Persidangan parlimen yang bermula esok sehingga bulan April ini dijangka menjadi sidang terakhir sebelum parlimen dibubarkan.Beberapa pemerhati politik turut meramalkan PRU 13 antara bulan Mei ataupun Jun pada tahun ini.
SHAH ALAM – Penganalisis dan pemerhati politik yakin bahawa sidang Parlimen Mac - April yang akan bermula esok adalah yang terakhir manakala Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kemungkinan besar akan berlangsung awal Mei atau akhir Jun ini.
Beberapa penganalisis menekankan sudah ada petanda dan isyarat yang "sangat jelas" ke arah PRU13 diadakan pada tempoh tersebut.
Penasihat Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, kajian pihaknya menunjukkan majoriti responden yakin PRU13 akan diadakan dalam tempoh dua bulan lagi, dengan sudah pasti sidang Parlimen kali ini adalah yang terakhir.
"Kajian yang kami sedang lakukan belum dianalisis penuh, tetapi analisis awal menunjukkan ramai berpandangan begitu... pilihan raya umum pada Mei atau Jun.
Ya, semua petanda ke arah itu, menunjukkan PRU13 Mei atau Jun," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
"Kami juga berpendapat bahawa (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak masih memerlukan masa untuk melihat impak pendekatan dan inisiatif yang beliau sudah dan sedang lakukan.
Beliau memerlukan sehingga akhir April ini.
"Jadi mengambil kira aspek itu dan juga pandangan ramai, saya merasakan PRU selepas April," kata beliau lagi.
PRU12 diadakan 8 Mac 2008 iaitu beberapa minggu sebelum sidang Parlimen dijadual bermula.
Malah menurut Hisomuddin, Najib memerlukan sedikit lagi masa untuk mengadakan satu lagi pusingan turun gelanggang menemui rakyat dan memantapkan keyakinan pengundi ke atas kepimpinannya.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen Penggal Kelima, esok.
Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama sebulan sehingga 12 April dan akan disusuli dengan Dewan Negara dari 23 April hingga 10 Mei.
Mengulas spekulasi sidang Parlimen kali ini adalah yang terakhir, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, tidak mustahil sidang Parlimen kali ini adalah yang terakhir jika mengambil kira suasana kehangatan politik negara ketika ini.
Tambahan pula katanya, Najib juga dilihat berjaya menyelesaikan beberapa isu dengan cepat dan ia boleh dijadikan penanda aras PRU13 semakin hampir.
“Siri jelajah Perdana Menteri dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hampir menyeluruh ke seluruh negara juga boleh dikatakan sebagai satu gambaran bahawa proses pilihan raya semakin mencapai ke penghujung jalan,” katanya.
Seorang lagi penganalisis, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain turut bersetuju dengan pandangan itu.
Ketika dihubungi, Ahmad Atory berkata, beliau melihat langkah Najib mengumumkan beberapa insentif dan dasar-dasar yang sedang dilaksanakan dilihat sebagai satu usaha untuk memenangi hati rakyat.
“Terbaru, beliau mengumumkan pemansuhan skim gaji kakitangan kerajaan, Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pelarasan gaji yang berkuat kuasa 1 Januari lalu akan dibayar mulai bulan ini atau April turut mendapat pujian rakyat.
“Walaupun pelarasan gaji itu tidak melibatkan pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi, tetapi saya yakin ramai yang berpuas hati dan bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang,” katanya.
Ahmad turut mengakui banyak isu yang berbangkit sebelum ini sudah banyak diselesaikan dan tidak timbul lagi isu-isu berbangkit di mana keadaan lebih adil buat semua rakyat.Sementara itu, terdapat beberapa pendapat yang mengatakan PRU13 dijangka diadakan pada Jun ini kerana merupakan masa yang sesuai dan berada dalam musim cuti sekolah.
Mengulas perkara itu, Sivamurugan berkata, ia masa paling kondusif dan jika terlalu lewat memanggil PRU13, ia akan memberi implikasi negatif kepada BN.
“Kerapuhan pentadbiran kini semakin terserlah dalam kepimpinan Pakatan Rakyat di mana BN pula ketika ini kelihatan lebih mantap terutamanya dari segi pengendalian isu-isu yang berkaitan.
“Stamina pemimpin-pemimpin dan jentera parti juga dilihat semakin kukuh dan jika pilihan raya dilakukan lebih lewat, dikhuatiri stamina tadi akan semakin menurun,” katanya.
Mengenai kemenangan mana-mana parti tidak kira BN atau PR, katanya, ia bergantung pada persediaan masing-masing, terutama dari segi pelaksanaan manifesto PRU12 sama ada sudah berjaya dilaksanakan ataupun tidak.
Selain itu katanya, adakah setiap parti sudah mengenal pasti calon-calon sesuai yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang disenangi masyarakat dan telah mengatur strategi untuk meraih hati pengundi.Mengakui perkara itu, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, PRU sewajarnya diadakan pada waktu itu kerana memudahkan semua pihak.
Tambahnya, kelebihan turut dilihat memihak kepada BN jika PRU13 dijalankan pada Jun tambahan pula sokongan sebahagian besar masyarakat India sudah kembali kepada BN.
“Perdana Menteri turut dilihat turut bersama berada dalam perayaan mereka dan ini sebenarnya salah satu langkah terbaik merapatkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat.
“Sedangkan ketika ini, PR pula sedang berada dalam konflik dalaman sesama mereka sendiri,” katanya.
Keputusan PRU12 pada Mac 2008 menyaksikan BN memperoleh undi popular 50.6 peratus berbanding komponen PR dan calon-calon Bebas 49.4 peratus.
BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen selain hilang lima kerajaan negeri.
Selepas sidang kali ini, Parlimen akan bersidang pada Julai dan kemudian dari Oktober hingga Disember.
0 ulasan :
Post a Comment