Apa pun keputusan mahkamah terhadap kes Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini, Perdana Menteri masih sukar untuk menamatkan teka-teki tarikh pilihan raya umum, medan tempur paling sukar pernah dihadapi Pengerusi BN. Segalanya nampak serba tidak kena.
Sama ada Anwar didapati bersalah atau dilepaskan -- atau apa jua penghakiman yang bakal dibuat -- persepsi rakyat terhadap elit penguasa, terutama daripada segi pengaruh dan tekanan eksekutif terhadap mahkamah, tetap memburuk. Persepsi ini terbentuk kukuh sejak awal pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi.
Apatah lagi dalam kes yang begitu kritikal dan dilihat mempunyai impak politik cukup tinggi, maka kehendak atau sekurang-kurangnya isyarat Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diremehkan. Malah, di negara-negara yang dikenali dengan sistem kehakiman berintegriti pun, kes-kes yang mempunyai implikasi besar politik sukar dijalankan secara adil.
Dalam konteks negara kita, Peguam Negara mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan. Beliau juga boleh memilih pertuduhan di bawah peruntukan undang-undang yang "disukainya". Jabatan Peguam Negara mempunyai kaitan erat dengan JPM.
Anwar sendiri mengakui, sekiranya Dr Mahathir masih berkuasa dan menyandang jawatan Perdana Menteri pada September 2004, belum pasti Mahkamah Persekutuan waktu itu akan membuat keputusan membebaskannya.
Manakan tidak, bagi seorang Dr Mahathir, parti Umno yang diterajuinya sendiri pun boleh diharamkan pada 4 Februari 1988 atas kemahuannya kerana itulah satu-satu pilihan yang ada bagi mengetepikan pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada persepsi umum, segala keterangan, bukti dan fakta kes adalah satu hal yang berbeda dan boleh diketepikan apabila dihadapkan dengan pertembungan kepentingan pemerintah, apatah lagi ia bersifat "hidup-mati" survival politiknya.
Sememangnya episod hitam-pekat pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, diikuti penyingkiran dua hakim Mahkamah Agung di zaman Dr Mahathir, sudah berlalu hampir 23 tahun lalu, namun tiada siapa berani menafikan tanggapan bahawa kebebasan badan kehakiman negara belum dapat dipulihkan.
Isu kongkongan -- atau istilah lebih lembut lagi, pengaruh -- eksekutif terhadap judiciary masih menjadi polemik yang tidak berkesudahan di Malaysia.
Jika penentuan pembubaran Parlimen empat tahun lalu difaktorkan oleh pertimbangan Abdullah Ahmad Badawi bahawa Anwar masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2008 (dan ternyata perkiraannya tersasar), maka kali ini Najib tetap melihat sosok Ketua Umum KeADILan itu sebagai kriteria terpenting.
Suka atau tidak, Anwar masih dikira watak paling dominan dalam percaturan siasah tanahair. Najib tentunya mahu mengurangkan risiko dalam menghadapi PRU13, yang disifatkannya sendiri sebagai "ibu segala pilihan raya". Soalnya, apakah dengan memenjarakan Anwar boleh memudahkan laluannya untuk mempertahankan Putrajaya atau tambah menyukarkan beliau, segalanya masih menjadi perdebatan.
Najib mungkin dilihat tidak "seganas" mentornya, Dr Mahathir -- dengan rekod terburuk menyerang para hakim yang tidak memihak kepadanya, juga melumpuhkan kebebasan kehakiman secara sistematik melalui siri pindaan Perlembagaan, dan mengetatkan undang-undang yang sedia zalim -- tetapi situasi sulit yang terpaksa dilaluinya memaksa orang ramai menaruh sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri keenam itu.
Kes Fitnah II Anwar diselubungi dengan pelbagai keanehan. Fakta kes yang dibentangkan di mahkamah sarat dengan bermacam-macam persoalan yang gagal terjawab.
Justeru, persepsi umum bahawa Anwar teraniaya cukup tebal. Kes liwat membaitkan Saiful Bukhari Azlan tetap dianggap semata-mata kes politik dan bukannya kes jenayah, sepertimana kes Azizan Abu Bakar dahulu. Ditambah lagi dengan pembabitan, secara langsung mahupun tidak langsung, personaliti politik, termasuk Najib, dan pegawai polis tertentu, yang dikaitkan dengan kes Fitnah I dahulu, khususnya Musa Hassan dan Rodwan Yusof.
