Dalam apa jua perkara, yang pasti kekal berterusan berlaku ialah suatu perubahan. Dan perubahan itu akan terjelma dalam pelbagai bentuk; termasuklah pemikiran dan pentafsiran. Begitulah juga mengenai kaedah untuk membuat sebarang keputusan. Demikianlah juga dengan kedinamikan politik. Semuanya serba berkemungkinan.
Ketika ini, Negeri Sabah dan Sarawak diperkatakan sebagai kubu kuat BN. Ini bukan lagi suatu andaian malah kebenaran kerana sekiranya Sabah dan Sarawak mengalih sokongan kepada PR, kerajaan BN akan pasti tumbang.
Negeri Sarawak adalah sebaris dengan Selangor. Kukuh dan setia kepada BN dari dulu lagi sejak kewujudan BN. Kesetiaanya tidak pernah pudar yang memudaratkan BN. Tinggal lagi Selangor sudah melakar perubahan lanskap politik baru.
Nampaknya,ia akan menerajui suatu perubahan besar dan drastik, dasar-dasar yang terbaru seperti pemberian air secara percuma, bantuan kepada setiap keluarga bagi setiap kelahiran bayi, pemberian wang ehsan bagi urusan pengebumian jenazah dan juga setiap kemasukan pelajar ke dalam institusi pengajian tinggi.
Status negeri Sabah berbeza sedikit dan tidaklah sama dengan Sarawak. Sebabnya ialah kerajaan negeri Sabah pernah keluar daripada BN sebanyak dua kali. Sekali semasa kerajaan USNO dan sekali semasa kerajaan PBS. Apa pun kedua-duanya mempunyai alasan yang kukuh. Ia keluar bukanya sembarangan tetapi berperhitungan dan berprinsip. Persoalannya sekarang ialah apakah kesetiaan dan kekuatan kedua-dua Negeri itu ini dapat diterjemahkan dalam PRU-13 nanti?
Justeru itu penulis ingin menyingkap sejenak apakah kebangkarangkalian yang menjadi perhitungan penting kepada rakyat Sabah dan Sarawak pada masa itu kelak.
Perubahan lanskap politik Asia
Negara matahari terbit Jepun dilanda perubahan politik. Parti LDP yang memerintah selama 50 tahun telah tumbang. Sekarang Jepun mempunyai sebuah kerajaan baru yang kebanyakannya dianggotai oleh generasi baru.
Negara jiran, Indonesia yang terpimpin sistem demokrasinya berubah menjadi lebih bebas lantas kerajaan yang diktaktor ditolak rakyat dan kepimpinan kerajaan bertukar tangan. Dasar pemerintah telah digubal dan Negara Indonesia terus berubah. Suatu masa dulu, Filipina juga melalui proses perubahan daripada kediktaktoran berubah kepada sistem pendemokrasian sebenar. Penggal dan tempoh seseorang presiden untuk memegang kuasa dihadkan.
Thailand juga mendepani perubahan. Malaysia dan Singapura sahaja yang masih dapat bertahan dengan kerajaan asal mereka setakat ini. Suatu perubahan itu jikalau tidak ditangani secara berhemah akan mendepani tekanan dan kekangan sehingga terbentuknya sebuah kerajaan baru. Demikianlah skesta politik Asia. Ia terus mengamit perubahan.
Aspirasi dan harapan baru
Pertukaran sesebuah kerajaan itu bersebab. Rakyat mengidamkan sesuatu pembaharuan sistem pentadbiran. Rakyat mahu sesuatu transformasi dan reformasi terhadap berberapa perkara seperti sistem kehakiman yang adil. Rakyat mahukan perubahan sistem pendidikan, Rakyat juga mahukan dasar menangani isu pendatang tanpa izin (PTI) yang lebih baik.
Rakyat sudah bosan dengan kegiatan rasuah. Rakyat mahukan pengurusan ekonomi yang lebih mampan. Rakyat mahukan sebuah dasar yang adil kepada semua kumpulan masyarakat. Bermacam-macam kemahuan dan pembaharuan yang diidami oleh rakyat jelata. Demikianlah aspirasi dan harapan baru rakyat Malaysia.
Kerajaan juga akan menjanjikan dan melaksanakan pelbagai kemudahan, dasar dan juga menggariskan halatuju Negara yang terbaik. Tetapi yang terpenting ialah tanggungjawab kearah sebarang pembaharuan dasar serta perlaksanaanya mestilah berintegriti. Sekiranya tidak, sekiranya tidak maka ia akan menjadi sia-sia sahaja kerana rakyat akan terus memburu pembaharuan serta sentiasa mempertikaikan dasar-dasar reformasi yang dilaksanakan. Pendek kata kerajaan berdepan dengan krisis keyakinan.
