Friday, March 2, 2012


Bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti SAPP Datuk Yong Teck Lee (tengah) membincangkan sesuatu dengan Presiden Parti Refomasi Negeri (STAR) Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (kanan) selepas keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, perintah Mahkamah Tinggi yang memintanya membayar RM1 juta kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh merupakan amaran kepada penduduk Sabah supaya jangan sekali-kali bercakap tentang tragedi Double Six yang mengorbankan bekas Ketua Menteri Tun Fuad Stephens dan kesemua 10 penumpang yang menaiki pesawat Nomad itu pada 6 Jun,1976.

Yong yang juga bekas Ketua Menteri berkata, apa yang beliau tahu, kuantum itu adalah yang terbesar daripada segi ganti rugi yang pernah diberikan dalam saman fitnah yang dibawa seseorang ahli politik terhadap ahli politik lain, di sini.

"Beberapa tahun lalu, Harris menerima RM50,000 dalam satu lagi kes saman fitnah dan saya juga diberi RM50,000 setelah saya saman sebuah akhbar tempatan, Sabah Times," katanya di suatu sesi pemimpin bersama rakyat di Donggongon Point.

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memerintahkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee membayar RM1 juta kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Harris Salleh kerana memfitnah beliau berhubung nahas pesawat pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan Ketua Menteri ketika itu Tun Mohd Fuad Stephens dan 10 yang lain.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata Yong bertindak di luar batasan dengan menyatakan bahawa "terdapat darah" di tangan Harris walaupun tidak salah bagi Yong meminta supaya satu siasatan semula diadakan berhubung tragedi itu.

Katanya beliau mendapati perkataan "jenayah" dan "pembunuhan" yang digunakan oleh Yong adalah satu fitnah terhadap Harris, yang mencetuskan spekulasi kononnya Harris tahu lebih awal bahawa sesuatu yang buruk akan menimpa pesawat jenis Nomad itu dan beliau (Harris) membiarkan Tun Fuad mati agar beliau dapat menjadi Ketua Menteri Sabah.

Harris memfailkan saman RM50 juta terhadap Yong sebagai defendan pertama, dan SAPP selaku defendan kedua, kerana mendakwa kononnya beliau ada kaitan dengan punca pesawat itu terhempas.

Hakim Abdul Rahman berkata beliau berpendapat RM1 juta merupakan jumlah yang adil dan wajar dengan mengambil kira semua aspek kes itu termasuk perilaku defendan dan juga hujahannya yang masih lagi memburukkan keperibadian dan kewibawaan Harris.

"(Perbuatan) ini amat kejam terhadap plaintif," katanya.-BERNAMA




1 ulasan :

All Thing Viral said...

walaupun haris menang, dia tetap tidak dapat diterima oleh rakyat sabah kerana menjual labuan kpd persekutuan