Saranan CUEPACS supaya kerajaan memberikan kenaikan antara RM700 hingga RM2500 kepada kakitangan awam mengikut gred 1 hingga gred 54 dalam skim SSM sebelum dipindahkan ke skim SBPA terus mendapat sokongan dan dukungan dari pelbagai pihak. Kebanyakkan aktivis sosial dan ekonomi melihat saranan CUEPACS itu berpatutan dalam usaha merapatkan jurang pendapatan gaji dan upah antara pekerja di negara ini.
Hari ini Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula menyatakan pendirian dan sokongan ke atas tuntutan CUEPACS itu ,malah menyifatkan PR telahpun mengambil langkah serupa melalui perancangan dalam BUKU JINGGA. Kenyataan Rasmi Naib Presiden PKR itu seperti berikut :
Parti Keadilan Rakyat terbuka dengan tuntutan terbaru CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM700 hingga RM2500 untuk pekerja-pekerja di dalam perkhidmatan awam gred 1 hingga gred 54 menerusi skim yang sedia ada sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan menerusi Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan sebelum Bajet 2012 Kerajaan Persekutuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen bahawa sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk kerajaan pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam. Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada.
Pakatan Rakyat juga komited untuk menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama berikutan pengenalan gaji minima tersebut, selain insentif khas RM500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana dijanjikan di dalam Buku Jingga.
Ini berbeza dengan syor awal SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier akan menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu serendah RM1.70 sebulan.
Mengikut maklumat dari laporan 2006 United Nations (UN) Public Administration Network Public Service, Malaysia mempunyai nisbah jurang gaji antara yang tertinggi dan terendah yang paling tinggi berbanding negara-negara jiran, iaitu sekitar 19.5:1. Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah. Oleh itu, KEADILAN menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini.
KEADILAN turut menyarankan agar semakan gaji dimandatkan supaya dibuat setiap 5 tahun, agar kenaikan yang selaras dengan inflasi akan dapat dilaksana dengan lebih mudah dan adil.
Justeru KEADILAN menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat sebelum ini demi membela nasib penjawat awam.
NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT
6 ulasan :
beruntungnya pekeja kerajaan jika ada kenaikan sebegitu tinggi.
takkan untuk sektor swasta tidak ada apa2 pembaharuan?? dari dulu sampai sekarang sama saja..
harus dikaji sebaik mungkin, sekiranya saranan tu boleh membantu merapatkan jurang mungkin harus dipertimbangkn dan dilaksanakan.
Bekerja dalam sektor awam sentiasa mendapat kelebihan.
Betul juga.. Bila lagi pekerja swasta pula diberikan tumpuan.
Tapi bagus juga kalau saranan CUEPACS sedemikian. Sebelum SSM dimansuhkan maka perlu ada kenaikkan diberikan.
Post a Comment