendakan kerana bagi mereka iklim politik di Sabah dan Sarawak tidak sama dengan di Semenanjung. Selain daripada factor yang pelbagai suku , Sabah dan Sarawak juga tidak banyak dipengaruhi oleh perkembangan politik di Tanah Besar Semenanjung. Itu kata mereka. Sedangkan mereka lupa dan sesungguhnya alpa bahawa, bukankah di Semenanjung juga suatu ketika, tidak pernah terbayang di benak kita bahawa akan wujud PR biarpun dihuni oleh 3 parti berlainan idealogi politik, tetapi akhirnya bersepakat meletakkan calon ‘satu lawan satu’.?



Sepatutnya pengumuman DSAI ini harus dilihat sebagai satu “ancaman” terbaru kepada BN yang mula tersedar dari mimpi yang panjang. BN harus segera mencari formula mendekati pengundi dan rakyat di Sabah dan Sarawak supaya startegi PR ini tidak mampu memancing nekad mereka. Namun apa yang membimbangkan kita ialah BN masih dengan isu ‘transformasinya’ sehingga kalut dengan perubahan yang dilakukan. Sedang pada waktu yang sama PR telah pun mengumumkan strategi politiknya secara terang-terang dan menunggu tindak balas dari BN.




Jika BN masih terus bermimpi, maka nyata Jalan BN makin kian berliku. Akan berlaku apa yang dikatakan oleh DSAI sebagai “Malaysia baru dan harapan baru”.

Friday, February 26, 2010



Tengku Razaliegh atau Ku LI bukanlah satu watak baru dalam politik UMNO, tetapi beliau merupakan watak politik yang sentiasa membuatkan ramai penganalisas tidak dapat melelapkan mata akibat dari percaturannya yang begitu terkedapan dan bersifat gentelmen. Seorang mantan Menteri kewangan juga pengasas kepada parti Semangat 46 yang terang-terangan adalah parti serpihan UMNO ekoran pengharaman UMNO oleh Mahkamah atas krisis dan perebutan antara Tun Mahathir dengan Ku LI menjadi presiden UMNO lewat 1987.

Kekalahan Ku Li dalam perebutan Jawatan Presiden UMNO paling tragis dalam sejarahnya hanya mencatat lebihan undi yang kecil. Biarpun pelbagai analisis dilakukan kepada punca kekalahan itu sehingga pada waktu itu dikatakan 'politik wang' sudah bermaharajalela dalam UMNO, namun kekalahan KU LI itu telah mencatat detik paling hitam dalam sejarah politik orang Melayu apabila UMNO diharamkan.

Pengharaman inilah akhirnya ,lahir parti Semangat 46 yang membawa kepada peniupan kembali 46 semangat yang terkandung dalam penubuhan asal UMNO yang disifatkan oleh KU LI dan Koncon-konconya sebagai telah dikhianti oleh UMNO. KU LI bertindak 'keluar' dari UMNO dan sejak itu, politik KU LI terus 'gerhana' sekalipun pernah bersama-sama dengan logo bulan Purnama (PAS) menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU ). Kata sesetengah pemerhati politik, Ku Li kena sumpahan 46 semangat Umno. Secara berseloroh para pemerhati ini juga melabelkan Ku Li sebagai 'harimau kehilangan taring".

Apabila Ku Li membubarkan semangat 46 dan kemudian menyertai UMNO, tidak banyak perkara menarik yang berlaku. Tun Mahathir dilihat sebagai langsung tidak mengendahkan kehadiran KU LI. Bukan sahaja Ku LI tidak dibawa 'kembali' dalam jawatan UMNO tetapi juga tidak diberikan peluang merasai jawatan dalam kabinet..? Apakah kerana Tun Mahatir ketika itu terus dibayangi sejarah 1987, atau kerana beliau takut Ku Li akan 'menggoncangkan' kembali perpaduan UMNO..?

Biarpun begitu KU LI tetap dengan stail politiknya yang selalu menentang. KU LI bukan sahaja menawarkan diri dalam merebut jawatan tertinggi parti iaitu PRESIDEN UMNO, tetapi juga turut menyatakan bahawa tindakan beliau itu adalah untuk menyuburkan demokrasi dalam parti yang disifatkannya sebagai Demokrasi sudah lama mati dalam UMNO. Beberapa percubaannya dibuat, sehingga pencalonan ke jawatan itu hanya menyaksikan Bahagian Umno Gua Musang dimana Ku Li menjadi ketua bahagiannya sahaja yang mencalonkan beliau. Biarpun mendapat sindiran dan cemuhan, tetapi itulah KU LI seorang ahli politik yang berani.

