Sunday, February 28, 2010

politik dihodohkan oleh tangan-tangan yang opportunist

Kalau dulu ‘heboh’ dengan gelagat wakil-wakil rakyat yang ‘lompat’ parti sehingga ada gelaran “YB Katak”. Kini lain pula isunya, Wakil rakyat atau YB bertindak keluar parti menjadi Wakil Rakyat atau YB BEBAS. Walaupun ada yang masih dalam parti yang diwakilinya seperti MP SAPP yang bertindak menjadi ‘BEBAS” tetapi masih ahli SAPP ,lantaran kerana SAPP keluar daripada BN.



Ada juga calon BEBAS yang menggunakan logo parti lain, misalnya Ibrahim Ali MP Kota Bahru adalah calon BEBAS tetapi menggunakan logo PAS ketika bertanding dalam PRU. Beberapa ahli politik PR juga bertindak keluar dari parti mereka dan menjadi YB BEBAS. Di Perak, keputusan 3 YB Pakatan Rakyat bertindak meninggalkan barisan Pembangkang dan menjadi wakil Rakyat BEBAS tetapi menyatakan sokongan kepada BN telah menyebabkan kerajaan pilihan rakyat di Perak telah tumbang. Demam PKR pula apabila beberapa wakil rakyatnya seperti MP Bayan Baru dan MP Nibong Tebal juga bertindak keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat BEBAS.



Persoalan yang wajar ditimbulkan ialah kenapa fenomena politik ini berlaku ? Sejauhmana berkesannya Wakil Rakyat BEBAS membela nasib rakyat di kawasan yang diwakili mereka. Sedangkan mandate yang diberikan oleh rakyat ialah menyokong mereka berdasarkan parti yang diwakili. Setakat ini belum ada wakil rakyat BN yang bertindak keluar parti untuk menjadi wakil rakyat BEBAS, terkecuali SAPP.



Ada beberapa andaian yang mungkin boleh dipertimbangkan iaitu, wakil Rakyat Pembangkang yang bertindak keluar parti adalah antara yang mempunyai masalah peribadi. Sama ada masalah itu dengan pucuk pimpinan ataupun sebab rekod sedia ada mereka yang tidak membenarkan supaya lebih lama dalam PR. Sebab itu, bila saja mengumumkan hasrat keluar parti ,mereka akan terus menjadi wakil rakyat BEBAS dan tidak pula bertindak menjadi ahli UMNO atau parti komponen BN yang lain. Kenapa?



Kalaupun ada yang masuk UMNO seperti Fairuz Khairuddin tetapi bukan sudah bergelar wakil rakyat atau YB. Ada pula yang masih BEBAS tetapi enggan masuk UMNO, seperti Datuk Ibrahim Ali. Kenapa?



Nampak sangat politik di Negara kita bertambah ‘hodoh’ sehingga membelakangkan keperluan dan ketulusan hati rakyat yang memberikan mereka peluang dan kuasa. Amat malang sekali apabila rakyat senang diperjudikan. Amat sedih kalau para pemimpin politik di Negara kita terlalu memikirkan ‘kuasa’ sehingga lalai, sehingga menjadi takbur, sehingga menjadi lupa diri, sehingga menjadi opportunis, sehingga menjadi pak turut, sehingga sanggup memperjudikan ‘amanah’ dan kepercayaan mereka.



Bermacam-macam tipu helah dilakukan untuk menjatuhkan pihak lawan hatta sampai mengaibkan dan menabur fitnah. Hinggakan sudah sampai pada tahap menggadai maruah bangsa dan agama serta Negara semata-mata untuk mencapai motif politik peribadi. Terlalu banyak isu yang sudah ‘dihalalkan’ dalam politik di Negara ini.



Hentikanlah!..renung dan muhasabah kembali pegangan dan perjuangan kita. Kembali istiqamah. Kembali menyahuti suara rakyat . Kerana ‘kuasa’ yang menjadi rebutan adalah dugaan dari yang maha besar. Firaun dan Namrud telah menemui tuhannya dalam keadaan hina kerana semasa hayat, mereka terlalu gilakan ‘kuasa’. Kembalilah kepada fitrah.

1 ulasan :

KERBAU BERHIAS said...

KM..

politik memang begitu..semua ada tipu muslihat.