Tuesday, October 4, 2011


Di Sabah hanya seorang pemimpin politik muda yang begitu lantang mengkritik dan mempersoalkan segala dasar dan percaturan politik pakatan pembangkang iaitu Pakatan rakyat. Pemimpin dan politikus yang di maksudkan ialah mantan setiausaha BN Pusat yang kini menyandang jawatan sebagai setiausaha BN negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen Kota belud iaitu Datuk Rahman Dahlan.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, ahli Parlimen Kota Belud itu membidas dan memperlekehkan isi kandungan Buku Jingga yang menjadi manifesto bersama Pakatan Rakyat ,PKR-PAS dan DAP. Malahan kenyataan pedas Datuk Rahman mendakwa bahawa jika Buku Jingga itu dilaksanakan ia bukan sahaja memberi impak besar kepada ketenteraman dan kestabilan politik negara bahkan juga boleh mengundang parah yang lebih besar iaitu boleh bankrapkan negara. dengan kata lain segala perancangan ekonomi yang terkandung dalam Buku Jingga akan menyebabkan negara mengalami keberhutangan yang serius dan boleh menjerumuskan negara dalam kancah kemuflisan.

Anehnya kenyataan Datuk Rahman Dahlan itu bukan sahaja tidak menarik minat ketua pembangkang Datuk seri Anwar Ibrahim, malah langsung tidak disentuh dan dibidas oleh ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam parlimen dan ketika mengadakan road show di Kota Belud. Dengan mengganggap bahawa kenyataan DARD itu adalah keluar dari mulut politikus yang masih mentah dan junior, sebaliknya DSAI membangkitkan isu kebocoran dalam pengurusan wang dan aset negara oleh BN.

Kelmarin apabila DSAI membentangkan bajet Pakatan Rakyat di perkarangan Dewan Parlimen, sekali lagi menarik minat ahli Parlimen Datuk Rahman Dahlan. Dalam satu kenyataan, DARD menganggap bahawa bajet yang dibentangkan oleh PR itu sebagai BUKU JINGGA VERSI 2.0,Malahan menyifatkannya sebagai lebih besar dan lebih teruk.

Selain itu DARD juga mendesak PR supaya menerangkan bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan dan peruntukkan Jabatan Perdana Menteri yang melibatkan sebanyak 10 billion.

Justeru itu ramai pemerhati politik berpendapat, kenyataan DARD itu wajar diambil perhatian oleh DSAI.Malahan ada saranan supaya DSAI 'mencabar' DARD untuk mengadakan satu sesi debat mengenai hala tuju dan keberkesanan Buku Jingga dan bajet PR itu. Kalau sebelum ini DSAI menerima cabaran Datuk Shabery Chik mengenai isu kenaikan minyak, maka apakah salahnya pula DSAI menggunakan platform perdebatan dengan DARD pula untuk memperjelaskan kepada rakyat apa yang dirancang dan terkandung dalam Buku Jingga.

DARD bukan sahaja pemimpin muda yang begitu lantang mengkritik tetapi juga dilihat sebagai ikon golongan pemimpin muda dalam UMNO yang sanggup berhadapan dengan pihak pembangkang dalam menangani sebarang isu berbangkit. Sebagai rekod , DARD sebelum ini telah menerima cabaran debat dengan Lim Kit Siang mengenai isu empangan Tambatuon di Kota Belud yang dijadualkan akan diadakan pada 24 atau 25 september ini, tetapi kemudiannya ditunda ke pada tarikh yang belum diketahui lagi apabila kekangan masa dan program membelenggu ahli parlimen Kota Belud itu.

Apakah DARD telah bersedia berdebat dengan DSAI? Atau adakah DSAI sanggup melupakan keseniorannya dalam politik demi rakyat dan matlamat politiknya? Masih belum terjawab melainkan jika perdebatan kedua pemimpin ini menjadi realiti.

0 ulasan :