Terbaru UMNO goncang lagi, apabila KU LI secara terang-terangan tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Pusat yang enggan memberikan royalti minyak kepada kerajaan Kelantan. Ramai yang beranggapan bahawa itu adalah helah KU LI untuk menarik minat orang ramai kepada beliau yang semakin kesuntukan masa untuk mencapai cita-cita agung politiknya. Namun tanggapan itu benar-benar berlaku apabila, KU LI menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian mengenai 'kelayakkan' Kelantan untuk memperolehi Royalti Minyak. Sebagai bekas pengerusi Petronas, KU LI dilihat sebagai seorang yang tahu 'serba-serbi' tentang perjanjian antara Kelantan dan Petronas.. Namun kenapa hal ini tidak diambil tahu oleh Najib?

Apabila TPM Tan Sri Muhyidin membayangkan bahawa KU LI bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Displin Parti, maka ramai penganalisis politik berkeyakinan, UMNO akan kehilangan KU LI sekali lagi..Dan jika benar KU LI akan 'keluar' dar UMNO. apakah percaturannya itu akan mengembalikan nostalgia politik 1987..? Atau apakah kali ini 'keluarnya' KU LI adalah sebagai seorang wira? Dan adakah selepas ini, UMNO akan bertambah tenat dengan kehilangan satu lagi MP nya..?

Sesungguhnya terlalu banyak persoalan yang berlegar dalam minda kita.. Kerana politik itu penuh dengan kemungkinan dan kemungkinan itu tidak wajar dilihat berdasarkan situasi tersurat semata-mata.

Thursday, February 25, 2010



Apabila Najib membayangkan bahawa akan berlaku proses Re-branding BN pada Konvensyen yang akan diadakan pada penghujung tahun ini, ramai yang mula membuat perkiraan politik. Melihat impak dan ketelusan hajat Najib ini. Membuka secara terus keahlian BN kepada 3 kumpulan sasar iaitu, orang-perseorangan, NGO dan kumpulan politik menggambarkan satu lagi transformasi drastic ‘bakal’ meninggalkan parti-parti komponen BN yang masih ‘bergelumang” dengan krisis dalaman yang tragis. Bisa membuatkan MCA, MIC, GERAKAN DAN PPP tidak senang duduk lantaran masalah dalaman parti mereka belum pun menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan. Maka bagaimanakah, ‘Proses Re-branding ini bisa diikuti ..? Logiknya, disaat parti komponen lain masih ‘bergulap gulita” dengan pelbagai krisis kepimpinan, bagaimana Transformasi BN ini menjadi reality?



Di satu sudut pandang lain, cerita meminda beberapa fasal perlembangaan BN ini, dilihat mempunyai ‘dalang’ di sebaliknya. Ramai pemerhati politik yang kontra BN mengandaikan dengan seseungguhnya bahawa Tun Mahathir menjadi ‘mentor’ tersembunyi mengenai hal ini. Kerana mereka beranggapan bahawa ketika era Pak Lah, bukan kepalang ramainya, orang-orangan Tun Mahathir yang dikesampingkan dan gagal mendapat tempat, selain daripada beberapa kerat yang menerima pemecatan dari UMNO yang kemudiannya bergerak dalam Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kecenderungan kepada UMNO.



Ramai yang tahu bahawa disebalik NGO PERKASA , adalah Tun Mahathir, dan Presidennya Ibrahim Ali adalah antara yang begitu menyanjungi mantan PM ini. Kerana iaitu apabila PERKASA ditubuhkan, maka orang-orang Tun Mahathir berpusu-pusu menganggotainya. PERKASA sekarang begitu signifikan sebagai berada di belakang ‘keputusan’ kerajaan BN. Maka desas-desus kedengaran bahawa proses Transformasi BN yang bakal direalisasikan itu, akan ‘menjemput’ Ibrahim Ali dan ahli Perkasanya untuk menyatakan ‘sokongan’ berpadu kepada UBN. Walaupun masih banyak NGO lain yang boleh dibawa bersama seperti ABIM, MBM dan lain-lain, tetapi PERKASA lah yang akan mendahului NGO-NGO ini.



