Monday, December 5, 2011


kehadiran Musli Oli dalam ceramah Umum Keadilan di Kota Belud pada 3.Dis. 2011, mengundang persoalan

Sementara UMNO Sabah ‘berpesta” di Kuala Lumpur pada Perhimpunan Agung UMNO 2011, dengan membawa sebatallion perwakilan yang disifatkan oleh Datuk Musa Aman sebagai antara yang paling ramai dari tahun sebelumnya, Politik Sabah terus bergelora. Isu kepercayaan Parti komponen BN Sabah keatas parti UMNO di negeri ini masih terus menjadi buah mulut masyarakat umum. Dan ketika ‘pesta’ inilah, tidak ramai pemimpin UMNO Sabah yang mengetahui bahawa pemergian mereka di tanah Seberang sebenarnya sudah lama di intai oleh Pakatan Rakyat Khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Buktinya pada 3 Dis. 2011 yang lepas , disaat ribuan perwakilan UMNO mendengar amanat ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk seri Najib Razak di PWTC, Ketua UMUM PKR yang juga Ketua Pembankang sudah punya perancangan menjelajah kepelusuk negeri di Bawah Bayu ini. Beberapa daerah dikunjungi termasuk penampang dan Kota Belud, dimana timbalan ketua perhubungan UMNO negeri iaitu Datuk Salleh Tun Said menjadi Ketua UMNO bahagian di daerah berkenaan.

Isu paling menonjol dalam “ceramah UMUM” ketua Pembangkang itu di Kota Belud ialah kemasukan lebih 50 orang ahli UMNO ke dalam Parti PKR yang diketuai oleh YDP PERKASA SABAH, juga AMT USBO, SDR MUSLI OLI.

Dalam ucapan Musli Oli dalam majlis berkenaan yang berlangsung kurang dari 45 minit itu, beliau menceritakan bagaimana pada awalnya perjanjian Malaysia yang ditandatangani di Britian pada awal penubuhan gagasan Malaysia. Antara yang beliau sentuh ialah berkenaan dengan 20 Perkara yang disifatkan oleh Penulis politik itu sebagai ‘gagal’ ditunaikan oleh UMNO setelah Sabah dan Sarawak bersetuju menyertai MALAYSIA.

“JIKA 20 Perkara itu, gagal ditunaikan oleh UMNO, maka bagaimana UMNO yang dilahirkan di Istana Johor yang tidak dihadiri oleh pribumi Sabah Sarawak akan dapat membela nasib mereka” katanya.

Sdr Musli Oli juga menyatakan bahawa UMNO yang masuk ke Sabah kononnya untuk menyatukan pemimpin dan masyarakat Bumiputera Islam sebenarnya tidak benar kerana apa yang berlaku, UMNO mengadu domba pemimpin Sabah dengan mengamalkan prinsip “divide and role” atau dasar pecah dan perintah. Berlandaskan kepada kekuatan hujah itulah YDP PERKASA SABAH INI yang sebelum DIKAITKAN DENGAN KEAKRABAN DENGAN DATUK SALLEH TUN SAID bertindak meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.


Sementara itu, dalam ucapan Datuk Kalaku Untol selepas itu, menyatakan kekaguman dengan tindakan Musli Oli itu dengan membuat pengumuman meninggalkan UMNO dan menyertai PKR sekaligus bersetuju jika Musli Oli disenaraikan antara pemimpin yang bertanding di Dun Usukan atau Parlimen Kota Belud.


Sejurus selepas pengumuman itu, saya berkesempatan menemuhramah beberapa anak-anak muda di majlis berkenaan, tentang pandang mereka kepada percaturan Musli Oli meninggalkan UMNO dan menyertai PKR. Ada di kalangan mereka yang melahirkan keyakinan bahawa politik Kota Belud akan menyaksikan satu perubahan besar terutama dari sudut pandang anak-anak muda. Sambil menyatakan bahawa pemimpin politik Kota Belud, masih mengamalkan ‘sekat’ keatas kemaraan golongan muda dalam politik dengan menggunakan pengaruh mereka untuk terus kekal sebagai wakil rakyat.