Integriti tercemar
Persoalannya sekarang ialah bagaimana mampukah kerajaan memulihkan integritinya terhadap semua perlaksanaan dasar-dasarnya? Selama 550 hari berlalu sejak PRU-12, sudah banyak perkara yang terbongkar dan mendapati terdapat banyak perkara-perkara yang tidak betul dan menjijikkan.
Perlakuan rasuah dan penyelewengan didalam PKFZ yang berbillion ringgit. Penyalahgunaan kuasa dan kesilapan pendekatan kaedah-kaedah penyiasatan SPRM, sehingga mengakibatkan kematian seseorang saksi seperti Teoh Beng Hock semasa penyiasatan SPRM. Krisis politik Perak telah menjadi bahan lawak di media-media antarabangsa daripada sistem demokrasi ke ‘democrazy’.
Ia juga mempamerkan krisis didalam sistem kehakiman. Krisis kehakiman ini berlarutan sejak kes V.K. Lingam. Pemalsuan kerakyatan oleh jabatan pendaftaran dan pemberian Mykad di Sabah masih tidak ada penghujungnya. Ini adalah satu manifestasi penderhakaan kepada perlembagaan Malaysia.
Sekarang rakyat Malaysia di Sabah dan dan Sarawak tidak hanya mengundi berpaksi kepada isu-isu tempatan sahaja tetapi ia akan melihat dan membuat perhitungan kepada isu-isu nasional serta perkembangan politik semasa. Jikalau rakyat di Sabah misalnya hanya mahu mengundi BN berdasarkan kepada jumlah pemberian projek yang berjuta atau berbilion ringgit tetapi isu PTI tidak terkawal maka ia sekali-kali tidak menyelesaikan permasalahan di Sabah.
Rakyat merasa tertipu. Justeru itu, rakyat sudah mula mempersoalkan dan berfikiran kritis bahawa kerajaan BN tidak komited didalam menyelesaikan PTI di Sabah. Krisis keyakinan seperti inilah yang menjadi paksi bermulanya pertikaian dasar kerajaan dan ahkirnya menjuruskan kepada krisis keyakinan. Sudahlah BN menghadapi berbagai krisis di Semenanjung yang bersabit dengan dasar, krisis politik parti-parti kompenen BN, masalah di Sabah pula terus terabai. Sabah sudah lama memperjuangkan haknya seperti yang termaktub didalam “Perjanjian Malaysia” tetapi semuanya itu terlepas pandang atau apakah mungkin kepemimpinan tidak merasakan tidak ada keperluan untuk menunaikanya.
Maka bayangkan dengan perubahan dan kematangan rakyat Sabah dan Sarawak berpolitik sekarang, betapa besar dan rumitnya cabaran yang didepani oleh BN dalam PRU-13 nanti!. Sudah pasti rakyat Sabah akan membulat tekad mencari alternatif terbaik.
Sifir politik lama bergema
Mengikut ilustrasi sejarah, Sarawak belum pernah menubuhkan sebuah kerajaan baru sejak penggulingan kerajaan pimpinan mendiang Dato Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua Menteri atas bantuan kerajaan pusat ketika itu. Masyarakat Dayak di Sarawak telah mengalami gelombang kebangkitan di bawah pimpinan Leo Moggie dan Daniel Tajem namun kesepaduan politik Dayak itu terpecah. Apa pun generasi baru mula berubah dan lebih condong kepada perubahan baru. Politik Sarawak kini sedang berubah kearah suatu keterbukaan kepada parti-parti nasional. Bukan senang kita melihat masyarakat Iban dan Dayak menyertai parti dari Semenanjung tetapi kini perubahan sudah bermula.
Ramai Dayak dan Iban sudah menyertai PKR. Suatu ketika dulu Umno beria-ia tetapi segan serta menghormati Mohd Taib. Mungkin kerana tertarik dengan politik balak dan tanah. Tetapi Sarawak memang tangkas politiknya untuk memintas. Gelombang kebangkitan penduduk bumi Kenyalang yang majority rakyatnya terdiri daripada suku kaum Dayak sudah bergema semula. Sentimen ‘agi hidup agi ngalaban’ sudah berkumandang dengan tiupan angin perubahan menjejaki keadilan.