Dari sudut positif, proses Transformasi ini akan lebih memantapkan BN, terutama kepada kemasukan ahli secara terus. Walaupun pembukaaan keahlian ini mendapat reaksi berbeza dari Tun Mahathir, dengan ulasan yang cukup memberi gambaran akan keberkesanannya “ Boleh dipertimbangkan”, Namun ramai yang melihat bahawa BN akan terus dengan agendanya ‘membawa’ masuk ramai penyokong UMNO dan BN yang telah ‘meninggalkan’ parti itu atas beberapa ketidakserasian dengan pucuk pimpinan sebelumnya. Apa yang agak membimbangkan ialah, apakah kayu ukur kepada keterbukaan Najib dalam perkara ini ..? Adakah jaminan bahawa NGO dan orang perseorangan yang ‘memasuki’ sempadan politik BN ini adalah benar-benar Ikhlas..? atau ia akan menjadi seperti ‘anai-anai’ yang memakan keutuhan kayu BN dari dalam ?



Tidak cukup dengan itu, pemerhati yang cenderung kepada pembangkang, juga melihat bahawa ia adalah satu usaha untuk menyingkirkan orang-orangan Pak Lah termasuk KJ dari terus menyusun gerak mereka ‘menguasai’ peradaban politik UMNO. Pada PRU 13, akan datang ramai juga yang berkeyakinan bahawa akan ramai ”calon Helikopter” dan “bidan terjun” BN pada PRU12 yang lepas ‘bakal’ digugurkan.



Tidak dapat kita pastikan sangat, akan keikhlasan itu..tetapi dari gerak dan isyarat Najib..memperlihatkan bahawa ‘kelajuan’ keretapi yang menjadi kenderaan Najib tidak dikurangkan had lajunya, malahan sudah dipasang dengan turbo berganda meninggalkan ramai penumpang yang masih bermegah dengan V6 perdana mereka.Namun harus diingat bahawa ‘kemalangan’ keretapi biasanya melibatkan kesemua gerabak panjangnya. Di mana Najib dan PERKASA pada waktu itu..?

Wednesday, February 24, 2010


“Tahun ini merupakan tahun akhir tempoh RMK-9 dan amat signifikan dari segi pencapaian sasaran di bawah rancangan itu bagi pembangunan Sabah amnya dan pembasmian kemiskinan khususnya,” Datuk Musa Aman.



Laporan beberapa akhbar tempatan, mengenai kebanjiran warga belia Sabah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan hampir mencecah puluhan ribu orang. Di Kuala Lumpur Sahaja, dianggarkan ratusan orang belia Sabah dalam keadaan "berkeliaran "dan ada yang merempat kerana gagal mencari pekerjaan yang sesuai. Malahan bukan itu sahaja, bukan sedikit bilangannya yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral termasuk hubungan bebas, kutu jalan dan Mat Rempit. Keadaan ini seharusnya perlu diteliti oleh kerajaan BN di Sabah, termasuk sebab dan faktor berlakunya kebanjiran belia Sabah ke luar negeri termasuk cara mengatasi dan membawa pulang di samping mewujudkan ruang pekerjaan di negeri yang dikatakan mula membangun di bawah pentadbiran Musa Aman ini.



Walaupun Sabah dikatakan sudah menurun paras kemiskinan berdasarkan kajian separuh Penggal RMK ke 9 tahun 2007 iaitu penurunan kepada 16% daripada 23% pada tahun 2004. Namun tidak dapat dinafikan bahawa faktor kemiskinan adalah faktor utama kearah penghijrahan yang berlaku ini. Keadaan dan cara hidup yang miskin terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman seperti di kota Marudu dan Pitas selain dari beberapa kawasan lain di Pantai Timur telah menyebabkan ramai belia berumur antara 16-30 tahun yang terkandas dalam alam persekolahan mengambil keputusan berhijirah di Semenanjung untuk mencari pekerjaan . Dan biasanya pekerjaan yang menjadi tumpuan para belia dan beliawanis ini ialah kerja-kerja kilang Pembuatan dan Pemprosesan. Ibu Kota seperti Kuala Lumpur ,Pulau Pinang dan Johor Bahru adalah antara tempat yang menjadi tumpuan rakyat sabah ini.



Bagi pembangkang di Sabah, selain faktor kemiskinan mereka juga menyalahkan Kerajaan BN yang 'gagal' mewujudkan peluang pekerjaan di negeri ini, walaupun pembangunan fisikal begitu rancak di beberapa kawasan terpilih di negeri ini kata mereka. Pembangkang juga turut mempertikaikan projek Koridor Sabah yang dikatakan menyediakan peluang pekerjaan kepada mencecah 100 ribu belia Sabah. sehingga kini ia menjadi isu retorik politik yang diulang-ulang dan gagal direalisasikan. Dimanakah janji BN ini..?



Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin ( PATI ) di negara ini juga dikatakan adalah antara faktor kepada penghijrahan belia Sabah ke Semenanjung. Ekoran kerana banyak peluang pekerjaan telah dikuasai dan dimonopoli oleh PATI sehingga sektor pertanian dan pembinaan gagal 'ditembusi' oleh golongan belia Sabah sendiri. Termasuk juga faktor harga atau upah buruh PATI ini yang rendah dan senang di perolehi.Menyebabkan belia di negeri ini seakan dianaktirikan.