Anak-anak muda yang saya temui itu menyeru supaya pemimpin golongan muda di Kota Belud bingkas bangun untuk menyertai Musli Oli meninggalkan UMNO dan menyertai PKR. Kerana hujah yang mereka berikan ialah , dalam UMNO Kota Belud, golongan kepimpimpinan Muda tidak dihargai. Ada yang sanggup menjadi ‘ekor’ kepada pemimpin tertentu tetapi bila tidak diperlukan, mereka dicantas dan ditinggalkan. Hanya PKR menurut mereka suara golongan ini akan didengari dan diberikan ruang.

Dalam majlis itu, saya juga sempat berbual dengan beberapa orang pemimpin golongan berumur yang saya kenal terutama penglibatan mereka dalam politik Kota Belud. Walaupun menyifatkan bahawa kehadiran Musli Oli dalam Politik UMNO Kota Belud sebagai ‘ADA , TIDAK BERTAMBAH, DAN PERGI, TIDAK BERKURANG’, namun mereka tetap merasa yakin PRU 13 akan datang akan lebih sengit dan panas. Jika benar seperti dalam ucapan datuk kalaku Untol bahawa PRU 13 adalah medan pembetulan kepada kesilapan UMNO dan BN, maka situasi politik di Kota Belud akan lebih ceria.


Saya meninggalkan majlis berkenaan, dengan membawa beban persoalan, Dulu sdr Musli Oli pernah menyatakan bahawa Datin saidatul badru adalah “pengkhianat” kerana menyertai PKR, namun apabila sdr Musli Oli mengambil keputusan menyertai PKR, apakah istilah “pengkhianat’ itu sudah tidak relevan lagi? Dan jika benar bahawa sdr Musli Oli menyertai PKR kerana ingin bertanding pada PRU 13 akan datang, apakah percaturan itu sangat signifikan keatas kredibiliti pemimpin kota Belud?

1 ulasan :

Ajin b. Gagah said...

Salam Kelapa Mawar

Terima kasih kerana tag saya dalam fb mengenai isu sdra Musli Oli meninggalkan UMNO dan seterusnya menyertai PKR?
Walau macammana pun,dalam lapuran KM 'pertaining to' suasana yang berkitar di Ceramah Umum ketua Pembangkang di KB, tidak banyak menekankan sebab sdra Musli meninggalkan UMNO.

Apa yang jelas, Musli tidak senang dengan keengganan UMNO menunaikan janji-janji yang termaktub dalam perkara 20. Satu isu yang sinonim dengan perjuangan UBF ( saya pun ahli gabungan NGO tersebut). Selain dari itu tidak banyak yang dinyatakan mengenai perkara ini.

Justeru, kalau ada masa mungkin saya selaku kawan rapat Musli bertanya sendiri pada beliau, perihal tersebut dari kontek yang tersurat dan mungkin tersirat.

Pada asas nya, saya agak terkejut juga dengan berita tersebut. Namun saperti biasa saya telah bersedia untuk berhadapan dengan 1001 kemungkinan...Sapertimana yang terjadi dengan Sdra Musli.

Mungkin juga selepas ini, beberapa orang sahabat saya yang akan mengikuti jejak Musli? Mana lah tahukan? Saperti selalu orang kata, dalam politik macam-macam ada.

Kerana isu ini ada lah serius, sensitif dan personal kepada Musli atau pun sahabat-sahabat beliau dalam UMNO dan USBO, maka saya hanya sekadar mengambil jalan tengah ( non-partisan) dalam hal ini disamping menunggu perkembangan selanjutnya.

Persoalan apa yang diketengahkan oleh Datuk Kalaku untul, bagi saya, biasa-biasa sahaja kerana saya telah pernah mendengarnya sebelum ini.

Manakala pandangan belia-belia KB yang mengharapkan satu perubahan besar dari sudut apa sebenarnya? Juga akan kita tunggu sejauhmana kah komitmen mereka sebenarnya untuk mengubah lanskap politik Sabah am nya dan KB khasnya.
Other than that, I don't have much to say for now..

Apa-apa pun semuga Kelapa Mawar terus sukses dalam apa juga bidang dan perjuangan selanjut nya.