"Sikap doule-standard kerajaan Ummno jelas dalam kes Anwar. Dan jangan perbodohkan rakyat dengan mendakwa himpunan 901 adalah sokongan membuta-tuli kepada peribadi Anwar. Ini perjuangan panjang rakyat menuntut perubahan," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.
Penghakiman kes Anwar ini melanjutkan lagi dilema berpanjangan Najib. Walaupun beliau cuba melakukan pelbagai bentuk transformasi, namun belantara politik yang diredah semakin memerangkapnya. Kes Shahrizat Jalil, Jamil Khir Baharom, Awang Adek Hussin adalah contoh kecil yang tidak mudah ditanganinya.
Imej kelam-suram Umno-BN yang ditinggalkan Abdullah belum berjaya diceriakannya. Pelbagai bantuan one-off yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 di tengah suasana ekonomi yang tidak menentu, dengan bebanan hutang negara yang begitu tinggi, tidak pula menarik simpati rakyat kepada Najib.
Sebaliknya ramai bertanya, mampukah kewangan negara bertahan lebih lama jika Najib meneruskan "keborosannya membeli undi" melalui bantuan one-off itu, sedangkan beliau sendiri curiga untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, bagi mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen.
"Najib perlu adakan pilihan raya segera selepas segalanya dicurahkan untuk menarik sokongan pengundi. Kalau lambat, orang akan lupa jasa baiknya itu. Dari mana nak dikorek duit lagi untuk beli undi itu. Lagi pun rakyat semakin bijak memperhatikan gelagat BN menggunakan wang negara," kata seorang pensyarah sains politik.
Sementara pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, dijangka terus menjauhi BN, penghakiman kes 901 ini dilihat boleh mempengaruhi kecenderungan masyarakat Muslim. Secara automatik ramai merujuk situasi 1998-99, pada era reformasi, sebagai kemungkinan majoriti pengundi Melayu kembali memberi simpati kepada Anwar.
Sama ada penghakiman ataupun perhimpunan 9 Januari ini, kedua-duanya adalah "aksi politik" yang dipersembahkan oleh Najib dan Anwar ...
Bekas Ketua Pengarang NSTP, A Kadir Jasin yang juga merupakan blogger yang aktif, menyenaraikan beberapa "kalau" dengan penghakiman 9 Januari, antaranya: "Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah Dun Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang, dan alau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999."
Seingat saya, dalam satu wawancara dengan Harakah, Tengku Razaleigh Hamzah pernah membayangkan kedudukan Umno dijangka lebih sulit sekiranya Anwar sekali lagi dipenjarakan, dan rakyat khususnya orang Melayu mungkin menjadi lebih bersimpati dengan Ketua Pembangkang itu.
Bukan sahaja berbanding PRU10 pada November 1999, malah Pakatan Rakyat tentunya lebih bersedia menghadapi pilihan raya kali ini, mengatasi persiapannya empat tahun lalu. Ketika itu, Pakatan sendiri belum ditubuhkan secara rasmi, meskipun persefahaman sedia terjalin di antara ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP.
Selain itu, sumber, kemudahan, jaringan dan potensi Pakatan ketika ini tentunya lebih baik. Apatah lagi rakyat dapat menilai dan menghakimi pemerintahan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan, yang tentunya lebih telus, terbuka, demokratik dan antirasuah.
Lebih penting adalah kesederhanaan gaya hidup pemimpin-pemimpinnya, sedangkan masyarakat dapat menyaksikan perubahan drastik kehidupan pemimpin Umno selepas dipilih menjadi wakil rakyat.
"Apa pun, jangan hanya pandang daripada segi kelebihan," kata seorang penganalisis politik. "Peluang memerintah tidak semestinya memihak Pakatan. Ingat, PAS pernah kalah di Terengganu selepas sepenggal mentadbir. Apakah kerajaan Pakatan telah memenuhi harapan dan impian rakyat atau masih banyak yang terabai? Pakatan mesti nampak berkredibiliti dan berintegriti."
"Saya tidak bimbang sama ada Anwar akan dapat berkempen dalam PRU13 atau menggerakkan strategi bersama rakan-rakan dalam Pakatan. Keinginan rakyat untuk berubah cukup tinggi, melampaui faktor Anwar. Saya hanya risau prestasi kerajaan negeri Pakatan sejak 2008, begitu juga rekod kerja wakil-wakil rakyatnya. Lagi pun banyak kerusi yang menang dulu dengan majoriti tipis," tambah rakan saya itu.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, 5 Januari lalu, Anwar yakin Pakatan dapat menumbangkan BN di Perak dan Negeri Sembilan dalam PRU13, selain mempertahankan negeri sedia ada. Timbul persoalan, mengapa pula Terengganu tidak dirangkaikan bersama?