Secara jangka panjangnya, fenomena aliran keluar Belia Sabah yang begitu tinggi akan memberikan kesan kepada prestasi ekonomi negeri. Bukan sahaja kita kehilangan buruh separuh mahir dan mahir tetapi juga akan menyebabkan kawasan perkampungan dan pedalaman yang ditinggalkan akan terus mundur. Bayangkanlah jika purata 12-24 orang belia yang menganggur di satu-satu kampung mengambil keputusan untuk berhijrah ke semenanjung saban tahun, apakah yang akan tinggal buat negeri Sabah guna sebagai pekerja dan buruh untuk membangunkan negeri ini.?




Fenomena inilah juga yang menjadi 'beban' dan halangan kepada kerajaan PAS di Kelantan ,apabila dilaporkan ribuan penduduk negeri itu 'keluar' berhijrah ke negeri lain, ekoran ketiadaan peluang pekerjaan di negeri itu. Cuma yang bezanya ialah Kelantan di Bawah pembangkang dan kegagalan menyediakan peluang pekerjaan itu menjadi tanggungjawab PAS di negeri Sitti Wan Kembang itu. Bagaimana pula di Sabah yang ditadbirurus oleh kerajaan BN..? Apakah juga akan menghadapi dilema yang sama? Jangan hanya kita bersandarkan kepada kajian dan data, sedangkan realiti masyarakat di Sabah masih berada pada paras kemiskinan.




Seharusnya limpahan pembangunan yang dibawa oleh BN, sekurang-kurangnya dapat meningkatkan taraf hidup dan frasarana di luar bandar. Setiap tahun kedengaran peruntukan ratusan juta ringgit disalurkan di Sabah tetapi impak kepada rakyat masih terlalu perlahan..? Di mana silapnya..?




Terbaru apabila Sabah akan mendapat
RM100 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk Program Bantuan Rumah (PBR) tahun ini di bawah Program Rangsangan Ekonomi yang akan dilaksanakan di seluruh negeri ini. Menurut Ketua Menteri Datuk Musa Aman, dibawah program itu, kerajaan merancang untuk membina 2,500 unit rumah PBR di Sabah dan tahun tahun lalu sebanyak 1,165 unit rumah berkenaan telah pun dibina. Mungkin kata-kata Timbalan ketua menteri datuk Joseph Kitingan ini boleh difikirkan..

“Harapan rakyat semakin meningkat dan kejayaan kita hari ini tidak lagi diukur hanya berdasarkan kepada jumlah peruntukan atau kuantiti projek dan perkhidmatan yang diberikan, sebaliknya ia dinilai berdasarkan kualiti, impak dan faedah jangka panjang,”

Monday, February 22, 2010

Kesepakatan yang longgar dikalangan pemimpin KB membawa persepsi yang negatif dikalangan rakyat.

Adatnya politik, dimana-mana sama ada berada atas kapal parti politik besar, parti kecil, parti serpihan, parti pemerintah apatah lagi berada dalam parti pembangkang..akan kita temui isu perpecahan, isu puak dan pengikut, isu persengketaan pendapat dan ada juga isu perbalahan yang berpanjangan. Yang menjadi mangsanya ialah rakyat dan penyokong, kerana mendukung pimpinan tertentu, rakyat jadi berbalah, rakyat jadi sasau silaturahimnya..dan di pihak pemimpin, ia menjadi satu kebanggaan kerana mendapat sokongan dan dukungan rakyat yang dipergunakan.

Isu Umno dan pimpinan di Kota Belud yang berkelompok dan 'nafsi-nafsi' bukanlah satu cerita baru. Bahkan telah lama berakar umbi dalam parti itu, seingat kita sejak UMNO mula memuntahkan inti perjuangannya di Usukan belasan tahun yang lampau. Sejak itu UMNO KB tidak sunyi dari isu perbalahan pemimpin yang membawa kepada beberapa insiden "kekufuran" politik berlaku, yakni taksub kepada pemimpin tertentu, sehingga tidak boleh ditegur, tidak boleh di kritik dan tidak boleh dipersoalkan tindak dan tanduk apatah lagi keputusan dan pendekatan kepada Rakyat.

