Thursday, October 27, 2011


DATUK Seri Najib Razak pernah mengatakan Tan Sri Abdul Gani Patail tidak wajar terlibat dalam kerja memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam 1998 Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut seorang bekas pegawai kanan polis yang mendakwa bertemu secara peribadi dengannya pada Oktober 2008.


Ketika itu Najib merupakan timbalan perdana menteri dan menjadi perdana menteri pada April 2009.Datuk Mat Zain Ibrahim, yang sedang menggerakkan kempen seorang diri untuk mengalihkan peguam negara itu berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Najib untuk membincangkan dakwaan pembabitan Abdul Gani dan juga Ketua Polis Negara masa itu Tan Sri Musa Hassan.


“Komen YAB terhadap Gani Patail antara lainnya, ‘memang salah untuk memalsukan keterangan. Walaupun boleh jadi tujuan Gani adalah untuk menolong IGP’ (merujuk kepada bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor), membuat keterangan palsu, adalah suatu kesalahan dan tidak patut dia lakukan,” kata Mat Zain dengan merujuk kepada apa yang diperkatakan oleh Najib pada pertemuan mereka.


Rahim digantikan oleh Tan Sri Norian Mai dan kemudian oleh Musa sebagai ketua polis negara.
Mat Zain seterusnya menulis, “komen terhadap Musa Hassan pula, YAB menyatakan antara lainnya, ‘saya mendapat tahu peranan Musa tidaklah seteruk Gani. Saya rasa beliau (Musa) boleh melepaskan diri.”Mat Zain mengatakan demikian dalam surat terbuka kepada Najib.



Dalam surat terbuka itu, Mat Zain menambah, “selanjutnya YAB telah memberi jaminan akan membincangkan perkara pelantikkan panel bebas dengan Perdana Menteri (Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu) oleh kerana YAB mengatakan tidak tahu-menahu mengenai pelantikkan panel ini, jika saya tidak maklumkan pada hari tersebut . . .”


Mat Zain merupakan pegawai yang bertanggungjawab menyiasat Rahim berhubung kejadian mata lebam membabitkan Anwar ketika bekas timbalan perdana menteri itu ditahan pada September 1998.Rahim kemudian mengaku mencederakan Anwar, kini Ketua Pembangkang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.


Mat Zain sebelum ini mendakwa Abdul Gani, yang mengetuai pendakwaan kes liwat dan rasuah ke atas Anwar sebelum ini dan Musa, telah mereka bukti dalam kes mata lebam.Dalam suratnya bertarikh 20 Oktober, Mat Zain berkata, sebagai menunaikan permintaan Najib beliau telah memberi taklimat berkaitan dakwaan pemalsuan keterangan dalam insiden mata lebam, di pejabat Menteri Kewangan pada 23 Oktober 2008, lebih kurang pukul 10.30 pagi.


“Saya percaya butir taklimat saya adalah tidak penting lagi. Perkara yang ingin saya ketengahkan ialah komen YAB sendiri terhadap kedua-dua Gani dan Musa dalam perkara ini,” katanya.Kata Mat Zain, seterusnya Najib turut memperakukan bahawa dakwaan terhadap Abdul Gani akan dibawa berbincang dengan penasihat-penasihatnya untuk meneliti implikasi tindakan jika diambil ke atas beliau kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Kes liwat Saiful merupakan yang kedua membabitkan Anwar dan sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.“YAB sendiri secara sepintas lalu telah menyatakan keterangan dalam kes Saiful adalah 'bagus'... saya tidak sedikit pun membangkitkan kes ini semasa perbincangan.
“Saya ambil komen-komen sedemikian itu sebagai bermaksud YAB mempunyai maklumat yang mustahak mengenai hubungkait Gani Patail dengan kes liwat kedua serta mengetahui keterangan-keterangan penting dalam kes tersebut,” kata bekas pegawai polis kanan ini.Mat Zain juga menulis bahawa beliau sedar tidak layak untuk menegur seorang perdana menteri dalam apa hal jua pun.


“Namun sebagai seorang rakyat, saya mempunyai hak untuk memberikan pendapat saya berdasarkan dari peristiwa yang saya sendiri tempuhi dan tahu serta yakin sebagai benar.“Bukan sahaja undang-undang negara mewajibkan saya untuk bercakap benar, malah ,Islam juga mewajibkan saya menjadi seorang saksi yang bercakap benar walaupun terhadap kedua ibu dan bapa saya.” “Saya menyatakan bahawa YAB Datuk Seri telah bertindak secara tidak adil, kepada rakyat jelata dan kakitangan awam, dalam penguatkuasaan keadilan awam.“Walhal YAB sendiri yang telah beberapa kali berjanji kepada rakyat akan mempastikan undang-undang dilaksanakan mengikut keluhuran undang-undang,” katanya lagi.


Mat Zain menegaskan apabila tiba kepada giliran untuk mengambil tindakan terhadap Abdul Gani sendiri, pendirian Najib menjadi “lemah dan lesu seperti tidak bermaya.” “Walhal YAB dan seluruh Kabinet sedar, beliau telah melakukan, penipuan, pemalsuan, salah guna kuasa, rasuah serta termasuk menyembunyikan keterangan untuk mengelirukan Kabinet.


“Lebih menyedihkan, YAB dilihat sebagai terpaksa membiarkan sahaja dan merestui tindakan pihak tertentu, memanipulasikan fakta dan keterangan, bagi mengelirukan dan mengabui mata rakyat untuk menyelamatkan Gani daripada dikenakan hukuman undang-undang,” katanya lagi. [TMI]



0 ulasan :