Teka-teki politik di Sabah
Umno Sabah tetap utuh dan ramai yang menjangkakan ia boleh menubuhkan kerajaan negeri secara bersendirian. Kekuatan Umno adalah dikalangan masyarakat Bumiputra Islam. Sebenarnya tidak ada Melayu tulen di Sabah. Melayu celup dan sadoran memang terlalu ramai. Tetapi apa pun Sabah ini unik.
Pola integrasinya sejak dulu memang terunggul diseluruh Negara. Yang mengkucar-kacirkannya ialah politik dan orang politik. Tetapi berdasarkan keputusan pilihanraya yang lalu, terdapat ramai juga bilangan pengundi Islam yang mengundi pembangkang cuma tidak mencukupi untuk memenangi sesuatu kawasan. Samalah dengan sesetengah kawasan di Semenanjung apabila berlaku pertembungan Umno dan PAS.
Tetapi masyarakat Islam di Sabah juga bukan bacul, ia sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa. Mereka juga mengikuti perkembangan politik di Semenanjung. Tinggal lagi dapatkah mereka melepaskan diri dengan ikatan politik pembangunan dan lumayan dalam nilai ratusan ribu ringgit kepada kader-kader politik cawangan dan bahagian khususnya di dalam Bajet 2010.
Apakah mungkin Bumiputra Islam di Sabah akan terus bergayut dalam kapal yang sedang menghadapi suasana kebocoran yang tidak mungkin dapat ditampal dalam masa yang singkat dan berkemungkinan karam. Begitulah persepsi umum. Apakah perkiraan dan sifir politik dalam situasi begini. Sewajarnya kematangan mengatasi emosi.
Politik KDM
Masyarakat KDM kini berada dalam kebingungan dan lebih condong kepada pembangkang. Ini bukan kerana pemimpin KDM tidak baik atau tidak bersungguh–sungguh melayani masyarakat dan pengundi mereka tetapi sekarang mereka mempunyai pilihan dan peluang memilih kearah pembetulan dasar-dasar yang mereka inginkan. Seperti penyelesaian isu-isu pendatang tanpa izin. Perjanjian Malaysia.
Perkara yang bersabit dengan skim perjawatan atau Borneonisasi. Dasar pelayanan yang adil kepada semua kaum dan agama dalam pelbagai perkara. Apapun khususnya dikalangan generasi muda KDM sudah menunjukkan minat kearah perubahan kepada sesebuah dasar kerajaan. Bagi mereka,perubahan dasar sesebuah Negara itu hanya dapat dicapai secara efektif dan dinamik melalui sebuah kerajaan baru di peringkat persekutuan. Tidak ada jaminan ia dapat dilakukan sekiranya BN masih berkuasa di pihak persekutuan. Begitulah persepsi ketika ini.
Parti-parti politik KDM ialah PBS, Upko dan PBRS. Parti kompenen BN ini begitu berhati-hati. Mereka semua tahu kedudukan BN di KL. Cuma mereka mahu melihat pada ‘timing’ yang betul dan tepat. Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin tidak mahu kelihatan menjadi membelakangi BN buat kali kedua. Upko juga tidak mahu sembarangan keluar kerana jika tidak menentu nanti tempatnya kelak diperlekehkan oleh seteru lama PBS, kerana BN Pusat akan memperkukuhkan kedudukan yang satu pihak dan situasi itu merugikan pihak Upko.
Bayangkan jikalau Upko keluar dan tempatnya diambil alih oleh PBS didalam apa jua kapasiti baik di persekutuan,negeri atau badan-badan berkanun bukan mudah baginya menyaingi PBS. Tetapi jikalau kedua-duanya berada didalam BN, sudah tentu sama-sama berpeluang memperkukuhkan kedudukan masing-masing. Kalau pun ada frustrasi maka kedua-duanya merasa sama.
Pembahagian kerusi
Jikalau dahulu, formula pembahagian kerusi inilah yang boleh membawa kedua-dua parti ini sujud kepada Umno Sabah, khususnya Ketua Menteri selaku ketua perhubungan BN Sabah dan formula ini jugalah yang boleh memecah dan membelah-bahagikan politik masyarakat KDM dimana suasana melobi pembahagian kerusi ini yang boleh memaksakan kepimpinan parti KDM berlembut, berkompromi, bertolak ansur dan ahkirnya berkesudahan dengan keakuran kearah kesetiaan yang membuta dan kelibat politik membisu begitu mujarab, tetapi, kini iklim politik negara tidak lagi begitu mengizinkan suasana sedemikian.
