Monday, March 12, 2012


AJK PAS PUSAT sdr Mazlan Aliman semalam telah dihalang dari memasuki Sabah dengan penggunaan Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65 (1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi. Beliau ditahan di Lapangan Terbang kota kinabalu sebelum dihantar pulang ke semenanjung semula.Sdr Mazlan menulis seperti yang dilaporkan oleh sabahkini.net.




TINDAKAN Kerajaan BN Sabah menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.

Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65 (1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.

Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke Sabah?
Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!

Saya dikawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!

Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan dihantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam kelmarin.

Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.

Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim BN dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.

Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang diduduki dan diusahakan penduduk puluhan tahun dirampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun disodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dan sebagainya.

Peliknya; kawasan yang dirampas diberi pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.

Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun ditangkap, dipukul dan dipenjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.

Saya mengetuai Lajnah (Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.

Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.

Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi! Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.

Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan 'political will' pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.

Pagi kelmarin, Himpunan 123 Bangkit diadakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dan sebagainya dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam dilayan begitu buruk oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka dirampas untuk mengiringi pimpinan NGO dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.

Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?

Mana pergi Ketua Menteri atau sekurang-kurangnya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan BN!

Apa salahnya dibawa masuk wakil-wakil NGO dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri? Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dahulu isi hati dan derita rakyat?

Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang dialami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Kerajaan Negeri. Mana slogan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan?'

Perjuangan rakyat akan diteruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'


(NOTA : Penulis, AJK PAS Pusat, telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.)

0 ulasan :