Isu ketidak sepakatan pemimpin ini jelas berlaku apabila UMNO KB di bawah pimpinan Datuk Salleh Tun said, mengadakan program "juara Rakyat" pada dua tiga hari yang lepas. Paling mendukacitakan kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan kehadiran rakyat jelata, tetapi juga turut membuatkan segelintir rakyat neutral di daerah ini membisikkan rasa pelik dan terkilan dengan kehadiran pemimpin dan wakil rakyat di daerah ini.

Bayangkanlah namanya sudah membawa kepada satu program yang disasarkan kepada 'rakyat" program "juara rakyat" namun langsung tidak menampakkan bahawa ia membawa kepada satu pengertian akan berlaku penerimaan rakyat kepada UMNO KB. Para pemimpin yang lain seperti Datuk Rahman Dahlan, Datuk Haji Musbah dan juga Datuk Japlin Akim langsung tidak 'memunculkan' diri turut menyertai program itu. Protes dan ketidaksetujuan mereka terhadap Ketua Umno Bahagian KB ditunjukkan dengan tidak menghadiri program berkenaan. Malahan banyak program yang dilaksanakan oleh pemimpin ini juga seakan dipulau oleh DSSK dan lainnya.

Barangkali bagi Datuk Rahman Dahlan, ketidakpeduliannya terhadap program rakyat Umno KB ini kerana disandarkan bahawa beliau bukannya ahli Umno KB, tambahan lagi, ketidaktentuan statusnya sebagai MP KB pada PRU 13 akan datang, membuatkan beliau tidak sangat mempedulikan natijah program itu dalam kerjaya politiknya. Lantas menjawab persoalan kenapa selama ini DARD hanya mendiamkan diri tatkala di minta untuk campurtangan menyelesaikan konflik jalanraya bypass KB-Kudat yang dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dibeberapa perkampungan terlibat. Begitu juga dengan program Songom setemu-temu, anjuran Persatuan sama Sabah (PSS) yang dirasmikan oleh DARD turut tidak ternampak kelibat pemimpin lainnya.

Begitu juga dengan Datuk Musbah Jamli, kegagalan beliau mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian pada pemilihan yang lalu,bukan sahaja meletakkan pemimpin ini dalam dilema perjuangan yang berpanjangan tetapi juga dilihat 'enggan' memberikan kerjasama dan seakan 'memulau' segala programyang dirancang oleh UMNO KB. Datuk Musbah bukan sahaja disibukkan oleh pelbagai program persendirian yang dirancang oleh beliau, termasuk program turun padang dan projek Jelapang Padi nya, tetapi juga dikhabarkan beliau turut 'gagal'; memberikan dan mencarai jalan penyelasaian terhadap kemelut Projek Jalan raya Bypass KB- Kudat.? Walaupun isu ini berlaku bukan melibatkan kawasan DUN Tempasuk, tetapi sekurang-kurangnya Datuk Musbah berusaha mencari jalan penyelesaian.

Bagi Datuk Japlin Akim, kehadirannya dalam mesyuarat Umno beberapa bulan yang lepas, seakan membawa satu cahaya penyatuan UMNO KB apabila selama ini beliau dikatakan turut membiokot setiap perancangan dan mesyuarat Umno KB. Mungkin disebabkan kerana faktor kes yang dihadapinya.

Dari kaca mata rakyat, turut mempersoalkan kesepakatan para pemimpin ini. Malahan ketika rakyat menghadapi bencana alam seperti banjir baru-baru ini, rakyat dikejutkan dengan tembelang pemimpin tertentu yang asyik bercakap dengan perlunya mendekati rakyat, melakukan tranformasi, merealisasikan kejuaran kepada rakyat tetapi pada yang waktu yang sama, apabila rakyat menghadapi masalah, pemimpin ini 'hilang' kelibat' nya.

Jika secara sinisnya bahawa perkara ketidaksepakatan pemimpin ini berlarutan, maka ia akan menjadi perhatian rakyat. Sayugia diingatkan bahawa rakyat bukan lagi seperti beberapa musim pilihanraya yang lepas, kini rakyat sudah celik , rakyat tidak segan mengkritik, rakyat juga 'mendahului'gagasan pemimpin terutama berkaitan dengan program kehendak dan aspirasi mereka.

Golongan muda yang mewakili 30% daripada jumlah pengundi di daerah ini, mempunyai silent killer politik yang boleh dipergunakan untuk "melaknat" pemimpin tertentu.Ia membawa persepsi bahawa 'perlaknatan' itu adalah manifestasi daripada penolakkan secara total pemimpin tersebut. Bila sudah 'dilaknat" yakni di tolak secara jelas oleh rakyat pada PRU akan datang, maka apakah 'jadahnya' Pemimpin ketika itu memperkatakan lagi tentang isu penyatuan dan pembangunan.