Sebelum ini isu pemansuhan PTPTN begitu laris dibicarakan.Ada yang pro dan ada yang kontra.Blog-blog pro UMNO dan BN bukan sahaja menganggap pemansuhan PTPTN sebagai 'menjerumuskan'bumiputera dan orang Melayu dalam lembah 'kebodohan' tetapi juga melabelkan mahasiswa yang mengadakan Demontrasi aman sebagai 'pencacai' pembangkang.Namun bagi pro Pakatan Rakyat, perjuangan memansuhkan PTPTN adalah satu reformasi pendidikan menuju kepada pendidikan percuma.
Hari ini pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli menggariskan 5 prinsip untuk menjadikan pendidikan percumasebagai realiti jika PR berjaya menawan Putrajaya pada PRU 13 nanti.
Salah satu prinsip itu, menurut Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli ialah pelaburan yang besar akan dibuat untuk menambah peluang pendidikan tinggi di institusi awam, termasuklah pembinaan universiti teknikal khusus bagi lepasan sekolah yang lebih berminat dalam kemahiran teknikal.
"Ini penting untuk mengimbangi jumlah tempat yang ditawarkan di institusi awam berbanding institusi swasta, seterusnya mengelakkan pergantungan kepada pendidikan tinggi berbayar di masa hadapan," kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Prinsip kedua, jelas beliau, ialah yuran pengajian di institusi awam akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Selain itu katanya, kerajaan juga akan menyediakan elaun sara hidup untuk menanggung kos sara hidup bagi pelajar-pelajar yang layak.
"Kelayakan untuk menerima elaun sara hidup dikira berdasarkan tahap pencapaian akademik dan latar belakang sosio ekonomi pelajar mengambil kira tanggungan keluarga," kata beliau lagi.
Di bawah prinsip ketiga, kata Rafizi, bagi pelajar di institusi awam yang tidak memenuhi syarat untuk menerima elaun sara hidup kerana datang dari keluarga berpendapatan tinggi, mereka boleh memilih untuk membiayai sendiri elaun sara hidup atau layak untuk memohon pinjaman elaun sara hidup dari satu tabung khas untuk membiayai kos sara hidup dan pendidikan swasta yang akan ditubuhkan kelak.
Prinsip keempat menekankan bahawa pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi awam, mereka boleh terus memohon untuk meminjam dari dana pembiayaan seperti yang ditetapkan.
"Pembiayaan pendidikan akan meliputi yuran dan kos sara hidup pada kadar yang ditetapkan, mengambil kira subsidi yuran yang akan diberikan kerajaan sepadan dengan yuran purata bagi kursus yang setara di institusi awam; dan "(Kelima) pembiayaan untuk menampung elaun sara hidup dan sebahagian yuran di IPTS seperti yang diterangkan di atas tidak akan dikenakan sebarang faedah," kata Rafizi lagi.
Rafizi menambah, kelima-lima prinsip itu akan diguna pakai oleh Pakatan Rakyat untuk merangka mekanisme khusus dalam melaksanakan dasar pendidikan percuma kelak.
"Ia jelas menangkis dakyah pihak lawan bahawa dasar pendidikan percuma akan merugikan pelajar Melayu/Bumiputera kerana ketiadaan pembiayaan sara hidup," kata Rafizi.
Sebaliknya, menurut Rafizi, dasar pendidikan percuma akan meluaskan akses kepada pendidikan tinggi percuma kepada lebih ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum.
"Pada masa yang sama, ia menukar model pembiayaan pendidikan tinggi yang kini terbukti menindas rakyat dan tidak dapat bertahan di masa hadapan," katanya.
Sehubungan itu kata Rafizi, beliau menganggarkan peruntukan tambahan untuk menyediakan elaun sara hidup, menanggung baki yuran yang kini dibayar pelajar dan menyediakan subsidi yuran yang setara kepada pelajar di IPTS adalah sebanyak RM3 bilion setahun.
"Persoalan pokok yang perlu dijawab oleh semua rakyat Malaysia adalah sama ada kerajaan mampu menanggung peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion setahun ini," katanya.
Rafizi juga berkata, beliau percaya penghapusan konsesi tol lebuh raya seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga akan menjimatkan sebanyak RM5 bilion setiap tahun kerana "inilah wang pampasan yang dibayar Barisan Nasional kepada pengendali konsesi lebuh raya setiap tahun."
"Wang ini lebih dari cukup untuk menampung peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion yang diperlukan untuk menyediakan pendidikan percuma," katanya lagi.
0 ulasan :
Post a Comment