Saturday, March 17, 2012

Pengarah NGO Hak Asasi Manusia, Suaram, Cynthia Gabriel berkata, Mahkamah Perancis akan memulakan inkuiri terbuka berhubung kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam laman twitternya tengahari tadi.



Difahamkan, ‘hakim arahan’ bagi kes itu telah dilantik dan mahkamah akan bermula pada 1 April.

Di bawah undang-undang Perancis, ‘hakim arahan’ adalah majistret yang bertanggungjawab mengendalikan siasatan untuk menentukan sama ada sesuatu kes itu diteruskan menjalani perbicaraan jenayah.

Ketika dihubungi, Cynthia berkata, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan didedahkan dalam sidang media yang akan diadakan di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur, pada jam 11 pagi esok.

“Kita akan dedahkan maklumat lanjut mengenainya kepada media dalam sidang media esok,” kata Cynthia.

Pada 2009, peguam Joseph Breham, yang dilantik mewakili Suaram telah memfailkan kes terhadap firma pembuat kapal selam Perancis, DCN, melibatkan pembelian dua buah kapal selam bernilai RM7.3 bilion.

Kontroversi pembelian kapal selam itu melibatkan jutaan ringgit dalam bentuk komisyen kepada pemimpin negara dan pegawai tertinggi tentera.

Sebanyak 114 juta Euro atau RM570 juta dibayar sebagai komisen kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda- seorang kenalan rapat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Najib adalah menteri pertahanan semasa urus niaga pembelian Scorpene itu dijalankan. Skandal itu dikatakan mengheret pembunuhan kejam penterjemah dari Mongolia, Altantuya Shaariibu pada 2006.

Mayat Altantuya diletupkan dengan bom C4 di Puncak Alam, Shah Alam oleh dua anggota Unit Tindakan Khas, salah seorangnya merupakan pegawai pengiring kepada Najib.

Razak Baginda didakwa turut bersubahat dalam kes itu, namun dibebaskan oleh mahkamah tanpa dipanggil membela diri.

Pada Oktober tahun lalu, Breham berkata pembabitan Najib dalam pembelian Scorpene boleh menyebabkan beliau disepina untuk hadir ke mahkamah Perancis bagi membantu siasatan.

0 ulasan :