Kerana, jangkar dan sauh politik BN khususnya Umno di Semenanjung tidak lagi kukuh. Apa yang kemungkinan boleh berlaku pada pasca countdown PRU-13 nanti ialah salah satu daripada parti KDM itu akan mengambil tindakan keluar daripada BN. Banyak persepsi dan reaksi yang memberangsangkan terhadap teori dan aspirasi sebegini. PBRS itu hanya mengharap ehsan semata-mata. Tokoh politik KDM yang sedang menyinar semula didalam PR ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari parti PKR.
Seni politik kungfu dan tai chi masyarakat Cina
Masyarakat Cina di Sabah akan terus berkungfu dan bertaichi berulang alik ke KL mengadap Najib untuk memohan ehsan darinya bagi mengemukakan pendirian masing-masing keatas beberapa kawasan Cina untuk ditandingi dalam PRU-13. MCA, Gerakan dan LDP akan berunding dan berebut kerusi di kawasan bandar dimana terdapat majoriti masyarakat Cina. MCA tentu minta tambah kawasan. ketika ini, LDP adalah taiko besar kerana SAPP sudah keluar dari BN. Tetapi jangan lupa kedua-dua taiko politik Cina di Sabah iaitu Tan Sri Chong Kah Kiat dan Datuk Yong Teck Lee sudah mengintai dan berkemungkinan untuk melakukan suatu kejutan dalam melakarkan sejarah politik Cina dalam perubahan lanskap politik Negara. Masyarakat Cina mengikut tinjauan penulis telah pun membuat keputusan dihati. BN juga sedia maklum. Suka hatilah parti-parti Cina dari Semenanjung yang berada dalam BN berebut kerusi. MIC pun boleh tuntut kerusi atas nama BN dan kongsi kuasa. Dalam BN semua ini bisa dan biasa.
Kegerhanaan BN
Perkembangan dan perubahan lanskap politik Negara masa kini merupakan suatu penanda arah dan arus kebiteraan politik Negara. BN sungguhpun kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen, namun ia mencuba melangkah kehadapan dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam bahtera BN. Harapan orang muda mahu melihat suatu dasar baru dan falasafah baru Negara sudah ada.
Mereka merasakan suatu gerakan permuafakatan politik di Sabah perlu diterjemahkan seperti apa yang dilakarkan di Semenanjung dalam PRU-12. Dari masa recana ini ditulis hanya tinggal 1225 hari lagi PRU-13 paling lewat akan diadakan. Namun PM pada bila-bila masa boleh membubarkan Parlimen. Sesungguhnya kedinamikan Umno sebagai tunggak BN sudah tercalar kerana ia sudah tewas kepada PAS di peringkat DUN di beberapa buah negeri di mana pengundinya majorti adalah orang Melayu. Pengundi Melayu terbahagi kepada 3 parti.Umno, PAS dan PKR. Generasi muda Melayu sudah bosan dengan politik kronisme dan sifat feudal.
Rakyat sudah bosan dan jijik dengan slogan ‘Ketuanan Melayu’ dan lebih berminat kepada ‘Ketuanan Rakyat’ yang diperkenalkan oleh PR. Kegerhanaan politik BN di KL sudah tentu membawa musibah politik BN ke Sabah. Dahulu, jikalau seorang pemimpin dari Semenanjung mengatakan BN itu kuat dan boleh terus memerintah, rakyat di Sabah dan Sarawak akan percaya bulat-bulat tetapi tidak lagi pada masa ini, sekali pun PM atau Tun Dr. Mahathir yang bercakap mengenai kekuatan BN. Rakyat tidak lagi berkeyakinan kepada BN sepenuhnya.
Pakatan Rakyat pula berada dalam suasana yang bersinar dan bertenaga kerana perjuangannya diminati dan didekapi oleh semua golongan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda. Rakyat tidak lagi perlu bertegang leher, tidak perlu meninggi nada suara, tidak perlu berdemonstrasi. Cuma perlu menjaga kesihatan agar dapat melaksakan tugas harian seperti biasa serta tahan kepada apa juga bentuk tekanan, sendiran, gertak, taburan fitnah dan sebagainya sementara terus menguruskan ekonomi masing-masing sebelum ‘countdown’ PRU-13. Kebarangkalian ini mungkin menjadi perhitungan dan realiti politik.
Oleh : Kalakau Untol
2 ulasan :
Hai! KM,
Slow- slow tempinai, asyik-asyik si KALAHKAU ni jak bahan.
hai juga rojokobog..
ma kasih dengan peringatan itu..
Post a Comment