Namun, ujarnya, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di Melaka dan Johor, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah.
Anwar juga yakin sekiranya beliau terkeluar dari arena politik aktif sekalipun, Pakatan akan tetap mampu mengemudi jalan ke Putrajaya.
Ini kerana, menurutnya, Pakatan sudah ada formula dan kata sepakat tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya keputusan 901 tidak memihak kepadanya.
Dalam ceramah di Melaka, pada 4 Januari lalu, Anwar menegaskan, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, adaalah tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengaitkan perkembangan di dunia Arab, khususnya Tunisia sebagai bukti rakyat boleh bangun menukar regim pemerintahan walaupun tanpa mempunyai seorang ketua yang jelas.
Beliau yakin, impian Umno untuk melihat lumpuhnya kebangkitan rakyat dengan keputusan perbicaraan Anwar itu akan hangus terbakar dengan berapi-apinya semangat 'Asal Bukan Umno' (ABU) yang tidak lagi bergantung kepada mana-mana pemimpin.
Pengasasan budaya politik baru, dengan pertumbuhan kelas menengah yang lebih besar dan kemudahan jaringan maklumat melalui kuasa siber, memantapkan lagi keazaman politik rakyat untuk menolak penguasa yang terbukti korup dan bobrok.
Kebangkitan suara mahasiswa, seperti yang dijelmakan dalam kes Adam Adli dan Safwan Anang, menjanjikan kesedaran politik generasi muda yang lebih matang.
Ya, apa pun keputusan mahkamah Isnin ini, sukar sekali bagi Najib untuk meraih manfaat politik daripadanya.
15 ulasan :
Sekurang-kurangnya keputusan mahkamah kali ini sudah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kehakiman negara kita.
Harap kerajaan Najib Razak akan berusaha lagi untuk terus memenangi hati pengundi selepas PRU-13.
Betul tu, Mohd Ishak...
Apa yang jelas ekoran keputusan mahkamah tersebut adapat dilihat bahawa sistem kehakiman negara kita tidak dipengaruhi oleh cabang esekutif.
mudah-mudahan tiada lagi yang bertanggapan negatif terhadap sistem kehakiman negara kita selepas ini.
tapi masih ada pihak yang mempertikaikan keputusan tersebut. adakah itu sudah cukup memberi keyakinan kepada rakyat bahawa sistem kehakiman negara kita boleh dipercayai dan tidak dipengaruhi oleh mana2 pihak luar?
keptusan menunjukkan Anwar tak bersalah, jadi ini menunjukkan kehakiman kita bebas.
bagi pemimpin BN rasanya itu satu keputusan yang tepat dibuat oleh mahkamah. Memandangkan ini bukan isu yang perlu diperhangatkan di Negara kita.
BN tidak akan tersepit pun dengan keputusan mahkamah. Memandangkan BN tahu apa yang perlu untuk semua ini. Kerana ini akan membuktikan bahawa BN tidak ada kuasa mempengaruhi apa juga keputusan untuk mahkamah. Mahkamah memberikan keputusan yang tidak memihak sesiapa pun.
keputusan ini memulihkan imej sistem kehakiman negara.
tanggapan negatif terhadap mahkamah sedikit sebanyak dapat ditepis dan dihakis.
Kes Anwar ni macam lebih kepada Mahathir vs Anwar la pula.
Anwar didapati bersalah ataupun tidak, spekulasi tetap ada.
apa pun kesimpulan hanya dapat dibenatkan/dipersetujui ketika masing2 menghadapi PRU13 dan keputusan PRU13 yang diutama.
tapi mungkin tanggapan negatif rakyat terhadap kerajaan ada berkurang.
pandangan rakyat berbeza dengan pandangan ahli2 politik serta penganalisa politik.. mungkin ada pihak yang boleh mengagung2kan tindak tanduk Anwar, dan ada juga yang tidak.. saya paling tidak setuju bilamana Anwar memberikan ceramah kepada pelajar2 IPT, timbul pula kes demonstrasi dikalangan pelajar2 ini.. adakah Anwar mengarahkan pelajar2 ini untuk turun ke jalanraya?? adakah pelajar2 ini sengaja dipergunakan oleh ANwar untuk kepentingan peribadi beliau??
Post a Comment